Jika ditanyakan apakah yang paling mencuri tumpuan dalam aksi Granada melayan kunjungan Real Madrid, tentunya ‘screamer’ bek kiri Ferland Mendy akan disebut.
Kemenangan tipis 2-1 Real Madrid ke atas Granada awal pagi tadi menandakan yang mereka hanya dipisahkan dua mata untuk menjulang kejuaraan La Liga musim ini.
Bek kiri, Ferland Mendy dan Karim Benzema masing-masing meledak satu gol bagi membantu Los Blancos untuk meraih tiga mata penuh di Los Carmenes Stadium dalam aksi ke-36 liga. Hanya dua perlawanan lagi untuk melabuhkan tirai musim ini.
Real Madrid terlebih dahulu selesa mendahului perlawanan dengan dua gol seawal 16 minit pertama dan pasukan yang menduduki kedudukan di pertengahan liga itu dilihat mungkin bakal menjadi santapan pelawat yang sedang memburu kejuaraan liga.
Ferland Mendy meledak jaringan daripada sudut sukar pada minit ke-10 sebelum rakan senegaranya dari Perancis, Karim Benzema meletak mereka terus selesa di depan.
Jaringan itu dihasilkan selepas Mendy mencipta ruang buat dirinya sendiri melewati beberapa pertahanan tuan rumah sebelum meledak sepakan dari sudut sukar. Penjaga gol Granada, Rui Silva hanya mampu melopong melihat jaringan tersebut.
Mendy merupakan pemain ke-21 Real Madrid yang menghasilkan gol musim ini, dan dengan ketiadaan pengganti setara Cristiano Ronaldo, tugas untuk menjaringkan gol nampaknya dikongsi sama rata oleh semua pemain-pemain Los Blancos.
Begitupun, pelawat terpaksa melalui babak kedua dengan penuh debar apabila gagal menghasilkan jaringan selepas pemain tengah Granada, Darwin Marchis berjaya mengurangkan defisit gol pada minit ke-50, menewaskan Thibaut Courtois.
Thibaut Courtois menampilkan aksi cemerlang di babak pertama dan diteruskan pula ke babak kedua sebelum Marchis berjaya menjadi pemain pertama La Liga untuk kembali menewaskan penjaga gol itu dalam tempoh 506 minit permainan.
Berbaki dua perlawanan, Real Madrid hanya perlu merekodkan dua keputusan seri untuk mengesahkan kejuaraan namun, sudah tentu pengendali pasukan, Zinedine Zidane mahu ianya dilakukan dengan lebih bergaya iaitu pada Khamis ini.
Turun berdepan Villarreal, mereka pastinya akan memburu tiga mata sekali lagi – yang ke-10 berturut-turut sejak liga kembali bersambung serta bagi menamatkan terus persaingan dengan Barcelona untuk menjulang kejuaraan liga musim 2019/20.
KREDIT FEATURED IMAGE: REUTERS