Hari ini terdapat dua pasukan yang telah mengeluarkan makluman larangan membawa lebih drum kepada penyokong pelawat untuk ke stadium mereka iaitu Negeri Sembilan dan Penang yang berkuat kuasa pada musim 2023.
Setakat ini, hanya dua pasukan ini yang diketahui mengeluarkan makluman khas tentang perkara ini waima dikhabarkan terdapat larangan yang sama di beberapa buah stadium lain yang tidak dimaklumkan secara terangan.
Antara yang diceritakan penyokong-penyokong yang pernah bertandang ke stadium lawan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang merupakan gelanggang rasmi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) juga terdapat larangan yang sama.
Larangan membawa ‘lebih’ drum mungkin tidak diumum secara terangan.
Benda bodoh, korg ikut. Benda yang elok kelab lain buat memajukan kelab, urus dgn integriti, bina fasiliti, buat grassroots dan jana pendapatan, korg tak ikut
Entah apa manfaat korg dpt dgn tolak dan tekan kehadiran penonton ke stadium. Bahlul @Penang_FC @nsfc1923 pic.twitter.com/a8Cos9wJyL
— Emon (@E_Blackbeard) March 10, 2023
Tiada dalam manual Liga Malaysia?
Perkara ini tidak disebut dan diletakkan dalam manual Liga Malaysia yang telah dikeluarkan oleh operator liga, Malaysian Football League (MFL).
Oleh itu, ini mungkin bidang kuasa pasukan yang bertindak sebagai tuan rumah untuk menggunakan kelebihan mereka sebagai pihak penganjur.
Ini dalam dilihat kepada larangan membawa permainan Lato-Lato masuk ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV – mungkin bidang kuasa tuan rumah.
Dalam manual tersebut hanya terdapat arahan menempatkan penyokong yang membawa alat muzik untuk berada bertentangan pentas utama atau lokasi lain yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MFL.
Selain itu, alat muzik seperti ‘vuvuzela’ atau yang seumpama dengannya adalah dilarang sama sekali untuk dibawa masuk ke dalam semua stadium.
Oleh itu, alat muzik seperti drum tiada masalah dibawa masuk ke stadium oleh para penyokong. Cuma ia tertakluk kepada arahan semasa stadium.
Jadi, tindakan Negeri Sembilan dan Penang ini tidaklah terlalu pelik kerana ia adalah hak mutlak sebagai tuan rumah. Mungkin ada sebab tertentu seperti ‘melemahkan’ sedikit kuasa sokongan oleh penyokong pelawat.
Kuasa sokongan sebagai pemain ke-12
Pemain ke-12 adalah salah satu tunjang kekuatan pasukan. Oleh itu, jika mereka menerima sokongan padu dengan bantuan alat muzik seperti drum, tentunya ia menambah semangat dan motivasi pasukan untuk beraksi baik.
Kita tentunya masih ingat bagaimana pengendali skuad kebangsaan yang sukakan Ultras Malaya? Ini disebabkan impak kuasa sokongan mereka.
Malah, Safiq Rahim turut pernah mengakui bagaimana sorakan penyokong sendiri memberikan motivasi buat semua pemain beraksi cemerlang.
Selain itu, bekas pengendali Myanmar, Antoine Hey pernah mengatakan Ekor Harimau Malaya amat menggerunkan tatkala beraksi di Bukit Jalil.
AFF 2018: Jurulatih Myanmar Akhirnya Akui Ekor Harimau Malaya Memang Menggerunkan – https://t.co/Pb2WRBddD6 pic.twitter.com/hYlNs1v6XR
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 24, 2018
Alatan muzik seperti drum adalah antara elemen penting yang menonjolkan kekuatan sorakan Ultras Malaya. Jika dahulu kita tentunya sudah biasa dengan alunan gendang dan rebana ubi tatkala berada di stadium.
Jadi, dengan mengurangkan alatan muzik kepada penyokong dan ultras pasukan lawan, ia dapat meminimakan kuasa sokongan daripada mereka.
Selain itu, kekuatan penyokong sendiri akan dimaksimumkan sama ada menerusi sorakan mahupun ketukan drum oleh penyokong tuan rumah.
Adakah ‘larangan drum’ ini mematikan sokongan?
Untuk mengatakan tindakan oleh tuan rumah ini sebagai tiada semangat kesukanan dilihat kurang relevan. Apa yang akan berlaku kepada pasukan jika ditakdirkan penyokong lawan lebih dominan dari segi ketukan drum?
Ia akan menenggelamkan terus sorakan daripada penyokong tuan rumah.
Ini dilihat tidak membantu mereka sebagai tuan rumah – tiada kelebihan.
Salam @MFL_MY benda ni boleh mematikan kemeriahan liga tempatan. Mana pergi slogan Ini Liga Kita kalau macam ni? Minta tolong intervene. https://t.co/xEST3aB0wR
— Faiz (@faizfadzil) March 11, 2023
Jadi, dengan menggunakan kelebihan mereka sebagai penganjur, ia boleh membantu pasukan meraih keputusan lebih positif ketika di laman sendiri.
Adakah tindakan ini mematikan kemeriahan Liga Malaysia terutamanya?
Sudah tentu tidak. Penyokong masih boleh hadir dan bersorak seperti biasa berdasarkan kapasiti penyokong lawan yang ditetapkan oleh pihak MFL.
Selain itu, penyokong atau ultras lawan masih dibenarkan membawa satu ‘bass drum’ dan satu ‘snare drum’. Ia tidaklah diharamkan seperti ‘vuvuzela’.
Jika risau penyokong tuan rumah lebih dominan, tingkatkanlah jumlah kehadiran di seksyen penyokong lawan. Sorakan padu sudah pasti akan tenggelamkan sorakan penyokong tuan rumah yang barangkali sedikit.
Tidak dinafikan yang ketukan drum menambah perisa kepada sorakan.
Namun, harus diingat, ia adalah kuasa mutlak pihak tuan rumah untuk menetapkannya. Jadi, tentunya ia bersandarkan kepada apa sahaja yang mampu memberi kelebihan buat mereka ketika bermain di halaman sendiri.