Persembahan kontra dua separuh masa dari Shah Alam United dan Subang United merupakan tema dalam perlawanan minggu ke-4 Klang Valley League (KVL) M4 yang berkesudahan seri 1-1.
Disebalik penguasaan bola SA United yang dominan, separuh masa pertama tidak menyaksikan banyak peluang jelas dicipta. Subang United pula langsung tidak mengancam.
SA United berpeluang mendahului selepas 10 minit. Hantaran lintang rendah Aiman Ammar dari kanan hampir-hampir disudahkan oleh pertahanan Subang, Luqman Hadi ke gawangnya sendiri. Tetapi Subang United lega selepas bola tersebut tersasar.
Aiman terlibat sekali lagi dalam serangan SA United 9 minit kemudian. Beliau dan Azeez Akeem bergandingan dalam gerakan satu-dua di sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Subang, Lutfil Hadi.
Pada minit ke-24, SA United akhirnya mendapat gol. Sepakan percuma di sebelah kiri berjaya menemui Naim Mukhtar yang menyungkit masuk gol melepasi kawalan Lutfil.
Selepas rehat separuh masa pertama, SA United sepatutnya boleh menggandakan gol. Kali ini Mohamed Aiman melakukan larian baik dari tengah untuk mendapat peluang 1v1, tetapi merembat terus ke Lutfil.
Peluang ini diambil oleh Subang untuk bangkit selepas separuh masa pertama yang hambar.
Pada minit ke-56, Subang menyamakan kedudukan. Rembatan Rahmat Hidayat terbias menuju ke arah Farhan Jasmin di tengah sebelum penyerang Subang itu menyudahkan dengan tenang melepasi kawalan penjaga gol SA United, K. Vikneswaran.
Subang berpeluang melengkapkan kebangkitan mereka sejurus selepas gol itu. Kali ini Faiz Jasmin menerima hantaran jauh di sebelah kiri sebelum merembat. Tetapi percubaannya rendahnya sekadar menggegar tiang.
Disebalik 10 minit akhir yang getir buat kedua-dua pasukan, SA United dan Subang United terpaksa berpuas hati dengan 1 mata.