Hanya selepas satu perlawanan dan satu kekalahan, sudah ada ura-ura pengurus akan dipecat dan diganti dengan yang lain.
Itulah yang berlaku kepada Claude Puel yang mulai merasakan tekanan selepas pasukan kendalian beliau tewas 1-2 kepada Manchester United pada awal pagi Sabtu lalu.
Menurut laporan dari ESPN, pengurus tersebut akan diberikan peluang sehingga enam perlawanan pada musim ini untuk memperbetulkan keadaan, atau berhadapan kemungkinan dipecat sebagai pengurus juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2015/16 itu.
Untuk rekod, Leicester hanya mencatatkan satu kemenangan dari tujuh perlawanan terakhir pada musim lepas.
Terdapat laporan wujudnya perpecahan dan isu kepercayaan di kalangan pemain dan Puel pada musim lalu, namun Leicester tetap meneruskan pra musim dengan khidmat Puel.
Dan sekiranya hierarki tertinggi di Leicester memutuskan Puel untuk pergi, dua nama yang disebut berada di dalam senarai pertimbangan ialah Thiery Henry dan juga pengurus Piala Dunia Belgium, Roberto Martinez.
Puel membawa masuk tujuh muka baru di jendela perpindahan musim panas yang lalu, dan berjaya mengekalkan Harry Maguire dari berpindah ke Old Trafford.
Menyaksikan Leicester tewas 2-1 di Old Trafford ialah Martinez, dan sumber ESPN turut mengesahkan bekas pengurus Everton dan Wigan itu berminat untuk kembali ke pengurusan kelab sekiranya menerima tawaran menarik.
Manakala Henry yang meninggalkan kerjaya sebagai pundit bersama Sky Sports selepas Piala Dunia dikatakan turut bersedia mengambil langkah pertama ke dalam bidang pengurusan.
Selain dua nama tersebut, David Wagner dan Brendan Rodgers turut dikatakan berada di dalam senarai pertimbangan untuk menggantikan Puel.
Puel dilantik untuk menggantikan Craig Shakespeare pada Oktober lalu, dan memiliki kontrak bersama The Fox sehingga 2020.