‘Ketinggalan Zaman’ – Old Trafford Bakal Diroboh & Dibina Semula Dengan Rekaan Moden?

Old Trafford Manchester United

Old Trafford telah menjadi gelanggang rasmi Manchester United sejak 1910 dan masih kekal sebagai salah sebuah stadium ikonik dalam dunia bola sepak.

Ia telah menjadi saksi kepada sejarah kegemilangan The Red Devils dalam menjadi kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.

Namun kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk merobohkan stadiumnya itu dan membina semula di tapak yang sama.

Sukar untuk menafikan Old Trafford telah dianggap kurang serinya dan keadaannya semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah dari segi rekaan dan corak pada era moden ini, ia jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan beberapa stadium di England seperti Stadium Tottenham, Stadium London, Stadium Etihad dan Stadium Emirates.

Namun cadangan untuk merobohkan Old Trafford hanyalah salah satu daripada tiga pilihan. Antara cadangan lain adalah melakukan pengubahsuaian pada bahagian South Stand yang terdapat laluan keretapi di belakangnya.

Satu lagi pilihan adalah mengekalkan struktur binaan sedia ada tetapi melakukan rombakan menyeluruh pada kawan penonton di keempat-empat bahagian atau penjuru.

Menurut laporan, keluarga Glazer lebih cenderung dengan rancangan untuk membangunkan bahagian South Stand. Ia merupakan pilihan yang dianggap bersesuaian dengan keadaan kewangan kelab.

Sekiranya pengubahsuaian itu berjaya dilakukan, kapasiti stadium mampu ditingkatkan dari 74,000 kepada lebih dari 80,000 tempat duduk.

Rancangan untuk merobohkan keseluruhan stadium dilihat bakal memberikan terlalu banyak masalah kerana United perlu mencari gelanggang sementara untuk tempoh yang lama sepanjang stadium baharu dibina semula.

Ia mungkin mudah buat kelab-kelab di London kerana mereka boleh ‘menumpang’ beraksi di Stadium Wembley, tetapi tiada pilihan buat United yang berada jauh di bahagian barat laut England.

Menurut Ketua Pegawai Operasi United, Collete Roche, pihaknya berjanji akan memastikan proses pengubahsuaian stadium akan dilakukan dengan teliti bagi memastikan keselesaan penyokong pada setiap perlawanan.

“Kami berharap dapat melantik panel terbaik dalam beberapa minggu akan datang dan berharap dapat memulakan fasa satu projek ini secara rasmi yang akan memberi tumpuan kepada mewujudkan objektif untuk pelan induk itu,” ujar Roche.

Isu ‘keuzuran’ Old Trafford menjadi salah satu punca keluarga Glazer dikritik oleh penyokong The Red Devils.

Bekas kapten United, Gary Neville sendiri pernah menyuarakan hal yang sama dan kecewa dengan fasiliti di kelab tersebut.

“Saya rasa mereka [pemilik kelab] bergelut untuk memenuhi tuntutan kewangan yang diperlukan oleh kelab selama ini. Jika kamu masih ingat, bagaimana kelab ini semasa mereka ambil alih pada 2004, ujar Neville.

“Mereka ada stadium terbaik di negara ini, mungkin salah satu yang terbaik di Eropah. Pusat latihan terbaik di negara ini, mungkin salah satu yang terbaik di Eropah. Pasukan ini kerap mara ke peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) setiap musim.

“Tapi kamu tengok kelab ini sekarang. Stadium ini, jika kamu lihat di balik tabir, banyak sudah bahagian yang sudah berkarat dan berbau. Pusat latihan di sini bukan lagi antara lima yang terbaik di negara ini.

“Hartanah di sekeliling stadium tidak dibangunkan, tidak aktif dan terbengkalai, sedangkan kelab-kelab lain dilihat semakin pesat membangunkan pelbagai fasiliti dan kemudahan untuk penyokong mereka.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN