Quantcast

BERITA

Lang Merah Melayang Lebih Gah Di Selayang, Sambar Bekalan Tipis Ke Darul Aman

Red Giant dan Lang Merah. Pada tahun 2015, kedua-dua pasukan ditemukan di perlawanan akhir Piala Malaysia. Selangor gah bergelar juara dengan kemenangan 2-0.

Pada musim berikutnya, giliran negeri dari utara tanah air, Kedah untuk bergelar juara, menundukkan Selangor melalui penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Pada musim 2017, dalam pertandingan yang sama, kedua-dua pasukan diundi untuk bertemu di peringkat suku akhir.

P. Manian dan Nidzam Adzha juga pasti mahu mencipta rekod tersendiri selepas masing-masing melakukannya ketika bergelar pemain pada era 90 an.

Sumber: Kedah FA, Facebook

Selangor turun dengan formasi 3-5-2, mempertaruhkan Forkey Doe dan juga Rufino di bahagian serangan. Kedah memperalaskan formasi 4-2-3-1, dengan gandingan Liridon Krasniqi dan Amirul Hisyam, memainkan peranan sebagai perancang di bahagian tengah.

Hujan yang turun sebelum perlawanan dijangka tidak akan menjejaskan kehangatan perlawanan.

Pengadil pada malam ini, Muhd Nazmi Nasaruddin meniupkan wisel sebagai tanda sepak mula perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2017, untuk perlawanan Selangor lwn Kedah.

Separuh masa pertama

Selangor terlebih dahulu cuba mengancam kubu Kedah apabila Adam Nor Azlin menyambut sepakan percuma Amri Yahyah namun tandukannya tersasar seawal minit ke-2 perlawanan.

Namun begitu, Selangor dihukum pada minit ke-7 apabila larian dan lorongan mudah oleh Rizal Ghazali membebaskan Ken Ilso, sebelum penyerang dari Denmark itu merembat leret menewaskan Khairulazhan untuk Kedah mendahului 1-0.

2 kad kuning dalam tempoh 2 minit dilayangkan pengadil melalui 2 insiden. Amirul Hisyam disalahkan kerana terjahan liar ke atas Syahmi Safari sebelum Razman Roslan menerima nasib yang sama selepas mengasari Syazwan Zainon.

Selangor dihukum sekali lagi selepas Ken Ilso menyempurnakan peluang terhidang daripada jarak dekat pada minit ke-15 perlawanan selepas pertahanan Selangor kelihatan keliru dengan rembatan Rizal Ghazali yang terbias menuju Ilso.

Selangor hampir dihukum sekali lagi pada minit ke-27 perlawanan apabila hantaran lambung Liridon Krasniqi mengelirukan pertahanan Selangor. Bola menemui Ken Ilso namun rembatannya berjaya ditepis oleh Khairulazhan.

Percubaan menarik dari luar kotak penalti oleh Amri Yahyah memaksa Mohd Ifwat melayangkan badan untuk menolak bola keluar pada minit ke-35 perlawanan. Sepakan sudut susulan oleh Selangor tidak membuahkan hasil.

Amri sekali lagi melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk Ifwat melonjak menepis bola melepasi palang pada minit ke-38 perlawanan.

Selangor terus mengasak kubu Kedah dan kali ini Ifwat berjaya membaca rembatan oleh Rufino untuk terus mempertahankan kelebihan 2 gol pasukannya.

Selangor terus melakukan beberapa gerakan namun gagal membuahkan hasil sehingga pengadil meniupkan wisel sebagai tanda tamat separuh masa pertama. Kedudukan semasa Selangor 0-2 Kedah.

Separuh masa kedua

Separuh masa kedua bermula, Selangor lantas memperolehi peluang apabila bola umpanan lambung bijak oleh Amri Yahyah mengelirukan pertahanan Kedah, membiarkan Rufinho berdepan dengan Ifwat.

Namun demikian, rembatan pemain import Selangor itu tepat menuju penjaga gawang Selangor tersebut, ditampan sebelum dikeluarkan oleh pertahanan Kedah untuk melegakan penyokong Kedah yang hadir pada malam ini.

Selangor akhirnya berjaya mengegarkan jaring pasukan Kedah apabila Rufino menanduk mudah bola hantaran lintang Syahmi Safari pada minit ke-53. Kedudukan semasa Selangor 1-2 Kedah.

Corak permainan pasukan Selangor berubah pada separuh masa kedua. Mereka beraksi secara lebih kompak terutama ketika bertahan, menyukarkan Kedah untuk melancarkan serangan.

Ifwat sekali lagi bertindak cemerlang apabila menolak keluar kuisan Rufino pada minit ke-66 perlawanan selepas menerima hantaran lintang daripada Andik Vermansah.

Minit ke-68 perlawanan, ketenangan Liridon dalam mencari ruang sebelum melakukan satu hantaran lintang tepat di kawasan far post, menemui Syazwan Zainon yang tidak dikawal. Syazwan menolak tenang hantaran tersebut ke arah gawang untuk Kedah kembali mendahului selesa.

Selangor jelas tidak mahu menyerah kalah. 3 minit kemudian, Rufino bijak mecari ruang menyambut hantaran lintang Andik dengan satu rembatan yang tidak memberi peluang langsung kepada Ifwat.

Kedudukan semasa Selangor 2-3 Kedah.

Perlawanan menjadi semakin panas selepas itu dengan insiden melibatkan pemain dari kedua-dua pasukan.

Ken Ilso dan Amri Yahyah dilayangkan kad kuning selang seminit selepas terlibat dalam 2 insiden berasingan. Sandro dan Ugo Ukah turut tersenarai sebagai penerima kad kuning selepas kelihatan bertengkar dengan satu sama lain selepas itu.

Kedua-dua pasukan terus saling berbalas serangan sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat dengan kedudukan berakhir Selangor 2-3 Kedah.

Rumusan

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk perlawanan timbal balik di Stadium Darul Aman pada 24 September nanti. Siapakah yang lebih layak untuk ke separuh akhir Piala Malaysia 2017?

Kedah atau Selangor?

Selangor: Khairulazhan (PG), K.Kannan, Saiful Ridzuwan (Andik Vermansah), Adam Nor Azlin, Forkey Doe, Razman Roslan (K), Ugo Ukah, Syahmi Safari, S. Veenod, Amri Yahyah, Rufino

Kedah: Mohd Ifwat (PG), Fitri Omar (Ariff Farhan), Zac Anderson, Baddrol Bakhtiar (Akram Mahinan), Liridon Krasniqi, Ken Ilso, Sandro, Khairul Helmi (K), Rizal Ghazali, Amirul Hisyam, Syazwan Zainon (Syawal Nordin).

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!