Kami sudah memberikan ulasan untuk laman web rasmi bagi pasukan Liga Super 2016. Kali ini, kami akan ulas laman web rasmi pasukan Liga Perdana pula.
Secara keseluruhannya, hanya 7 dari 12 pasukan Liga Perdana yang mempunyai laman web rasmi yang di kemas kini.
Jika dibandingkan dengan laman web pasukan Liga Super, tidak keterlaluan untuk dikatakan ada laman web pasukan Liga Perdana yang lebih baik kualitinya.
7. Kuantan FA (http://www.kuantanfa.com/)
Kami memerlukan sedikit masa untuk menemui laman web rasmi Kuantan FA kerana pautan laman rasmi kelab ini hanya kami temui di Wikipedia.
Dari sudut positif, laman web Kuantan FA tampak kemas, dengan menggunakan tona warna kelab mereka. Pautan-pautan ke bahagian lain juga tersusun kemas di bahagian atas homepage.
Antara kandungan laman web yang paling kami suka adalah bahagian sejarah penubuhan Kuantan FA. Tetapi alangkah baiknya jika bahagian ini turut memaparkan beberapa gambar awal penubuhan Kuantan FA.
Bagaimanapun masih ada beberapa pembaikan yang boleh dilakukan dalam laman web ini.
Misalnya, bahagian profil pemain yang terlalu ringkas. Gambar yang diletakkan juga terlalu kecil. Manakala tulisan biodata pemain juga terlalu kecil sehingga sukar untuk dibaca.
Di bahagian media, pautan nampak dimuat naik secara sambil lewa. Mungkin laman web Kuantan FA boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh laman web rasmi Selangor FA dalam bahagian ini.
Selain bahagian berita yang sudah lama tidak dikemas kini, segmen galeri dan video juga menerima nasib yang sama.
Namun kekurangan paling utama laman web ini adalah ketiadaan paparan keputusan terkini perlawanan serta carta liga. Bagi sebuah laman web kelab bola sepak, aspek ini tak sepatutnya diabaikan.
6. Perlis FA (http://www.singautara.net/v6/)
Walaupun mempunyai nama domain yang berbeza dengan nama sebenar pasukan, laman web ini masih berjaya muncul di page pertama carian Google apabila anda menaip ‘Perlis FA’.
Ciri ini penting dalam usaha menarik trafik masuk ke laman web.
Antara aspek positif lain yang berjaya kami kesan adalah ruangan berita yang di kemas kini dengan baik. Susun atur laman web mereka juga kemas.
Dari segi user experience (UX), keinteraktifan laman web ini masih bersederhana.
Tetapi sekurang-kurangnya, keputusan perlawanan dan berita terbaru pasukan dikemaskini dengan secukupnya.
Kami juga sukakan bahagian laporan perlawanan yang disediakan oleh laman web ini.
Cuma, adalah lebih baik jika statisik perlawanan seperti nama penjaring gol dan kutipan kad dapat ditambah ke dalam pautan ini.
Bagaimanapun dari segi kandungan, kami agak kecewa kerana tiada:
- ruangan profil pemain
- ruangan stuktur organisasi kelab
- senarai nama staf kejurulatihan
- kemaskini dalam ruangan galeri yang hanya mempunyai 3 keping gambar
Kami berpendapat pihak pengurusan laman web Perlis FA perlu memperbaiki kelemahan ini.
5. Melaka United (www.melakaunited.com/)
Kami pernah diberitahu pada musim lepas bahawa Melaka United hanya mempunyai laman web yang menggunakan platform Blogspot.
Mujurlah pada tahun ini, Melaka United beralih kepada platform WordPress yang nampak jauh lebih profesional.
Laman web mereka juga tak sukar dicari. Dengan hanya menaip ‘Melaka United’ di Google, pengunjung dapat mencarinya di page pertama.
Sekali imbas, laman web baru Melaka United ini kelihatan kemas dan bersih dengan kemaskini berita yang pantas.
Jadual perlawanan dan carta liga juga dikemas kini dengan cukup cemerlang.
Selain itu, ia juga cukup interaktif kepada pengunjung.
Bagaimanapun kelemahan ketara laman web ini adalah dari segi kandugan. Ia nyata tiada aspek yang menarik selain dari segmen berita.
Logo penaja juga gagal kami kesan di laman web ini selain ketiadaan bahagian galeri.
Di bahagian pengenalan pemain dan pihak kejurulatihan, hanya nama dan nombor jersi sahaja yang diletakkan. Ada baiknya jika gambar pemain boleh turut disertakan di bahagian tersebut.
Secara keseluruhannya, ia berpotensi menjadi laman web yang baik. Cuma kandungan artikel, gambar dan info-info pemain dan staf perlu ditambah untuk bacaan pengunjung laman web ini.
4. Negeri Sembilan FA (http://www.pbns.my/)
Belum pun mengulas, kami sudah menghadapi kesukaran untuk mencari laman web rasmi Negeri Sembilan di Google.
Hanya setelah diberikan rujukan oleh rakan kami, Ultra Jang di Twitter, barulah kami menjumpai laman web ini.
Setelah berjaya mengakses masuk ke laman web ini, kami hampa dengan first impression yang diberikan kepada kami.
Homepage banner laman web ini bukan saja nampak amatur dengan meletakkan gambar kasual, malah kerja grafiknya juga nampak terlalu amatur.
