Arsenal meneruskan kemaraan dalam saingan Liga Europa setelah menundukkan AC Milan 3-1 pada perlawanan kedua peringkat 16 terbaik yang berlangsung di Stadium Emirates.
Kemenangan yang dikecapi anak buah Arsene Wenger itu membolehkan Arsenal layak ke suku akhir dengan kiraan aggregit 5-1.
Sejak awal permainan, kedua-dua pasukan gigih mencipta peluang untuk mencipta jaringan dan AC Milan terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan menerusi jaringan cantik dari Hakan Calhanoglu.
Pemain antarabangsa Turki itu meledakkan satu rembatan dari jarak jauh yang sekaligus menewaskan penjaga gol Arsenal, David Ospina pada minit ke-35.
Namun, kelebihan tersebut pantas dipadamkan tuan rumah berselang empat minit kemudian selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti akibat kekasaran yang dilakukan Ricardo Rodriguez terhadap Danny Welbeck.
Keputusan pengadil perlawanan, Jonas Eriksson menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain AC Milan yang mendakwa tiada kekasaran dilakukan.
Welbeck yang mengambil sepakan tidak mensia-sia peluang untuk kembali menyamakan kedudukan.
The Gunners menambah jaringan kedua pada minit ke-71 menerusi Granit Xhaka yang turut melakukan percubaan dari jarak jauh mengakibatkan ianya gagal ditepis kemas penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma.
Arsenal menamatkan api perjuangan anak buah Gennaro Gattuso pada penghujung aksi dengan jaringan kedua peribadi dilakukan Welbeck menerusi tandukan susulan yang sekali lagi membocori gawang pelawat.
Kemenangan yang dicatatkan sekaligus melayakkan diri ke peringkat suku akhir Liga Europa dilihat dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi Arsene Wenger ketika ini.