Sekarang ini sudah menjadi kebiasaan apabila banyak aktiviti bermain bola sepak dilakukan anak muda di negara kita.
Selalunya, kita akan dijemput oleh rakan-rakan untuk bermain bersama-sama di padang sintetik menentang dengan pasukan lawan yang kita sendiri tidak tahu.
Tapi, tak semua pemain itu kita kenal. Ada masanya, hanya seorang dua sahaja pemain yang kita kenal tetapi tidak bagi yang baik hampir 20 orang pemain itu.
Hal ini membuatkan kita akan berasa kekok bila bermain bersama kerana tidak kenal sesama sendiri.
Di sebuah laman Facebook milik Hazmi Nemureeshop, beliau telah berkongsi 8 tips mudah bermain bola sepak dengan kawan-kawan baharu. Jom kita baca petuanya.
1. Pakai jersi bernama
Sarunglah jersi yang mempunyai nama anda dibelakangnya untuk mudahkan rakan-rakan baharu anda memanggil nama anda.
Hal ini kerana mereka tidak mudah mengingati nama anda pada peringkat awal.
Anda boleh sarung jersi pasukan futsal yang dibuat khas mahu pun jersi pasukan kesayangan yang mempunyai set nama anda.
2. Kenalkan diri
Lazimnya ketika hendak menantikan wisel permulaan, para pemain akan berkumpul di tepi padang.
Pada masa itulah mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.
Oleh itu, gunakan masa ini untuk memecahkan tembok malu itu dengan bersalam dengan rakan baharu dan juga memperkenalkan diri kita kepada mereka.
Dan jangan lupa untuk senyum!
3. Dengar arahan ketua pasukan
Lazimnya perlawanan bola sepak persahabatan sebegini dilangsungkan dalam format 3 separuh masa dengan tempoh 25 minit.
Oleh itu, nantikan arahan dari ketua pasukan anda. Lazimnya, ketua akan menentukan siapa yang akan bermain dahulu dan kemudian.
Jadi, jangan pandai-pandai pergi berdiri di tengah padang siap-siap. Dengan arahan ketua anda ya!
4. Beritahu posisi anda
Apabila dipanggil untuk beraksi, beritahu kepada kapten anda posisi apa yang biasa bermain.
Namun begitu, harus diingat tidak setiap masa anda akan dapat bermain di posisi anda. Jika ketua pasukan meletakkan anda di posisi lain, turutkan saja.
Ambil positif, anda boleh belajar bermain posisi baharu pada waktu itu!
5. Jangan senyap
Ketika bermain, pastikan anda sentiasa berkomunikasi dengan rakan sepasukan anda.
Hal ini untuk membuatkan rakan sepasukan anda berasa selesa dengan anda.
6. Bermain dengan cermat
Cuba untuk tidak menjadi liabiliti kepada pasukan. Sekiranya menyerang, lakukan hantaran dengan cermat dan baik serta tahan bola dengan elok.
Jika diserang, turun ke bawah dengan pantas untuk membantu barisan pertahanan.
7. Jangan perasan anda Cristiano Ronaldo
Jangan simpan bola terlalu lama! Ianya akan memberikan reputasi buruk dalam kalangan ahli pasukan anda – barangkali anda akan dianggap poyo oleh mereka.
Boleh nak buat jika berpeluang, tetapi jangan terlalu kerap.
8. Jangan lupa bayar!
Selepas perlawanan tamat, terus bertanya kepada ketua pasukan mengenai jumlah yang perlu dibayar. Jangan lepas salam terus balik ya!