Selepas minggu ke-5 saingan Liga Perdana Inggeris berlangsung, Manchester City dan Manchester United menepati ramalan awal ramai penganalisa bola sepak, bakal menjadi 2 kelab yang dominan pada musim ini untuk merampas gelaran EPL daripada Chelsea.
Kedua-dua kelab dari bandar Manchester itu, City di bawah bimbingan Pep Guardiola dan United di bawah kendalian Jose Mourinho kini berkongsi mata, menjaringkan jumlah jaringan dan bolos jumlah jaringan yang sama untuk menhasilkan perbezaan jaringan yang identikal.
Soalan yang ramai penyokong United tanyakan: Bagaimana Manchester City boleh berada di puncak liga? Adakah City akan dinobatkan sebagai juara jika kedudukan kekal sebegitu pada penghujung musim? Apakah mekanisma yang akan digunapakai untuk menentukan gelaran juara?
Bagaimana Manchester City boleh berada di puncak liga?
Untuk rekod, ini bukanlah pertama kali kedua-dua pasukan terikat dengan mata yang sama di puncak liga. Masihkah anda mengingati EPL musim 2011-12?
Manchester City dan Manchester United terikat dengan 89 mata selepas 38 perlawanan. Kedua-dua kelab merekodkan 28 kemenangan, 5 keputusan seri dan tewas hanya 5 kali pada musim itu.
Namun demikian, Manchester City dinobatkan sebagai juara kerana kelebihan jaringan yang mereka miliki. Secara keseluruhan, skuad City pada masa itu menjaringkan 93 gol dan melepaskan 29 gol untuk perbezaan jaringan 64+, mengatasi United yang hanya merekodkan 56+.
8 perbezaan jaringan dan United berputih mata pada hari terakhir musim tersebut.
Namun situasinya berbeza pada kali ini. Kedua-dua pasukan mempunyai rekod yang serba-serbi identikal. Buat masa ini City hanya berada di atas United kerana perbezaan ejaan dan disusun mengikut urutan abjad.
Ia adalah perkara yang sama menjelang hari pertama perlawanan. Kesemua pasukan bermula dengan 0 mata, dan Arsenal, Bournemouth serta Chelsea adalah antara pasukan yang akan berada di atas sebelum mata diraih untuk membezakan kedudukan setiap pasukan.
Maka siapa yang mendahului liga selepas 5 perlawanan? Manchester City dan Manchester United adalah jawapannya.
Adakah City akan dinobatkan sebagai juara jika kedudukan kekal sebegitu pada penghujung musim?
Jawapan bagi soalan ini ialah ya dan tidak. Ini adalah kerana Manchester City tidak akan dinobatkan secara automatik jika kedudukan kekal identikal pada akhir musim.
Sebaliknya kedua-dua pasukan harus berhadapan sekali lagi, ibarat perlawanan akhir untuk menentukan siapa yang lebih layak bergelar juara.
Perlawanan penentuan sebegini bukan sahaja digunakan untuk penentuan gelaran juara. Malah ia juga mekanisma yang digunapakai untuk menentukan pasukan mana yang akan turun divisyen jika situasi sama berlaku di antara kelab yang berada di dasar liga.
Peraturan Premier League menyatakan:
“Jika pada akhir musim, mata dan perbezaan gol tidak boleh digunakan untuk menentukan pasukan mana yang layak bergelar juara, tersingkir ke divisyen bawah dan untuk penentuan kelayakkan ke pertandingan eropah, maka satu perlawanan penentuan di antara pasukan terbabit akan diadakan.”
“Perlawanan penentuan akan diadakan di venue berkecuali dengan format, masa dan tarikh perlawanan yang akan ditentukan sendiri oleh pihak penganjur.”
Ini bermakna tiada kemenangan automatik jika kedudukan akhir adalah identikal seperti hari ini. Setiap pasukan harus bermain dalam perlawanan tambahan.
Apakah mekanisma yang digunapakai untuk penentuan?
Peraturan ini bermakna perlawanan penentuan turut boleh membabitkan lebih daripada 2 pasukan jika situasi sebegini wujud di akhir musim.
Format kelayakkan akan ditetapkan oleh penganjur berdasarkan kesesuaian yang difikirkan patut oleh pihak Premier League.
Bagaimanapun, kemungkinan situasi sebegini untuk berlaku sangat tipis sekali. Rekod dan kedudukan yang identikal sebegini adalah perkara yang biasa terjadi pada awal musim sahaja.
Bagaimanapun persamaan rekod dan pencapaian identikal sebegini hanya berlaku kali kedua selepas bulan Ogos sejak EPL dimulakan pada 25 tahun yang lalu.
Pada 2015, Chelsea dan Manchester City mempunyai kedudukan liga yang identikal selepas 20 perlawanan. Kedua-dua pasukan mengumpul 46 mata, menjaringkan 44 gol dan turut melepaskan 19 gol.
Bagaimanapun Manchester City tidak mampu untuk bersaing dengan Chelsea menjelang pertengahan Februari, dan Chelsea muncul juara dengan kelebihan 8 mata di atas City pada musim tersebut.
Situasi seperti yang dihadapi oleh Manchester City dan Manchester United jarang sekali berlaku pada akhir musim. Namun ia tidak mustahil untuk terjadi.
Saingan Liga Perdana Inggeris telah menjadi antara saingan liga yang paling kompetitif di dunia. Jika dahulu kita sering gunakan terma ‘Top 4’, kini saingan merebut kejuaraan EPL lebih sinonim dengan gelaran ‘Top Six’.
Terma sebegitu wujud di EPL, mengambil kira kemungkinan pasukan-pasukan yang bertanding untuk bergelar juara liga adalah lebih terbuka berbanding dengan liga-liga di negara lain.
Rumusan
Lupakan seketika rekod City dan United. Tidak dinafikan kedua-dua kelab telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam 5 perlawanan setakat ini.
Chelsea mulai menunjukkan prestasi mereka pada musim lalu. Coutinho telah kembali ke dalam kesebelasan utama Liverpool. Arsenal dan Tottenham juga pasti tidak mahu terlepas peluang.
Pada pendapat anda, pasukan manakah yang akan bergelar juara Liga Perdana Inggeris musim 2017/18 ini?
Sumber:
1. Premier League: Premier League explained: https://www.premierleague.com/premier-league-explained
2. Sky Sports (2017): Manchester City’s alphabetical edge over Manchester United explained; http://www.skysports.com/football/news/11661/11041833/manchester-citys-alphabetical-edge-over-manchester-united-explained