Dua kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid masing-masing mencatatkan kemenangan pada perlawanan ke-19 saingan La Liga, awal pagi tadi.
Barcelona tidak berdepan masalah untuk menewaskan Eibar 3-0 di Nou Camp manakala Dani Ceballos muncul wira Real Madrid dengan jaringan kemenangan pada minit ke-88 bagi kemenangan 2-1 bertemu Real Betis.
Kemenangan yang diraih meletakkan Barcelona terus gah di tangga teratas manakala Real Madrid kini ketinggalan 10 mata untuk berada di kedudukan keempat liga dengan 33 mata.
Barcelona (3) Eibar (0)
Luis Suarez beraksi cemerlang pada perlawanan ini selepas beliau berjaya menjaringkan dua gol serta mencipta satu bantuan jaringan yang dihasilkan Lionel Messi.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu memerlukan 19 minit untuk meletakkan Barcelona di hadapan selepas beliau meluru ke kawasan penalti lawan bagi menyempurnakan peluang hasil lorongan dilakukan Phillipe Coutinho.
Lionel Messi menjadikan kedudukan 2-0 apabila berjaya melepasi kawalan dua pertahanan Eibar sekaligus meledakkan rembatan leret yang gagal dihalang penjaga gol, Asier Riesgo.
Berselang enam minit kemudian, Suarez sekali lagi menemui sentuhan jaringan dengan gerakan solo dilakukan dari sebelah kanan pintu gol Eibar terus masuk ke dalam kawasan penalti untuk gol ketiga perlawanan.
Barcelona kini mengumpul 43 mata selepas mencatatkan 13 kemenangan, 4 seri dan 2 kali kekalahan untuk kekal di tangga teratas.
Real Betis (1) Real Madrid (2)
Real Madrid akhirnya berjaya bangkit dari kekalahan 0-2 ditangan Real Sociedad tempoh hari.
Luka Modric membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi satu rembatan padu dari luar kawasan penalti yang terus menerjah gawang Real Betis bagi mengecewakan penjaga gol, Pau Lopez.
Bekas pemain Real Madrid, Sergio Canales memadamkan kelebihan yang dimiliki Los Blancos itu pada minit ke-67.
Canales berjaya melepasi perangkap ofsaid bagi menyambar hantaran cantik dilakukan Giovani Lo Celso untuk kembali menyamakan kedudukan.
Pemain Real Madrid mendakwa Canales berada dalam keadaan ofsaid, namun Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan jaringan tersebut.
Dani Ceballos muncul wira buat Real Madrid selepas berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad bimbingan Santiago Solari itu.
Lebih menarik, Ceballos adalah merupakan bekas pemain Real Betis. Perlawanan yang menjadi pentas buat bekas pemain menjaringkan gol keatas pasukan lama mereka.