Seorang lelaki telah meluahkan pendapat beliau tentang bagaimana cabaran seorang e-gamer dari Malaysia untuk berjaya di peringkat tertinggi.
Beliau adalah Helmi Effendy iaitu abang kepada pemain permainan FIFA 17, Amirul Afandi ataupun lebih dikenali sebagai Am Tuah (TI_Amtuah).
AmTuah sebelum ini menjadi satu-satunya wakil tunggal negara ke kejohanan dunia FIFA17 selepas menjuarai kejohanan serantau. AmTuah menyertai kejohanan-kejohanan tersebut dengan tiket individu. Namun beliau masih bangga mengibarkan jalur gemilang bersama-sama beliau.
Ini adalah perkongsian oleh Helmi Effendy :
Perbezaan Budaya Malaysia Dan Eropah Ke Atas Gamers
Banyak perkongsian menarik daripada adik saya sepanjang dia berada di sana. Tetapi saya tertarik tentang budaya gaming antara Malaysia dan Eropah.
Sebelum apa-apa, biar saya beritahu ini adalah foto antara juara FIFA 16 Asia Tenggara iaitu adik saya Amirul Afandi ataupun lebih dikenali dengan Am Tuah (TI_Amtuah), bersama-sama dengan juara dunia.
Ini juga adalah pengalaman pertama adik saya bertanding di peringkat dunia. Untuk rekod, adik saya gagal mara ke pusingan kedua selepas terkandas di peringkat kumpulan.
Namun begitu, ramai rakyat Malaysia yang memperlekehkan (condemn) perkembangan Am Tuah di Eropah.
Paling ketara sekali adalah kritikan daripada golongan yang sudah berusia. Mereka seakan-akan terkena kejutan budaya kerana baru tahu bahawa permainan video juga merupakan sebuah karier yang menjanjikan pulangan lumayan.
Pengalaman paling berharga Am Tuah miliki ialah dapat belajar bahawa orang Perancis dan Eropah bukannya keyboard warrior.
Hanya Bising Di Alam Maya, Tetapi Dewan Pertandingan Kosong!
Sewaktu mendengar berita adik saya melayakkan diri ke peringkat dunia, ramai keyboard warrior berdendang di ruangan facebook.
Ada yang mengatakan bahawa budak rumah mereka lagi bagus bermain permainan video ini berbanding Am Tuah. Ada yang menghina pencapaian Am Tuah dan menjadikannya bahan jenaka.
Tetapi apabila diadakan kejohanan-kejohanan (permainan video) yang besar di Malaysia, biasanya dewan tempat berlangsungnya kejohanan tersebut akan kosong.
Ini kerana ramai mereka lebih suka bersungut tentang harga. Sebaliknya tidak di sana (Eropah) dewan pertandingan sentiasa penuh.
Festival-festival permainan video di sana mendapat sambutan yang luar biasa, walaupun jumlah bayaran untuk sehari mencecah sehingga ke €50 iaitu persamaan dengan RM250 jumlah wang kita.
Di Malaysia kadangkala caj RM15 untuk memasuki festival gaming pun dah disungutkan oleh keyboard warrior ini.
Tapi nanti dulu, bukan itu sahaja yang disungutkan mereka.
Kekalahan Am Tuah mengundang hinaan daripada mulut-mulut orang yang entah siapa mereka di alam facebook. Antara komen paling kelakar yang saya sempat baca:
“Aku dah cakap budak rumah aku lagi power.”
“Jaguh kampung jer budak ni.”
“Bodoh, main peringkat dunia pun kalah. Bangang. Sila Meninggal.”
Hakikatnya yang mereka tidak tahu kerana perbezaan budaya penerimaan permainan video di Malaysia dan Eropah juga secara tidak langsing menjadi faktor kenapa kita ‘kalah’.
5 Perbezaan Ketara
Mereka tidak tahu bagaimana industri permainan video di Eropah bekerja. Saya nahu kongsikan sedikit beberapa perbezannya.
1. Sokongan Profesional
Adik saya ke Perancis sebagai (atas tiket) individu, tetapi semua gamers yang mewakili negara mereka adalah wakil kepada kelab-kelab terkemuka dunia.
Mereka mendapat tajaan daripada kelab bola sepak ternama dari seluruh dunia. Ada wakil dari PSG – Paris Saint-Germain, VfL Wolfsburg, West Ham United dan lain-lain. Mereka datang dengan pendapatan €6000 sebulan.
Baca juga: West Ham Ikut Jejak Wolfsburg, Tandatangani Gamers Sebagai Pemain eSports FIFA Rasmi
Untuk bermain sehingga ke peringkat kejohanan dunia, terdapat sebuah aplikasi dalam permainan FIFA 17 yang dipanggil Fifa Ultimate Team.
Satu permainan yang menghimpunkan semua pemain terbaik dunia untuk dimuatkan ke dalam sebuah pasukan. Am Tuah harus membayar setiap permain yang mahu dibelinya dalam jumlah yang mahal bagi setiap pemain.
Ada yang sampai mencecah RM800 untuk seorang pemain. Bayangkan berapa banyak duit nak dihabiskan untuk menyiapkan sebuah pasukan bola? Wow! Hampir mencecah bahkan lebih RM 10, 000!
Am Tuah pula seorang freelancer yang pendapatan adalah berdasarkan jumlah kemenangan kejohanan yang disertainya (berbanding dengan yang dibayar oleh kelab seperti gamers Eropah).
Mana kelab (FUT) dari pasukan bola sepak Malaysia?
2. Pasukan Lengkap Dengan Jurulatih Dan Penganalisis
Bayangkan apabila mewakili kelab terkemuka dunia ini, mereka datang dengan sebuah pasukan yang lengkap. Mereka dibekalkan dengan penganalisis statistik profesional bersama mereka.
Ada juga jurulatih (coach) yang akan membantu mereka dari segi taktical dan motivasi. Mereka memiliki data permainan setiap gamer yang ada.
Maka sepanjang perlawanan berlangsung, perlawanan akan diperhatikan oleh team yang mengiringi setiap pemain mereka. Adik saya pula berseorangan dan hanya ada pengurus beliau.
Bayangkan setiap perlawanan, Am Tuah akan mendahului.
Namun apabil masuk ke separuh masa kedua, maka datanglah pasukan teknikal dan taktikal mereka yang terdiri dari kepakaran tertentu memberitahu tentang kelemahan yang mereka sempat analisis.
Siap ada bukti video tentang bagaimana corak permainan Am Tuah. Jurulatih mereka akan memberikan tips dan mencadangkan taktikal paling ampuh. Am Tuah hanya seorang diri harus menghadapi mereka semua.
Sekarang, saya nak tahu mereka yang mulut-mulut busuk ini, mana budak rumah anda?
3. Sokongan Daripada Komuniti Yang Sama
Tapi jangan risau. Mereka (team Eropah) tidak sombong ilmu.
Mereka memandang tinggi pencapaian adik saya. Selepas melihat Am Tuah hanya seorang diri datang melawan mereka yang lengkap dengan pasukan kejurulatihan dan analisis, mereka mengajak Am Tuah untuk menyertai komuniti mereka.
Mereka berkata, semua gamer-gamer bertaraf dunia ini memang setiap hari akan sparring dan perlawanan persahabatan antara satu sama lain.
Jadi, lawan yang hebat setiap hari jugak memainkan peranan yang penting. Maka adik saya dengan pemain-pemai hebat ini bertukar-tukar contact sesama mereka termasuk Facebook dan Twitter semua diambil.
Kad nama turut disimpan. Mereka berpendapat adik saya ada potensi dan masih lagi muda. Insyallah, semoga dengan mendapat rakan sparring yang bertaraf dunia akan membantu karier gaming beliau di masa akan datang.
Beza betul dengan orang Malaysia. Sekarang, sekali lagi sekali lagi saya bertanya, mana pergi budak rumah kau?
4. Sikap Media Dan Rakyat Malaysia
Adik saya sempat mengadu tentang hakikat penerimaan rakyat Malaysia dalam hal ini sangat bias (pilih kasih).
Baru-baru ini ada seorang gamer perempuan yang baru sahaja berjinak-jinak dalam permainan FIFA. Dia bukannya juara Asia Tenggara, bahkan Malaysia sekalipun.
Tetapi sudah diviralkan oleh sebuah page yang ada jutaan pengikut hanya kerana dia seorang perempuan yang jelita. Kejayaan adik saya yang sampai ke Perancis pula hanya dipandang sepi.
Ini mengingatkan saya tentang betapa hinanya mentaliti majoriti rakyat Malaysia.
Anak Melayu yang terlibat dalam perlumbaan untuk ke Bulan yang dianjurkan oleh Google tidak dipandang langsung. Tetapi apabila seorang anak dara jual nasi lemak diraih seolah-olah dia dia adalah pemenang hadiah nobel sains.
Kalau ini masyarakat yang bermimpikan pemimpin sehebat Umar Abdul Aziz, saya merasakan kehadiran Tun Mahathir sebagai pemimpin mereka seperti tidak berbaloi.
5. “What doesn’t kill you, makes you stronger.”
Pengalaman hebat ini akan diraihnya untuk kejayaan hebat pada masa hadapan. Nasihat saya kepada orang diluar sana:
Berhentilah menyalak dalam isu yang kalian tidak ada pengetahuan tentangnya. Tanda-tanda orang bodoh ialah, mereka nak bersuara dalam semua hal.
Kepada ibu-bapa diluar sana, berhentilah bermain dengan stigma permainan video membunuh masa hadapan dan pandang industri permainan video seperti mana ibu-bapa di eropah memandangnya.
Insyallah, kita akan melihat perkembangan yang lebih baik dalam industri ini.
Sungguh, beza benar budaya eropah dan Malaysia.
Terima kasih juga kepada GamesBond, eGG Network dan Red Bull Malaysia kerana membantu menjayakan impian adik saya ke Perancis.
Sebagai penutup dari kami di semuanyaBOLA, kami menyeru agar kita memberikan sokongan kepada AmTuah dan semua e-gamers kita.
Mereka akan menjadi asas penting kepada industri ini di masa akan datang.
Nota Editor : Artikel ini adalah disunting daripada artikel asal bertajuk “Beza Budaya Gaming Malaysia Dan Eropah” oleh Helmi Effendy melalui Facebook beliau. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].
Baca juga : Manchester City Tandatangani Gamer Berusia 18 Tahun Sebagai Pemain E-Sports FIFA Rasmi