Persaraan pemain Barcelona, Gerard Pique telah mengejutkan dunia bola sepak selepas beliau memilih untuk meninggalkan sukan itu serta-merta.
Beliau yang menjadi tunjang pertahanan Barcelona sejak sekian lama memilih untuk bersara dengan menjadikan aksi pada Sabtu ini sebagai perlawanan terakhir dalam kariernya.
Aksi menentang Almeria pada jam 4 pagi waktu Malaysia adalah aksi terakhirnya untuk Barcelona.
Menurut Fabrizio Romano, kontrak Pique akan ditamatkan secara serta-merta minggu hadapan dengan gajinya pun tidak akan dibayar selepas itu.
Walaupun semuanya sudah berakhir, tetapi Pique memilih untuk kembali ke Barcelona di masa akan datang.
“Saya akan turunkan kecintaan saya kepada Barcelona kepada anak-anak saya, sama seperti apa yang keluarga saya lakukan kepada saya.
“Seperti biasa, semua orang tahu yang cepat atau lambat, saya akan kembali,” kata Pique.
Legasi kini berakhir
Dengan persaraan Pique, ini menjadikan legasi skuad Barcelona edisi 2009 telah pun berakhir.
Skuad yang cukup ampuh dan meraih status legenda itu menghimpunkan ramai pemain yang cukup handal di dunia.
Antara pemain-pemain yang membarisi skuad itu adalah Victor Valdes, Charles Puyol, Dani Alves, Xavi, Andres Iniesta, Lionel Messi, Thierry Henry dan Pique sendiri.
Ketika itu, Barcelona diterajui oleh Pep Guardiola yang berusia 37 tahun ketika itu berjaya membimbing skuad tersebut meraih tiga gelaran iaitu La Liga, Copa Del Rey dan UEFA Champions League.
Dengan berakhirnya legasi ini, bukanlah bermakna kesemua pemain dalam skuad 2009 Barcelona sudah bersara.
Sebaliknya, kesemuanya telah membawa haluan masing-masing dengan beraksi untuk pasukan lain.
Antara pemain yang masih aktif adalah Messi yang bermain untuk Paris Saint-Germain, Iniesta bersama Vissel Kobe dan Thiago Alcantara di Liverpool.
Cuma Xavi sahaja masih berada di kelab sebagai pengurus.
Apa pun, skuad 2009 Barcelona ini dikenang sebagai antara yang terbaik dalam sejarah selain daripada generasi 2011 kelab Catalan ini yang turut merajai dunia bola sepak.