Kedah Darul Aman (KDA) tidak ada pilihan lain selain membawa masuk muka-muka baharu dalam skuad selepas menghadapi fasa kemerosotan yang ketara dalam permainan.
Sembilan perlawanan, 14 mata, tiga kekalahan dan 17 kali dibolosi nyata bukan suatu yang dijangka selepas persiapan pra-musim yang teratur.
Namun, selain membawa masuk pemain-pemain baharu untuk memperkuatkan kem KDA, tiga aspek lain yang turut perlu diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan KDA iaitu:
1. Tahap kecergasan pemain
Musim ini terlalu ramai pemain yang menghadapi masalah tahap kecergasan yang rendah sehingga mengganggu fokus di atas padang.
Kita dibolosi kerana kecergasan pemain di penghujung permainan. Ia sangat ketara dan sukar untuk dinafikan.
Malah, beberapa tonggak utama yang lain turut mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan dalam banyak perlawanan.
Antaranya, Dennis Buschening yang berhadapan dengan kecederaan tendon dan memerlukan masa berbulan untuk sembuh.
Begitu juga Syazwan Zainon yang tidak beraksi dalam beberapa perlawanan dipercayai akibat kecederaan yang dihadapinya.
Masalah kecederaan adalah normal dalam sesuatu pasukan, namun dalam keadaan jadual yang tidak terlalu padat, ia menimbulkan persoalan lanjut kepada kem kejurulatihan KDA sendiri.
2. Tampil lebih banyak pemain muda dalam perlawanan
Sebelum ini bekas pengendali KDA, Azraai Khor Abdullah pernah menegur mengenai kurangnya penglibatan pemain B-23 setiap kali perlawanan diharungi.
Belum masuk lagi skuad kebangsaan yang hanya diwakili oleh Syafiq Ahmad.
Ia menjadi cabaran secara tidak langsung kepada Aidil Sharin untuk berani menampilkan muka baru dalam pasukan.
Selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan, rata-rata peminat memuji aksi pertama Kamil Akmal di bahagian pertahanan kanan.
Selain itu, Aidil juga boleh terus menggilap potensi Azmeer Aris (pertahanan kiri), Afeeq Iqmal (penyerang) dan Amer Azahar (sayap).
Pemain-pemain ini menyerlah pada saingan awal liga, tetapi merudum ketika KDA menggunakan taktikal 3-4-3 ketika bertemu Selangor dan terus tenggelam sambil jarang diturunkan oleh Aidil.
3. Variasi taktikal atas padang
Sejak beberapa musim kebelakangan ini, Kedah masih belum dapat mencipta DNA taktikal yang sesuai dengan pasukan khususnya ketika berakhirnya era ala free flowing football Tan Cheng Hoe.
Ada musim KDA mempunyai masalah jentera serangan yang tumpul. Ada musim jentera tengah yang longgar. Ada musim pertahanan pula menjadi masalah utama pasukan.
Tidak terkecuali musim ini, kesemua aspek KDA bermasalah.
Walaupun ada pelbagai faktor yang mendorong, ketiadaan pemain yang boleh menggalas tugas yang ditinggalkan pemain lain menjadi isu besar kepada pasukan.
Walaupun isu tersebut mustahil untuk diselesaikan dalam tempoh yang ada, tetapi sekurang-kurangnya sistem permainan KDA perlu lebih teratur dan tidak terlalu bergantung kepada kelebihan individu semata-mata.
Bagaimana kita boleh bermain secara berpasukan?
Ini bergantung kepada taktikal jurulatih serta kesediaan pemain untuk melaksanakannya.
KDA tidak boleh terlalu mengharap kepada faktor nasib untuk menang.
Tugasan KDA selepas ini sememangnya mencabar. Di peringkat liga domestik, Johor Darul Ta’zim dan Terengganu adalah lawan kita. Piala FA juga sekali lagi mempertemukan KDA dengan Terengganu.
Manakala penghujung Jun depan ada pula Piala AFC. Pilihan di atas pengurusan sama ada Sang Kenari akan pulang tangan kosong atau sebaliknya.
Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Hafiz Mansor yang jelas sekali kecewa dengan prestasi Kedah ketika ini. Jika anda mahu hantar artikel kepada kami, hasilkan penulisan dengan minimum 300 patah perkataan dalam format MS Word dan hantarkan ke [email protected] .