Kenali Rúben Neves, Pemain Penting Generasi Portugis Di Wolves

Sepakan percuma pemain Wolverhampton, Rúben Neves dari jarak 18 meter telah berjaya menewaskan penjaga gol terbaik England, Jordan Pickford pada minit ke-44 perlawanan.

Itulah cara Ruben Neves memperkenalkan diri beliau di EPL selepas musim lalu mengejutkan ramai pihak apabila beliau menyertai Wolves yang bermain di liga kedua dalam piramid bola sepak England.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Molineux pada awalnya menyaksikan Everton terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Richarlison diminit ke-17 sebelum Neves kembali  menyamai kedudukan kepada 1-1 sebelum tamat masa perlawanan pertama.

Apa yang menariknya, gol tersebut merupakan gol pertama yang diciptakan menerusi sepakan percuma dalam saingan Premier League musim 2018/19.

Meskipun perlawanan berakhir dengan menyaksikan pendatang baru Premier League itu telah berjaya mengikat Everton 2-2, peminat bola sepak lebih berminat untuk berbicara tentang pemain Wolverhampton iaitu Rúben Neves yang dilihat telah beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut.

Generasi kelahiran Portugal

Rúben Neves atau nama sebenarnya Rúben Diogo da Silva Neves merupakan produk dari akademi FC Porto.

Beliau lahir pada 13 Mac 1997 di Bandar Mozelos, daerah Aveiro District, Portugal.

Neves memulakan kariernya dalam dunia bola sepak semasa berusia 8 tahun apabila beliau dihantar ke kelab akademi sukan bola sepak FC Porto.

Penglibatan beliau di pusat akademi tersebut telah memberi kesan yang positif sehingga berjaya membantu dirinya meningkatkan tahap permainan dalam sukan bola sepak.


Pengurusan FC Porto mula meletakkan Neves sebagai sebagian prospek yang perlu diberi perhatian dalam perancangan masa hadapan untuk pembangunan bola sepak Portugal.

Neves telah diberi banyak ruang dan pendedahan dalam usaha untuk membentuk beliau mewarisi legasi bintang-bintang hebat Portugal yang sedia ada ketika ini.

Selepas hampir 8 tahun di akademi FC Porto, beliau kemudianya dipinjamkan selama satu musim ke kelab Padroense FC bawah-16 tahun.

 Usia bukan penghalang

Pengurus FC Porto ketika itu, Julen Lopetegui merupakan pengurus yang mempromosikan Rúben Neves ke skuad senior FC Porto.

Sekembalinya Neves dari pinjaman Padroense FC, beliau terus diserapkan ke skuad senior untuk musim 2014/15.

Julen Lopetegui memilih Neves sebagai untuk menggantikan pemainnya Mikel Agu yang terpaksa disisihkan akibat mengalami kecederaan.

Lopetegui berani mengambil risiko dengan menyerap pemain muda seawal usia 17 tahun untuk bersama pasukan senior.

Bagi Lopetegui, beliau percaya Neves mampu untuk menjadi pemain sandaran buat pasukannya untuk menghadapi musim tersebut.

Kemunculan Neves bersama skuad senior telah mendapat perhatian yang meluas dari media sukan di seluruh Portugal.

Hal ini kerana usia Neves ketika itu baru mencapai 17 tahun.

Neves membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Primeira Portugal pada 16 Ogos 2014 apabila membantu pasukannya menewaskan C.S. Maritimo dengan keputusan 2-0.

Penampilan pertamanya telah mengejutkan seluruh peminat bola sepak tempatan apabila beliau berjaya mencipta jaringan pada minit ke-11 perlawanan.

Jaringan sulung tersebut telah meletakkan nama beliau sebagai pemain paling muda dari FC Porto yang berjaya menjaringkan gol di peringkat kompetitif.

Susulan dari kejayaan tersebut, penyokong mula memberikan tumpuan kepada Neves.

Meskipun masih awal untuk menilai pemain ini, sebahagian penyokong percaya yang suatu masa akan datang nama Neves bakal sebaris dengan pemain-pemain hebat yang pernah dilahirkan di Portugal.

Nama Neves sekali lagi meletup di Portugal apabila beliau telah mencipta sejarah sebagai pemain Portugal paling termuda yang beraksi dalam saingan peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.

Ketika itu, beliau mewakili pasukannya bertemu wakil dari Perancis Lillie OSC.

Lopetegui memberikan kepercayaan sepenuhnya buat Neves dengan menyenaraikan nama beliau dalam perlawanan

Dan beliau telah dimasukkan pada minit ke-73 perlawanan bagi menggantikan Sergio Oliveira.

Penampilan cemerlang Neves  di peringkat Eropah telah berjaya menambah lagi keyakinan oleh penyokong FC Porto.

