Pulau Pinang tampak makin ghairah memburu pemain bagi memperkuatkan pasukan menjelang pra musim yang akan berlangsung tidak lama lagi. Pulau Pinang dalam misi untuk memburu slot ke saingan Liga Super 2021 yang tertangguh.
Harimau Kumbang gagal meraih promosi setelah ditolak enam mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada penghujung musim dan menyebabkan mereka yang sepatutnya layak ke Liga Super 2020, tergelincir ke kedudukan ke-7 Liga Premier 2019.
Pulau Pinang sebelum ini telah mengumumkan beberapa pemain baharu antaranya penjaga gol JDT II, Sam Somerville, Ramadhan Hamid, Azmi Muslim, Marcus Mah dan beberapa lagi pemain.
Dan semalam, empat lagi pemain baharu diumumkan menerusi laman Facebook Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan berjaya mencuri tumpuan pemerhati bola sepak tempatan.
Empat pemain yang telah mengikat kontrak itu adalah Raffi Nagoorgani, Khairu Azrin Khazali, Lee Chang Hoon dan juga pemain muda dari skuad Piala Presiden, Azrie Reza Zamri.
Azrie Reza Zamri yang beraksi di poisi serangan diberikan peluang oleh Pulau Pinang setelah cemerlang bersama skuad Piala Presiden dengan meledak 11 gol – keempat terbanyak kejohanan.
Selain pemain muda tersebut, tiga lagi pemain lain adalah pemain yang sangat berpengalaman iaitu Raffi Nagoorgani dan Khairu Azrin adalah tonggak pasukan masing-masing di Liga Super 2019.
Raffi Nagoorgani beraksi bersama FELDA United dan Khairu Azrin pula adalah tonggak finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu FC.
Paling mencuri tumpuan pastinya pemain tengah import dari Korea Selatan yang beraksi bersama PDRM musim lalu iaitu Lee Chang-hoon yang berhijrah walaupun meraih promosi ke Liga Super.
Pemain yang memiliki lebih 20 penampilan bersama PDRM pada musim lalu itu pastinya akan memperkuatkan cabaran Harimau Kumbang dan pengalamannya beraksi di Liga Malaysia akan memudahkan pemain berusia 32 tahun menyesuaikan diri.
Pengendali, Manzoor Azwira banyak mempertaruhkan kudrat pemain tempatan di jentera tengah musim lalu, kecuali kapten yang juga berasal daripada Korea Selatan, Kang Seung-jo, yang belum diketahui status kontraknya untuk musim hadapan.
Masih dinantikan oleh para penyokong adalah tiga pemain import dan penyerang utama yang belum diisi apabila status tiga tonggak utama pada musim lalu iaitu Julian Bottaro, Casagrande dan Ezequiel Aguero masih belum diketahui.
Kredit Featured Image: FAP