Mujurlah kandungan laman web ini dikemas kini dengan cemerlang, baik di ruangan berita, carta liga serta bahagian perkongsian video.
Di ruangan berita, ia turut memuatkan gambar-gambar dari perlawanan yang diulas. Gambar yang dimuat naik juga kelihatan cantik, lengkap dengan watermark beserta saiz resolusi yang besar.
Namun, aspek user experience (UX) masih perlu dibaiki oleh laman web ini.
Antara langkah pembetulan yang perlu dibuat segera adalah meletakkan navigation bar yang tiada dalam laman web ini.
Navigation bar bakal memudahkan proses navigasi pengunjung ke laman web ini. Tanpa navigation bar, pengunjung terpaksa menggunakan butang back di browser.
Bayangkan betapa ralitnya pengunjung laman web yang terpaksa menekan butang back berkali-kali hanya untuk kembali ke homepage.
Selain itu, bahagian profil pemain juga boleh diperbaiki dengan lebih baik.
Laman web ini sudah cukup mengagumkan kami apabila membekalkan statistik perlawanan bagi setiap pemain. Namun di bahagian biografi, hanya separuh sahaja bahagian biografi pemain yang disediakan.
Ia benar-benar mencacatkan pengalaman navigasi kami di laman web ini.
Bahagian galeri pemain juga seharusnya dibuang terlebih dahulu jika masih belum siap dikemaskini.
3. Sabah FA (http://sabahfa.com/)
Apabila kami menaip ‘Sabah FA’ dalam carian Google, ternyata laman web rasmi Sabah FA ini mudah untuk dicapai.
Kami terpaksa menunggu agak lama untuk menunggu laman web ini habis loading.
Tetapi sebaik saja masuk saja ke homepage, kami kagum dengan first impression yang kami lihat.
Sekali imbas, laman web ini kemas, minimalistik tetapi masih ada sentuhan elegan.
Kami suka dengan persembahan bahagian profil pemain-pemain Sabah yang amat mirip dengan laman web Johor Southern Tigers. Ianya lengkap dengan butang like untuk setiap pemain.
Setiap pemain Sabah juga diberikan info ringkas, beserta gambar pemain yang jelas.
Secara keseluruhannya, laman web ini lengkap dari segala segi. Cuma ia kekurangan artikel dan info sejarah yang unik. Ini membuatkan lawatan kami ke laman web ini tidak terlalu lama.
2. PKNS ( http://www.selangorpknsfc.com/v4/ )
Tahniah kami ucapkan kepada pasukan PKNS kerana sudah mempunyai laman web sendiri.
Jika tak salah kami sewaktu membuat kajian sama pada musim lepas, laman web rasmi PKNS FC masih diletakkan dibawah domain laman web syarikat PKNS (betulkan kami jika salah).
Mudah dicari melalui Google, laman web ini juga mempunyai paparan home page yang nampak profesional dan berimej korporat.
Kami juga kagum dengan kemaskini berita yang pantas, beserta ruangan galeri yang dipenuhi gambar terbaru aksi pemain PKNS yang beresolusi tinggi.
Di bahagian bawah, terdapat logo-logo penaja rasmi yang disusun dengan kemas.
Antara aspek yang boleh diperbaiki lagi adalah menambah info dan user interaction (likes, share dan sebagainya) di bahagian profil pemain yang kelihatan terlalu kaku.
Selain itu, terdapat beberapa pautan yang tidak aktik (deadlinks) di bahagian akademi dan media.
Selain itu, widget jadual perlawanan di homepage laman web ini juga masih tak dikemaskini kerana ia masih mengandungi data Piala Malaysia 2015.
1. Sime Darby FC (https://www.simedarbyfc.com/)
Jika kami dapat simpulkan laman web rasmi Sime Darby FC dalam satu perkataan, ia adalah – kesempurnaan.
Seperti review kami pada tahun lepas, kami gagal menjumpai apa-apa kecatatan kepada laman web ini. Bak kata pepatah Inggeris:
“If it ain’t broke, why do you need to fix it?”
Sudahlah ia mudah dicari melalaui Google, reka bentuk laman web Sime Darby ini nyata berada di kelas tersendiri.
Selain reka bentuk yang interaktif dan cantik, kandungan laman web seperti artikel berita dan galeri gambar juga dikemas kini dengan cukup sempurna.
Keinteraktifan laman web ini cukup mengagumkan dan masih gagal ditandingi oleh mana-mana laman web rasmi lain di Malaysia.
Contoh terbaik adalah di bahagian profil pemain skuad senior Sime Darby yang saling tak tumpah seperti profil pemain dalam permainan FIFA Ultimate Team.
Antara ciri lain yang memberikan laman web ini kelebihan adalah customization features yang dibuat dengan bersungguh-sungguh. Kami dapat merasakan laman web ini ‘mahal’.
Contohnya adalah butang integrasi media sosial (Twitter dan Facebook) kelab yang dihias dengan warna tradisi pasukan Sime Darby FC.
Terdapat juga segmen media room yang benar-benar memudahkan tugas kami sebagai pihak media untuk mencapai info dan gambar-gambar yang kami perlukan.
Dan seperti tahun lepas, kami masih gagal mencari sebarang cacat cela pada laman web rasmi pasukan Sime Darby.
Tahniah kerana menjadi antara laman web bola rasmi pasukan bola sepak yang terbaik di Malaysia!
Baca juga: 6 Laman Web Rasmi Terbaik Pasukan Liga Super 2016