“Latihan Sebenar Rabu Ini”- Kim Pan Gon Mula Tugasan Pertama Latih Skuad Kebangsaan

Pada hari Isnin semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil, seramai 25 daripada 30 pemain skuad Harimau Malaya mula melaporkan diri dalam kem latihan pusat untuk tugasan antarabangsa mereka di Singapura beberapa hari sahaja lagi.

Jelas Kim Pan-gon, hanya tiga orang pemain tidak dapat melaporkan diri atas sebab masing-masing iaitu Safawi Rasid, Darren Lok, serta Khair Jones yang terpaksa melupakan hasrat bersama rakan sepasukan lain di kem latihan pusat.

Dua lagi pemain ialah Liridon Krasniqi dan Dion Cools yang diberitakan bakal menyertai skuad kebangsaan di Singapura minggu depan memandangkan kedua pemain tersebut berpangkalan di luar negara.

“Sejujurnya hari ini sememangnya cukup sukar kerana semua (pemain) baharu tiba dan tumpuan lebih diberikan kepada proses pemulihan sebelum latihan penuh bermula Rabu ini.

“Malam tadi ramai dalam kalangan pemain yang beraksi dalam pusingan pertama Piala FA selama 90 minit bersama pasukan masing-masing. Jadi buat masa ini kita beri keutamaan kepada soal pemulihan.

“Pagi esok, kita akan bermula dengan taktikal manakala latihan yang sebenar berkemungkinan besar bermula Rabu ini,” katanya kepada pemberita menerusi Sinar Harian di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Pemain sayap kebangsaan yang juga merupakan tonggak utama Johor Darul Takzim iaitu Safawi Rasid difahamkan terpaksa pulang ke kampung halaman, Terengganu ekoran masalah kesihatan yang dihadapi bapanya.

Selain itu, Darren Lok yang masih segar dengan gol sewaktu aksi Piala FA baru ini bersama PJ City dikhabarkan kurang sihat dan Khair Jones pula baru selesai menjalani kuarantin bersama Negeri Sembilan setelah tidak beraksi di perlawanan kedua Liga Super serta Piala FA.

Dalam masa sama, Faisal Abdul selaku pemain serangan Terengganu jelas tidak sabar untuk membuktikan sesuatu bawah kendalian Pan Gon dan mahu menggunakan peluang ini untuk memberi segala yang terbaik setelah aksi pemain licik ini sedikit hambar pada aksi Piala AFF tahun lalu.

“Ya, pengalaman pada Piala Suzuki AFF tahun lalu amat mengecewakan apabila saya hanya dapat beraksi satu perlawanan. Tapi apakan daya takdir kita ini bola sepak, saya percaya pada rezeki.

“Ini peluang kedua saya bersama pasukan Harimau Malaya, mungkin ini peluang terbaik untuk saya buktikan sesuatu kepada ‘coach’ baharu,” ujarnya.

Skuad kendalian Pan Gon kini sedang menjalani latihan pertama mereka bagi persiapan untuk menghadapi dua perlawanan Tier 1 menentang tuan rumah, Singapura serta Filipina yang bakal bermula 23 Mac ini.

Dalam menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan, Pan Gon bakal menggunakan peluang perlawanan persahabatan ini bagi mencari keserasian para pemain terlebih dahulu.

Selain menghadapi dua pasukan kebangsaan tersebut, Harimau Malaya juga bakal diuji dengan kelab yang berpangkalan di Singapura iaitu Albirex Niigata dalam satu lagi perlawanan persahabatan di sana menjadikan skuad kebangsaan bakal menghadapi tiga lawan yang berbeza.

Sumber:
Sinar Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN