Highlight & Laporan: Cakaran Lang Merah Pastikan Harimau Selatan Balik Tangan Kosong

Pertemuan di antara kedua-dua pasukan ini sentiasa menarik perhatian peminat bola sepak tanah air.

Perlawanan pertama yang diadakan di Larkin, Lang Merah terkulai layu, apabila tewas 5-1 kepada sang Harimau Selatan.

Di Stadium Darul Aman pada malam tadi, giliran si Lang Merah untuk bermegah apabila mencakar maruah Harimau Selatan dengan kemenangan 3-1.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Kedah tidak mahu menunggu lama untuk menunjukkan keazaman mereka memburu kemenangan apabila mendahului seawal minit ke-6 melalui penyerang import dari Brazil, Santos Da Silva.

Bermula dari sepakan penjuru, bola ditanduk oleh Khairul Helmi, sebelum disambar oleh Sandro dari jarak dekat untuk mengubah haluan bola, sekaligus mengelirukan Farizal Marlias.

Seminit selepas itu Sandro sekali lagi melakukan percubaan, namun kali ini Farizal lebih bersedia untuk menepis keluar bola untuk mengelakkan JDT daripada terus dihukum.

Kedua-dua pasukan kemudiannya saling berbalas serangan, dan turut menyaksikan jaringan Safawi Rasid dibatalkan kerana offside pada minit ke-18.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Minit ke-34 giliran penyerang import dari Argentina, Fernando Marquez menguji Abdul Hadi Hamid di hadapan gawang, sebelum akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada babak pertama perlawanan.

Gol tersebut adalah hasil hantaran rendah cantik Safawi Rasid yang melihat larian rakan sepasukannya itu, sekaligus mengikat kedudukan 1-1 menuju wisel tamat babak pertama perlawanan.

Skrip di babak kedua seperti mengulangi apa yang berlaku di awal perlawanan.

Hanya dua minit selepas perlawanan dimulakan, penyerang muda negara Akhyar Rashid kembali memberi pendahuluan kepada Kedah apabila menyambar bola muntah hasil kekeliruan Corbin Ong dan Farizal di hadapan gawang yang cuba memintas hantaran cantik Liridon dari sebelah kanan.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Tersentak dengan jaringan tersebut, gandingan Marques dan Hazwan Bakri mengetuai asakan JDT untuk memburu gol penyamaan, namun buntu untuk menemui penyudah.

Sebaliknya kapten pasukan JDT, Marcos Antonio dilayangkan kad merah pada minit ke-89 perlawanan selepas satu terjahan agak lewat terhadap penjaga gol Kedah, Abdul Hadi.

Empat minit dalam masa kecederaan, Liridon Krasniqi memastikan Harimau Selatan pulang terluka dengan satu gol cantik, apabila serangan balas yang bermula dari bawah disudahkan oleh pemain tengah itu dengan satu lambungan cantik ke penjuru gawang.

Kemenangan ini meletakkan Kedah berada di tangga kedua Kumpulan C dengan 8 mata, manakala di tangga ketiga dengan 6 mata, berbaki satu lagi perlawanan.

Saksikan rangkuman perlawanan melalui highlight di bawah:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN