Quantcast

ENGLISH

Atalanta 3-0 Juventus: Dua Gol Duvan Zapata Akhiri Dominasi Juventus

Atalanta mengakhiri era dominasi Juventus dalam Coppa Italia selepas menang selesa 3-0 dalam pertemuan suku akhir di Bergamo awal pagi tadi. Dua gol penyerang Colombia, Duvan Zapata dan satu gol dari Timothy Castagne membantu kemenangan mengejut Atalanta tersebut.

Dengan kemenangan ini, skuad Orobici ini akan bertemu Fiorentina, yang membelasah AS Roma 7-1, dalam 2 perlawanan separuh akhir.

Kali terakhir Juventus melawat Atalanta pada 26 Disember lepas, keputusan perlawanan berakhir 2-2, menjadikan Bergamo satu daripada dua halaman lawan yang gagal dimenangi Juventus pada musim ini (satu lagi adalah halaman Young Boys di UEFA Champions League).

Disebalik status mereka sebagai pasukan bukan pilihan, Atalanta tetap memulakan perlawanan dengan berani sehingga memaksa Giogio Chiellini untuk melakukan hadangan saat terakhir ke atas Duvan Zapata. Penjaga gol Wojciech Szczesny pula terpaksa menampan rembatan Papu Gomes selepas itu.

Kedua-dua pasukan kemudiannya terpaksa bermain tanpa tonggak masing-masing. Chiellini terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan sebelum digantikan Joao Cancelo. Mattia De Sciglio beralih dari posisi bek kanan ke bek tengah. Atalanta pula kehilangan pemai tengah, Josip Ilicic.

Atalanta memperolehi gol pertama mereka selepas Cancelo menyerahkan penguasaan bola kepada Timothy Castagne yang meluru ke depan dan merembat kencang di sudut bawah gol.

Dua minit kemudian, Zapata menggandakan kelebihan tuan rumah apabila berjaya menemui ruang untuk memusingkan badannya dan melepaskan rembatan kencang melepasi kawalan Szczesny. Max Allegri nyata berang dengan keputusan pengadil yang didakwa tidak mengendahkan kekasaran ke atas pemainnya sebelum gol Zapata tersebut, menyebabkan beliau diarah pengadil untuk meninggalkan kawasan teknikal.

Juventus mempunyai beberapa peluang untuk merapatkan kedudukan, terutamanya menerusi sepakan percuma Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala. Tetapi kedua-duanya gagal menemui sasaran.

Bianconeri menampilkan semangat melawan pada separuh masa kedua terutamanya apabila Federico Bernardeschi membuat hantaran lintang yang gagal disudahkan oleh Ronaldo. Tandukan Daniele Rugani dari sepakan sudut pula hanya beberapa inci melewati palang. Manakala rembatan Sami Khedira diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol tuan rumah, Etrit Berisha.

Tetapi Atalanta juga tidak mahu mengalah, dengan Mario Pasalic hampir-hampir menambah gol ketiga pasukannya selepas Joao Cancelo – sekali lagi – menyerahkan penguasaan bola sewenang-wenangnya.

Akhirnya gol ketiga Atalanta tiba juga pada hujung permainan. Kali ini pesalahnya adalah De Sciglio yang tergolek ketika melakukan hantaran belakang ke Szczesny yang dipintas oleh Zapata untuk gol kedua peribadinya.

Mengulas kekalahan ini, Max Allegri mengaku anak buahnya layak untuk kalah selepas berlakunya beberapa insiden yang tidak dapat dikawal. “Kami dah nampak [akan kalah]. Kami ada beberapa pemain yang baru balik dari kecederaan. Tiada apa yang dramatik. Ia cuma hari malang kami. Atalanta berhak untuk menang.”