Rata-rata mula berpendapat bahawa beliau sememangnya sudah boleh untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama secara rasmi, walaupun usianya baru 17 tahun.

Malang menimpa Neves disaat prestasinya sedang berada di kemuncak

Penyokong sudah mempercayai kemampuan Neves untuk mengemudi barisan tengah pasukan.

Beliau sering digandingkan bersama Hector Herrera dan Casemiro untuk memperkuatkan jentera tengah pasukan.

Akan tetapi, sebagai lumrah dalam sukan, setiap atlet tidak akan terlepas dari menerima sebarang kecederaan.

Situasi itulah yang menimpa Neves disaat prestasinya sedang meningkat naik.


Pada penghujung tahun 2014, Neves mengalami kecederaan serius dibahagian lutut kirinya, dalam perlawanan menetang Shakhtar Donetsk di pusingan kelayakan UCL 2014/15.

Selepas tamat perlawanan, pihak pengurusan mengesahkan bahawa Neves mengalami kecederaan serius, di lutut kirinya sehingga menyebabkan beliau mengalami luka kecil dibahagian ligamen.

Kecederaan tersebut membuatkan beliau terpaksa berehat panjang.

Neves ‘kapten’ berusia 18 tahun

Neves harus melupakan tragedi yang menimpanya tahun lalu.

Selama beberapa bulan berehat, tibalah masanya untuk beliau kembali bangkit mengangkat namanya semula.

Neves disenaraikan dalam perlawanan Piala Liga bertemu C.F. Uniao dalam saingan Piala Liga.

Bagaimanapun, Lopetegui tidak memasukkan beliau dalam perlawanan tersebut.

Lopetegui melihat beliau semakin matang dalam perlawanan dan memiliki sifat seorang kepimpinan meskipun usianya baru 18 tahun.


Pada Oktober 2015, Rúben Neves telah mencipta sejarah baru yang lebih hebat dimana beliau menjadi pemain termuda di Liga Juara-Juara Eropah yang mengalas tugas sebagai ketua pasukan dengan membantu pasukannya menang 2-0 keatas wakil kelab Israel, Maccabi Tel-Aviv.

Pada ketika itu, umurnya baru berusia 18 tahun 221 hari.

Rekod tersebut telah meleburkan rekod yang dipegang Rafael van der Vaart (20 tahun) pada 16 September 2003.

Selang tiga bulan kemudian, Neves mencipta sejarah lagi dimana beliau memecah rekod sebagai pemain paling termuda yang telah berjaya tampil sebanyak 50 perlawanan bersama FC Porto.

Rekod itu sebelumnya dipegang oleh Fernando Gomes dan Jaime Magalhaes.

Sejak menyertai skuad senior FC Porto pada tahun 2014, secara keseluruhan beliau telah tampil dalam 59 perlawanan dan berjaya menghasilkan 3 gol buat pasukan.

Tiga musim bersama skuad utama Porto, Neves diangkat sebagai salah satu pemain emas ‘Golden Boy’ yang pernah dimiliki oleh kelab tersebut.

Terima tawaran dari kelab division dua Inggeris

Secara individu, pelbagai bentuk pengikhtirafan yang diterima oleh Rúben Neves sepanjang bersama FC Porto.

Tetapi, jika dilihat dari sudut kejayaan bersama pasukan, beliau gagal membantu FC Porto menjuarai sebarang trofi kejuaraan selama tiga musim bersama pasukan tersebut.

Pada musim 2015, Neves mengalami penurunan pretasi.

Beliau banyak kehilangan posisi utamanya dalam pasukan. Neves hanya bermain dalam 18 perlawanan untuk semua pertandingan.

Kehadiran ramai pemain tengah baharu bersama FC Porto telah mengugat kedudukan beliau bersama pasukan tersebut.

Kehadiran pengurus baru, Sérgio Conceição menggantikan Julen Lopetegui telah mengubah struktur dalaman pasukan.

Melihat prestasi FC Porto yang kurang memuaskan beberapa musim sebelum ini, Conceição telah membuat keputusan untuk melakukan rombakan pemain secara besar-besaran.

Ramai 16 pemain telah dikeluarkan. Salah satunya ialah Rúben Neves.

Neves meninggalkan Porto selepas mendapat tawaran dari kelab division kedua Inggeris iaitu, Wolverhampton.

Neves menyertai Wolverhampton pada pertengahan tahun 2017 dengan nilai perpindahan dilaporkan sebanyak £ 15 juta (RM 78.247 juta).

Nilai harga perpindahan tersebut telah mencatatkan nilai paling tertinggi yang pernah dilakukan Wolves dalam urusan pembelian pemain sepanjang sejarah kelab tersebut.


