Sepak mula Liga 1 Indonesia 2021/22 yang dijangka bakal bermula pada awal Julai depan telah rasmi diumumkan ditunda sehingga ke akhir Julai depan, setakat ini.
Jika kes harian COVID-19 di Indonesia berjaya dilandaikan atau turun, barulah Liga 1 Indonesia dibenarkan untuk kembali dilangsungkan. Perkara tersebut telah diumumkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI), malam tadi.
Ini adalah disebabkan nasihat dan permintaan oleh Satgas Covid-19 Indonesia yang telah dialamatkan kepada PSSI dan pengendali liga, PT Liga Indonesia Baru (LIB) agar pertandingan liga di Indonesia untuk ditangguhkan buat seketika sepanjang bulan ini.
Menurut Yunus Nusi ketika menyampaikan makluman terbaharu itu, “Semalam, PSSI telah menerima surat dari Satgas Covid-19. Disampaikan dalam surat ini, Satgas Covid-19 meminta PSSI dan PT LIB untuk menunda pertandingan Liga 1 [Indonesia].”
PSSI resmi menunda kompetisi Liga 1 2021-2022 hingga akhir Juli mendatang. Kepastian ini setelah PSSI menerima surat dari Satgas Covid-19 pada Senin (28/6) yang ditanda tangani oleh Ketua Satgas Covid-19, Ganip Warsito.#KitaGaruda#MeraihImpian pic.twitter.com/0jVbn0IKg5
— PSSI (@PSSI) June 29, 2021
Liga 1 Indonesia pada awalnya sudah mendapat kebenaran untuk dilangsungkan untuk musim baharu pada awal Julai depan selepas tidak berjalan lebih setahun bermula pada Mac tahun lalu akibat pandemik COVID-19 yang merebak ke seluruh dunia.
Harapan untuk kembali berlangsungnya saingan liga di sana juga dilihat semakin hampir menjadi kenyataan selepas kejayaan melangsungkan Piala Menpora 2021, beberapa bulan yang lalu dan keizinan untuk berlangsung juga sudah diperolehi.
Mungkin atas dasar itu juga, Indonesia telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada saingan Piala AFC 2021 melibatkan tiga kumpulan iaitu G, H dan I.
Kini, segalanya tampak semakin pudar apabila pertandingan tempatan juga sudah ditangguhkan. Dengan perkhabaran ini, besar kemungkinan, Kedah dan Terengganu terpaksa berkira-kira untuk melupakan terus saingan Piala AFC 2021.
Piala AFC 2021: Terengganu Ada Peluang, Laluan Kedah Sedikit Berliku https://t.co/dUArFot88q pic.twitter.com/asowIxpCc9
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 31, 2021
Kedah diundi dalam Kumpulan H bersama wakil Singapura, Lion City Sailors, Saigon FC (Vietnam) dan Persipura Jayapura (Indonesia), sementara Terengganu pula berada dalam Kumpulan I bersama Geylang FC (Singapura) dan sebuah kelab lagi.
Sebelum ini, Kedah dan Terengganu amat berharap pertandingan tersebut diteruskan, namun sehingga kini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum dapat membuat keputusan mengenai tuan rumah untuk ketiga-tiga kumpulan Zon Asean.
Bulan lalu, Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah untuk saingan Kumpulan H dan I telah menarik diri, sementara saingan untuk Kumpulan G yang sepatutnya dilangsungkan di Myanmar juga tidak dapat dilangsungkan akibat rusuhan.
Pertengahan bulan lalu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John dipetik berkata yang berkemungkinan saingan Piala AFC 2021 bakal dibatalkan sebagaimana edisi 2020 disebabkan tiada negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah.
Walaupun Indonesia hadir dengan harapan untuk meneruskan penganjuran Piala AFC tempohari, perkhabaran ini menampakkan ia semakin sukar untuk diteruskan.
Baca artikel lain mengenai Piala AFC dan perkembangan bola sepak terkini:
3 Sebab Kedah & Terengganu Mungkin Terpaksa Lupakan Piala AFC
Singapura Tarik Diri Jadi Tuan Rumah Piala AFC, Kedah & Terengganu Terkesan
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode