Selepas hampir 16 tahun ‘lenyap’ daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United kini dilihat semakin hampir untuk kembali merasai kehangatan kempen liga paling popular di dunia tersebut.
Jaringan tunggal lewat permainan Pablo Hernandez pada pertemuan menentang Swansea di Liberty Stadium, malam tadi telah menghadiahkan kemenangan 1-0 buat The Whites yang menyaksikan mereka hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mengetuk kembali pintu ke pentas EPL.
Perkembangan terkini yang sememangnya membuatkan para penyokong Leeds United begitu teruja kerana kali terakhir mereka mengecap nikmat beraksi dalam kancah EPL adalah pada musim 2003/04.
Musim di mana Arsenal telah bergelar ‘The Invincibles’ berikutan rekod hebat tanpa kalah yang dicatatkan sepanjang 38 perlawanan dilalui skuad kendalian Arsene Wenger itu.
Meskipun impian yang semakin hampir untuk direalisasikan, pengendali pasukan, Marcelo Bielsa masih tidak mahu meraikan dan terlalu dibuai dengan perkara tersebut.
”Apa yang kami rasakan adalah kami kini lebih tenang, lebih ringan [tekanan], kerana kami telah memberikan langkah-langkah yang seharusnya kami lakukan.”
”Sudah tentu, apabila anda menjaringkan gol pada lewat permainan, perasaan dan emosinya cukup tinggi,” ujar Bielsa menurut laporan Goal.
”Ketika perlawanan berlangsung, kemungkinan kami semakin meningkat dan pada 30 minit terakhir, saya merasakan kami berhak untuk mendapatkan jaringan dan mendapat perbezaan yang kami harapkan pada akhirnya.”
”Saya tidak boleh meraikannya lagi, apa yang anda rasakan ialah anda semakin meningkat. Satu-satunya perkara yang saya dapat nikmati apabila sasaran terakhir kami berjaya diperolehi,” tambah Bielsa lagi.
Ketika saingan EFL Championship hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi, Leeds United sedang memimpin carta liga dengan mengumpul 84 mata, berkelebihan tiga mata di hadapan pencabar utama, West Bromwich Albion. Manakala, Brentford di tangga ketiga dengan 78 mata.
Kredit featured image: George Wood/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Marcelo Bielsa: