‘Lebih Dihargai Di India Berbanding Malaysia’ – Mentaliti Luar Biasa Liridon Yang Sanggup Kerja Buruh Demi Impian Dalam Bola Sepak

Mungkin tidak ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini. Bahawasanya pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi telah menunjukkan sedikit peningkatan prestasi bersama skuad kebangsaan dalam Kejohanan FAS Tri Nations baru-baru ini.

Kenyataan tersebut diambil berdasarkan perbandingan penampilan awalnyanya bersama skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE pada tahun lalu.

Kritikan dan penghinaan

Kritikan demi kritikan dilemparkan kepada pemain kelahiran Kosovo ini yang menerima kerakyatan Malaysia pada Mei 2020 yang lalu.

Ramai yang mempersoalkan, termasuk media-media tempatan, sama ada Liridon benar-benar layak untuk diberikan kerakyatan dan mampu menyumbang kepada skuad Harimau Malaya.

Adakalanya kritikan yang diterima pemain ini agak keterlaluan sehingga bernada hinaan.

Walau apa pun yang dikatakan terhadapnya, ada satu perkara yang membuatkan penulis kagum akan pemain ini.

Liridon tidak pernah memberikan respon terhadap kritikan atau hinaan yang dilemparkan terhadapnya.

Sama ada Liridon bersikap ‘pekak badak’ atau sedar akan kelemahan dirinya, satu perkara yang pasti beliau sentiasa fokus dan bangga setiap kali menyarung jersi pasukan negara.

Sekurang-kurangnya pemain ini tidak pernah menolak setiap kali berada di dalam senarai untuk dipanggil menyertai kem latihan pasukan negara.

Tidak mudah buat Liridon

Perjalanan karier Liridon sejak 3-4 tahun yang lalu juga sebenarnya tidak mudah. Bermula dengan cemerlang ketika beraksi bersama Kedah sebagai pemain import, karier pemain ini ibarat kehidupan nomad selepas itu.

Beraksi separuh musim bersama Melaka United pada 2019, kecederaan membantutkan penampilanya selepas itu – tampil hanya dalam 6 perlawanan Liga Super.

Musim berikutnya Liridon diikat oleh JDT. Berdasarkan prestasi semasanya pada ketika itu terutama selepas terpaksa melupakan aksi selama hampir setahun, harus diakui ia tidak mudah untuk beliau menembusi kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.

Mungkin sedar akan masalah tersebut dan enggan bakatnya dipersiakan, Liridon dipinjamkan ke Newcastle Jets di Liga Australia dan tampil dalam sembilan perlawanan – kebanyakkannya sebagai pemain gantian.

Musim lalu Liridon terpaksa mencari kelab baharu, dan beliau menyertai Odisha FC di Indian Super League (ISL) selama semusim.

Bersama Odisha, beliau bermula agak perlahan. Pada mulanya beliau lebih kerap turun sebagai pemain gantian sebelum peranannya di jentera tengah kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar menjadi semakin penting.

Bukan sahaja beliau menjadi watak yang disenangi di kalangan rakan sepasukan di bilik persalinan, ketenangan beliau mengawal jentera tengah sebagai ‘hero tidak didendang’ turut dihargai penyokong Odisha sehingga dirinya digelar ‘The General’ di ISL.

Beraksi bersama empat kelab dalam tempoh tiga musim bukan perkara yang mudah untuk seseorang pemain menampilkan keupayaan sebenar.

Lebih dihargai di India berbanding Malaysia?

Seperti di Malaysia, Liridon juga sebenarnya pernah dikritik dan dijadikan bahan ‘troll’ di ISL kerana prestasinya.

Dan ‘troll’ tersebut datangnya daripada salah seorang pundit ISL yang mempersendakan sumbangan Liridon yang menamatkan musim tanpa sebarang gol dan assist sepanjang 16 penampilan yang dilakukan bersama Odisha.

Tetapi bola sepak bukan diukur hanya melalui gol dan assist semata-mata. Merupakan pemain yang memiliki kebolehan teknikal yang baik, kehadiran Liridon di jentera tengah Odisha sebenarnya lebih tertumpu kepada membentuk organisasi pasukan ketika perlawanan.

Maka tidak hairanlah mengapa Liridon digelar sebagai ‘Raja Gelecek’ di ISL. Beliau bukanlah pemain paling pantas di atas padang persis seorang penyerang atau pemain sayap.

Tetapi untuk seorang pemain tengah dengan statistik terbaik menggelecek lawan, sedikit sebanyak ia menjelaskan peranan pemain itu secara taktikal di dalam pasukan.

Anda boleh berikan penjelasan lain yang lebih relevan daripada itu sekiranya ada. Realitinya pemain seperti Liridon lebih dihargai di India berbanding di negara angkatnya, Malaysia.

Tidak pernah mudah untuk Liridon

Liridon mungkin bukan pemain terbaik di dalam skuad Harimau Malaya pada hari ini. Malah beliau juga harus terus berusaha meningkatkan prestasi semasa untuk kekal di dalam skuad pilihan Kim Pan-gon.

Namun jika ada sesuatu yang pemain lain boleh pelajari daripada pemain ini, ia adalah sikap profesional dan tidak pernah putus asa yang ditampilkannya. Jika direnungkan  kembali, kisah silam pemain ini mungkin sedikit sebanyak telah membantu membentuk peribadinya pada hari ini.

Siapa sangka sebelum berjaya bergelar pemain bola sepak profesional seperti hari ini, Liridon juga pernah hidup susah kerana bukan berasal daripada keluarga yang senang.

“Apabila saya masih kanak-kanak, saya banyak menghabiskan masa di jalanan,” kongsi Liridon di dalam satu temubual di Australia pada tahun lalu.

Pernah bekerja keras di tapak pembinaan di Jerman dan gagal mendapat kontrak profesional ketika masih bergelar pemain muda, Liridon tidak pernah memadam impian bergelar seorang pemain bola sepak profesional.

Malah beliau turut melakukan latihan seorang diri apabila berkesempatan. Semua usaha dan kerja keras itu dilakukan demi menyara dan mengubah nasib keluarganya.

“Saya berlatih sendirian. “Hujan, ketika salji turun atau ketika ribut melanda sekali pun, saya akan berlatih. Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh kerana percaya masa dan peluang akan tiba juga.”

Tidak mudah untuk bergelar seorang pemain profesional. Ramai anak muda hanya melakukannya sekerat jalan apabila berhadapan dengan realiti sebenar. Apatah lagi apabila menjadi seorang anak muda yang cuba melakukannya dalam keadaan serba kekurangan.

Pantang menyerah kalah

Menyerah kalah sememangnya tidak terkandung di dalam kehidupan Liridon Krasniqi. Walaupun sentiasa mengeluh kerana keperitan yang perlu dilaluinya pada ketika itu, beliau sentiasa yakin mampu berjaya suatu hari nanti. Malah segala keperitan itu dianggap sebagai ujian bagi beliau untuk berjaya pada masa hadapan.

Sebagai seorang pemain muda berbakat, Liridon pernah menyertai 1860 Munich, Bayern Munich dan FC Nurnberg di peringkat pembangunan.

Akhirnya bakat beliau diasah oleh sistem akademi Bayern Munich bersama-sama generasi pemain seperti David Alaba dan Thomas Muller yang membintangi kelab Bavarian itu pada hari ini.

“Saya amat berbangga denga pengalaman yang saya pernah raih, dan bersyukur untuk tempoh saya berada di sana,” tambah beliau lagi dalam temubual tersebut.

Liridon juga menanggap dirinya sebagai pemain yang mempunyai pelbagai kemampuan dan corak permainan konvensional tersendiri.

“Saya suka dilihat sebagai pemain yang sukar dijangka,” ujar beliau dalam tembual tersebut.

“Jika saya berjaya melakukannya, maka ia akan membantu pasukan,” tambahnya lagi ketika ditanya mengenai corak permainnanya.

Kesimpulan

Bagi yang sudah lama mengikuti perkembangan Liridon Krasniqi, anda pasti boleh menceritakan kisah perjalanan karier pemain tengah ini satu persatu.

Sejak daripada kecil Liridon sudah diasuh untuk bangkit daripada kesukaran. Perkara sama turut dilaluinya sejak bergelar pemain profesional.

Semoga jaringan antarabangsa pertamanya bersama skuad Harimau Malaya dalam perlawanan menentang Singapura sebelum ini menjadi titik kebangkitan baharu Liridon Krasniqi di pentas antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN