Terengganu berdepan dengan dugaan pertama apabila jurulatih Terengganu FC (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan pemain import mereka dari Korea Selatan, Hyun Woo mengalami kecederaan serius ketika aksi pra musim di Kemboja.
Hyun Woo tidak sempat pulih dan terpaksa berehat sehingga enam bulan sekali gus memaksa Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menamatkan kontrak pemain yang berusia 29 tahun itu.
“Saya kehilangan Kim (Hyun Woo) kerana dia mengalami kecederaan serius dan harus berehat sehingga enam bulan. Kita akan bertemu dengan dia (Hyun Woo) dan ejennya serta pihak pengurusan untuk perbincangan lebih lanjut.
“Pemain tinggi lampai itu cedera di lutut ketika aksi persahabatan kedua pramusim bertemu pasukan Army FC di Kemboja, dua minggu lalu yang berkesudahan kita tewas 3-6,” kata Irfan Bakti kepada Berita Harian.
Ketiadaan Hyun Woo juga memaksa pasukan itu mencari pemain lain bagi mengisi kuota pemain import Asia sebelum Liga Super membuka tirainya pada 3 Februari depan.
“Dengan kehilangan pemain itu, kita akan mengikat pemain import lain, namun cadangan siapa pemain baru setakat ini masih belum ada memandangkan Hyun Woo baru disahkan tidak dapat beraksi.
“Apa yang pasti, pemain baru nanti adalah dari Asia dan seorang penyerang,” jelas irfan.
Sebelum ini, bekas pemain import PKNP FC itu dilaporkan hanya perlu berehat selama seminggu saja namun selepas rawatan lanjut, pemain yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu disahkan gagal pulih dalam tempoh terdekat.
Kelmarin, TFC I muncul juara kejohanan 4 penjuru, Piala YAB Menteri Besar Terengganu selepas menundukkan TFC II sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.
Perlawanan akhir kejohanan yang melibatkan pasukan Pahang dan Melaka United itu berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah serta dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang turut menyaksikan perlawanan tersebut.
Pada aksi perlawanan akhir itu, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang menarik dan TFC I dilihat lebih banyak menguji kemampuan penjaga gol TFC II melalui Andree Lee Tuck.