Kedah Darul Aman (Kedah), menjadi antara pasukan yang paling mencuri tumpuan ketika ini selepas membuat rombakan baharu secara besar-besaran sejak penghujung musim lalu.
Selepas tampil dengan perubahan baharu yang merangkumi segenap sudut daripada pihak pengurusan kepada kejurulatihan, sehingga dalam barisan senarai pemain segalanya sudah dirombak.
Burger Premium, Buku Hari Perlawanan Antara Inisiatif ‘Meletup’ Dr Daud Bakar Buat Kedah Selain Tiket Keluargahttps://t.co/qa5wIhG9cL
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 30, 2023
Menerusi semangat baharu dibawa oleh pemilik Kedah iaitu Tan Sri Dr. Daud Bakar, ianya dilihat berjaya mempengaruhi para penyokong untuk tampil dengan lebih meriah berbanding musim-musim lalu.
Apakah perubahan ini sudah beri kesan positif?
Daripada segi pengurusan kelab, sehingga kini ianya tampil serba baharu dengan segalanya lebih baik menerusi tajaan besar menerusi syarikat antarabangsa iaitu Zayed Bin International kepada usahawan tempatan yang turut memberi kerjasama seperti Syukor Burger.
Jelas perubahan tersebut memberi kesan positif dengan Kedah dilihat tampak lebih segar berbanding sebelum ini menerusi pengurusan serta pemasaran yang lebih cekap.
Siapa sahaja tidak teruja, selepas melihat jersi baharu Kedah musim ini yang tampak berkelas dunia menerusi logo penaja antarabangsa di dada?
Bagaimana penghasilan kejurulatihan dan pemain di atas padang?
Pada pandangan penulis, segalanya masih serba baharu dan para pemain sendiri kebanyakan masih cuba memahami sepenuhnya apa itu ‘Nafuzi Ball’.
Nafuzi Zain yang dikenali ramai ialah seorang jurulatih yang sangat bijak untuk menyuntik DNA bola sepak moden dalam kelab dikendalikannya sejak menyerlah bersama Terengganu beberapa tahun ini.
Hampir Miliki Newcastle United, Kini Taikun Besar Dubai Sah Jadi Penaja Utama Kedahhttps://t.co/i501dDsr7C
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 19, 2023
Walaupun begitu, segalanya tidak datang dengan masa segera dan ianya memerlukan lebih banyak masa untuk Nafuzi mencipta legasi tersendiri dalam corak permainannya.
Sungguh, masih ada banyak kekurangan ketika ini serta rekod keputusan permainan kadangkala tidak seindah diharapkan peminat.
Namun, bersabarlah. Sentiasa percaya kepada proses dan contohi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut bermula daripada bawah sebelum mereka kini menjadi raja bola sepak Malaysia.
Dalam hal ini juga, pihak pengurusan perlu bijak memainkan peranan untuk mengikat Nafuzi lebih lama bersama KPI lebih logik bagi mengelakkan ianya terbengkalai di tengah jalan.
Sedangkan mi segera juga tidak boleh dimakan terus dan perlu melalui suatu proses sebelum ianya terhasil ‘masak’ sepenuhnya sebagai makanan kegemaran ramai.
Tampil dengan barisan pemain berkualiti ketika ini bukan jaminan untuk Kedah menang dalam semua perlawanan dan memberi aksi yang terbaik buat para penyokong.
Mahu Ubati Kecewa, Kedah Sasar Kedudukan 4 Terbaik Musim Inihttps://t.co/Egcl7ZlLs2
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 23, 2023
Pemain bukan mesin, pasukan-pasukan lain juga ketika ini tidak statik dan turut membuat perubahan baharu di atas padang daripada segi pemain serta corak permainan.
Siapa yang tersungkur akan tewas, beginilah keadaan semasa. Namun, sesuatu lebih menarik untuk dilihat jika mereka mampu bangkit atau terus kekal untuk rebah.
Langkah pertama buat Kedah untuk terbang tinggi
Menuju era penswastaan kini dalam bola sepak negara, hanya JDT dan Selangor dilihat berada dalam landasan sebenar untuk menjadi pasukan contoh buat kelab-kelab lain.
Apa dipamerkan Kedah ketika ini merupakan langkah pertama buat mereka sebelum sayap dikibarkan untuk Sang Kenari meluncur terbang tinggi di udara.
Percaya kepada wawasan ditetapkan, maka segalanya tiada yang mustahil buat Kedah untuk turut menjadi sebagai salah satu pasukan paling berjaya daripada pelbagai sudut serta menjadi contoh kepada kelab lain di negara.
Apa dilakukan kini sudah pun betul, dan mereka perlu sentiasa berada di landasan sebenar supaya apa diidamkan para penyokong dapat dibuktikan pada masa hadapan.
Seperti apa yang diungkapkan ramai penyokong Malaysia, bola sepak negara akan lebih bertambah maju jika setiap kelab lain mampu memberikan segalanya seperti JDT.
Maka tidak mustahil pada masa akan datang, Kedah akan turut mengiringi JDT di saingan tertinggi Asia dan terus memartabatkan bola sepak Malaysia di mata dunia.