Bekas pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Ledley King mengakui langkah tepat yang dilakukan Mauricio Pochettino walaupun kelab tersebut masih belum menandatangani mana-mana pemain baharu ke dalam pasukan.
Sepertimana yang diperkatakan, Spurs merupakan satu-satunya pasukan dalam enam kelab terbaik Liga Perdana Inggeris yang masih belum merekrut pemain bagi menghadapi musim baharu.
Perkara tersebut disifatkan King sebagai tidak merisaukan dan beliau percaya Pochettino akan bertindak bijak dalam masa dua minggu akan datang sebelum jendela perpindahan ditutup.
”Jelas sekali orang lain sedang menambah kekuatan pasukan masing-masing dan saya pasti pengurus ini (Pochettino) melihatnya,” King bercakap kepada Sky Sports News.
”Tetapi dia hanya akan membawa pemain yang tepat untuk harga yang betul dan saya rasa ia adalah penting.”
”Kami memerlukan pemain yang mampu memberikan impak buat pasukan. Jika tidak, kami tidak perlu untuk membuat pembelian pemain.”
”Saya rasakan konsistensi skuad sedia ada merupakan kekuatan buat kami (Tottenham Hotspur) ketika ini.”
”Ini adalah sekumpulan pemain yang telah bersama untuk tiga atau empat tahun terakhir di bawah pengurus yang sama.”
”Mereka telah memahami antara satu sama lain dengan sangat baik dan saya turut percaya ia adalah merupakan salah satu kekuatan skuad ini.”
Pada musim 2017/18, Tottenham Hotspur telah menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ketiga selepas mencatatkan 23 kemenangan, lapan keputusan seri dan tujuh kekalahan untuk memperoleh 77 mata.