Quantcast

BERITA

Fiorentina 7-1 AS Roma: Hatrik Federico Chiesa Malukan Roma

Pemain muda bintang Fiorentina, Federico Chiesa menjaringkan hatrik untuk memalukan AS Roma 7-1 dalam perlawanan suku akhir Coppa Italia awal pagi tadi. Giovanni Simeone menjaringkan 2 lagi gol, manakala Luis Muriel dan Marco Benassi masing-masing menjaringkan satu gol.

Dengan kemenangan ini, anak buah Stefano Pioli akan menentang AC Milan dalam 2 pertemuan separuh akhir nanti.

Coppa Italia mungkin satu-satunya peluang realistik bagi kedua-dua kelab untuk memenangi trofi, jadi agak tidak menghairankan apabila kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat mereka yang barangkali letih selepas terpaksa bekerja keras dalam aksi Serie A pada hujung minggu lepas.

Fiorentina berhempas-pulas sebelum dapat menewaskan Chievo 4-3, manakala Roma menyerahkan pendahuluan 3-0 untuk sekadar seri 3-3 dengan Atalanta (yang menewaskan Juventus 3-0 dalam suku akhir Coppa Italia awal pagi tadi).

Ketika perlawanan baru berusia 2 minit, Federico Chiesa sudah pun menguji pertahanan Roma melalui rembatan di luar kotak penalti. Pemain sayap kanan Viola itu berjaya juga mendapatkan gol selepas Roma menyerahkan penguasaan bola sewenang-wenangnya, hasil lorongan Cristiani Biraghi.

Bryan Cristante cuba menyamakan kedudukan untuk Roma beberapa minit kemudian selepas berjaya menanduk sepakan sudut Aleksandar Kolarov. Tetapi peluang itu sekadar memberikan Fiorentina ruang untuk menyerang balas yang menghadiahkan gol kedua Chiesa.

Kolarov merapatkan jurang dengan gol pada minit ke-28 hasil rembatan kencang kaki kirinya. Tetapi ia masih tidak dapat menghalang selera Viola apabila Luis Muriel melepaskan rembatan yang dibias kaki Steven Nzonzi untuk gol ketiga mereka.

Roma memasukkan Edin Dzeko dan Lorenzo Pellegrini pada separuh masa kedua dalam usaha untuk mengubah momentum perlawanan. Mereka mula mengawal perlawanan, tetapi seni pertahanan mereka nyata caca-marba. Marco Benassi menghukum Roma dengan melepasi perangkap ofsaid hasil lorongan Muriel menewaskan penjaga gol Roma, Robin Olsen untuk gol ke-4 Viola.

Giallorossi kemudiannya hilang pedoman apabila Dzeko dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil yang tidak mengendahkan asakan Jordan Veretout ke atas Lorenzo Pellegrini.

Peluang ini diambil oleh Viola untuk menambah garam di luka Roma. Pada minit ke-74, Chiesa melengkapkan hatriknya, sekali lagi menerusi serangan balas, untuk menyambut hantaran lintang Benassi dan menampan bola dari jarak dekat.

Walaupun selepas Chiesa dikeluarkan (dan mendapat tepukan gemuruh dari penyokong), Fiorentina masih belum selesai ‘memalukan’ Roma. Kali ini giliran pemain gantian, Giovanni Simeone untuk menjadi bintang dengan menjaringkan 2 lagi gol.

Ini adalah kali pertama Roma melepaskan lebih dari 5 gol dalam Coppa Italia sejak Mei 1961 – juga, secara kebetulan, menentang Fiorentina.

Kekalahan ini sangat memalukan sehinggakan akaun Twitter rasmi AS Roma tidak meletakkan jumlah jaringan dalam kemaskini perlawanan mereka.

Pengurus AS Roma, Eusebio Di Francesco ternyata malu dengan kekalahan besar ini – tetapi menjelaskan ia tiada kena-mengena dengan perancangan taktikal beliau. “Taktikal tak guna kalau mentaliti kami tak dibetulkan dahulu,” kata beliau kepada media selepas perlawanan.

“Saya mahu buat penilaian dengan keadaan tenang, bukan dalam keadaan marah seperti sekarang. Perlawanan malam ini mengesahkan beberapa isu yang kami telah kesan sepanjang musim ini.” Di Francesco bagaimanapun menolak kemungkinan beliau akan meletakkan jawatan berikutan kekalahan ini: “Saya tidak akan meletakkan jawatan. Tak pernah terfikir pun.”

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!