Sebelum itu, Neves turut dikaitkan dengan beberapa kelab utama Premier League yang cuba untuk mendapatkan khidmat beliau antaranya Liverpool dan Manchester United.

Pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo pernah memuji jaringan gol yang diciptakan Neves ketika membantu pasukannya membenam Derby County April lalu.

Dipetik menerusi laporan Expressandstar, Santo sebagai berkata, Neves merupakan pemain yang berbakat besar dan mereka (Wolverhampthon) amat bertuah kerana memiliki pemain muda sehebat ini.

“Ini berbakat ! Kami bernasib baik kerana mempunyai pemain berbakat seperti ini”

“Tetapi apa yang membuat gol ini berjaya dicipta adalah sebuah peluang. Di mana ini semua dibuat oleh hasil kerjasama sebuah pasukan, kawalan bola yang baik dan juga tidak semua pemain mampu melakukannya. Kmai bertuah kerana dapat menikmati situasi indah seperti ini.”

“Kami mempunyai masa yang terbaik untuk maju lebih kehadapan, dan Ruben pastinya tahu tugas yang harus dipikulnya dan dia memiliki banyak hal untuk diperbaiki.”

Anugerah di Inggeris

Pada 15 Ogos 2017, Neves berjaya menjaringkan gol pertamanya pada dalam kemenangan 3-2 ke atas Hull City disaingan Division dua Liga Inggeris.

Aksi terbaik bersana kelab tersebut membuatkan namanya telah dicalonkan untuk Pemain Kejuaraan EFL Musim dan Pemain Muda anugerah Musim.

Beliau juga terpilih sebagai pemain dalam kesebelasn terbaik kejohanan bersama dengan rakan sepasukan Conor Coady dan John Ruddy.

Pada bulan Julai 2018, Wolves mengumumkan bahawa Neves telah menandatangani kontrak baru dengan kelab tersebut, sehingga tahun 2023.

Gelaran ‘New Xabi Alonso’ di Molinuex

Pengaruh Nuno Espírito Santo telah membawa Wolverhampthon Wanderers tampil di Premier League pada musim 2018/19 dengan dibarisi ramai pemain kelahiran Portugal.

Mereka memilik Rui Patrício, Rúben Vinagre, João Moutinho, Hélder Costa, Diogo Jota, Ivan Cavaleiro, Roderick Miranda dan termasuklah Rúben Neves.

Nuno menerapkan formasi 3-4-3 dalam pasukan dan beliau telah menyediakan satu tempat untuk Neves di posisi tengah.

Mereka amat bergantung jentera tengah dimainkan Neves dan Moutinho yang berperanan berperanan untuk membuka ruang kepada pemain sayap kiri dan kanan.

Neves mempunyai peranan sebagai pergerak utama bahagian tengah pasukan. Bahagian beliau dalam mempertahankan serangan pihak lawan juga hebat, di mana dia sering dilihat berjaya menghentikan serangan lawan atau merampas bola semula.

Neves juga mempunyai kelebihan membuat hantaran tepat pada rakan pasukan dan berpotensi melakukan sepakan dari jarah jauh terus menuju ke gawang lawan.

Ketepatan sepakan beliau boleh mencapai 84.6%. Ini terbukti apabila beliau berjaya menjaringkan 6 daripada 7 gol untuk Wolvers pada musim lalu menerusi sepakan dari jarak jauh.

Media British Dreamteamfc pernah menyiarkan satu laporkan bahawa Neves memiliki ciri permainan seperti pemain Sepanyol, Xabi Alonso.

Neves tidak tersenarai ke Piala Dunia 2018

Prestasi cemerlang Neves dalam kelabnya sehingga berjaya membantu Wolvers layak ke saingan Premier League musim 2018/19 masih belum cukup untuk menambat hati pengurus Portugal, Fernando Santos.

Santos telah menggugurkan nama Neves dari senarai 23 pemain yang akan ke Rusia bagi mwakili Portugal untuk kmepen Piala Dunia 2018.

Penutup

Jaringan Neves dalam perlawanan bertemu Everton semalam membuatkan nama beliau harus diberi perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dari pihak lawan.

Rekod telah dicatatkan bahawa, Premier League telah berjaya mengangkat nama-nama besar dari Portugal yang beraksi bersama kelab masing-masing.

Sebagai contoh, Cristiano Ronaldo, Nani, Paolo Ferreira, Luís Boa-Morte, Ricardo Rocha, Abel Xavier dan Pedro Mendes.

Walaupun masih awal untuk menilai penampilan Neves di pentas Premier League, jika dilihat dengan aksi sulungnya bertemu Everton, penulis percaya Rúben Neves mampu mencipta fenomena baharu dalam bola sepak di Inggeris pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN