Quantcast

EDITORIAL

Editorial SB: Bagaikan Kerbau Terkejut Oleh Gong?

Nota editor: Selamat datang ke artikel editorial Semuanya BOLA yang dimana kami akan menetapkan pendirian Sidang Editorial SB mengenai isu semasa bola sepak tempatan.

Artikel ini akan disiarkan secara mingguan pada setiap Isnin jam 8 malam.


Antara isu yang hangat diperkatakan oleh majoriti pengikut bola sepak tempatan sepanjang minggu lalu ialah senarai pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih skuad Harimaya Malaya, Tan Cheng Hoe.

Bagaikan kerbau terkejut oleh gong, begitulah reaksi segelintir dari kita melihat senarai 27 pemain yang mendapat panggilan oleh Tan Cheng Hoe pada kali ini.

Ada yang terkejut. Ada yang tidak boleh percaya. Tidak kurang juga yang berkomentar lagak seorang jurulatih yang lebih mengetahui.

Setuju atau tidak, 27 pemain yang mendapat panggilan ini adalah kelompok pemain terbaik yang negara miliki – buat masa ini.

26 pemain yang dipanggil adalah mereka yang bermain di Liga Super. Hanya seorang sahaja pemain yang beraksi di luar negara yang dipanggil iaitu Dominic Tan (Police Tero FC),

Antara yang menjadi pertikaian ramai pula ialah pemilihan Hazwan Bakri.

Pertikaian berlaku apabila bagaimana seorang pemain yang hanya beraksi selama 22 minit sepanjang musim layak mendapat panggilan? Adakah Tan Cheng Hoe tak pandai buat kerja?

Pandai atau tidak, itulah hakikat yang perlu kita terima buat masa ini.

Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri, Norshahrul Idlan Talaha, Jafri Firdaus Chew dan Hazwan Bakri adalah penyerang terbaik yang boleh beraksi sebagai No.9 yang kita miliki pada hari ini.

Namakan penyerang tempatan lain dari kalangan 12 pasukan Liga Super yang bertanding, nama berikut mungkin adalah Safee Sali – menjaringkan tiga gol sepanjang 862 minit beraksi bersama PJ City FC pada musim ini.

Selepas itu, siapa lagi pemain penyerang yang Tan Cheng Hoe boleh sandarkan?

Bukanlah mahu menyalahkan kalian yang mempersoalkan pemilihan kali ini. Namun inilah hakikat wajah bola sepak kita yang menyaksikan rata-rata pasukan dibarisi awang import di setiap posisi penting seperti pemain penyerang.

Jangan pula selepas ini Malaysian Football League (MFL) dan polisi pasukan/persatuan dipersalahkan.

Sebagai penganjur dan persatuan misi dua entiti ini pula adalah untuk mencari daya penarik untuk penyokong. Itupun masih gagal menarik penyokong ke stadium.

Kerana itulah bagi MFL pengambilan pemain import sentiasa merupakan sekadar pilihan. Yang mewajibkannya adalah pasukan.

Ini kerana pasukan hanya tahu mengejar kejuaraan. Jurulatih pula jaga periuk nasi.

Pemain import tak menjadi, bukan diberikan peluang kepada pemain tempatan. Sebaliknya, diwujudkan jendela perpindahan kedua untuk benarkan ambil pemain import baharu.

Buktinya persatuan sanggup berbelanja melebihi kemampuan sehinga berhutang.

Bayangkan pula saingan liga kita tanpa pemain import seperti yang pernah dilaksanakan satu ketika dahulu. Hasilnya, lahir generasi pemain seperti Safee Sali, Norshahrul, Safiq Rahim dan ramai lagi yang menjadi asas kepada kebangkitan skuad 2010 di kejohanan Piala AFF.

Namun saingan liga pada ketika itu bagaikan hidup segan, mati tak mahu.

Bagi pandangan kami, bukanlah hendak mengatakan khidmat penyerang import itu tidak perlu.

Namun tujuan pengambilan pemain import sepatutnya bertujuan untuk memantapkan pasukan secara keseluruhan, termasuk menjadikan pemain tempatan menjadi lebih baik.

Pemain import tidak seharusnya dijadikan aset, sebaliknya mereka seharusnya dilihat sebagai nilai tambah yang memangkin kejayaan pasukan secara berterusan.

Kelab/persatuan juga harus memainkan lebih peranan melahirkan lebih ramai bakat baru yang bersedia dan lengkap berhadapan dengan persekitaran bola sepak profesional.

Ini hanya boleh direalisasikan melalui pelan pembangunan yang teratur. Aspek ini sepatutnya menjadi keutamaan mana-mana pasukan di Liga Malaysia.

Penyokong pula kena faham setiap perancangan memerlukan masa.

Sepatutnya juga kalian yang melabel diri ‘sehidup semati’ bersama pasukan bertanya: Apakah falsafah bola sepak yang diterapkan oleh pengurusan persatuan/kelab masing-masing?

Bukannya hanya fokus kepada aksi final dan piala semata-mata. Atau terus berdiri di atas titi yang kelihatannya menarik, tetapi tidak memiliki struktur di bahagian bawahnya.

Seterusnya MFL dan FAM sebagai badan pentadbir bola sepak negara.

Dalam kita mahukan bola sepak kompetitif dan menarik untuk persaingan liga, apa pula usaha kita untuk memastikan anak jati di setiap negeri mampu bersaing dengan pemain dari luar negara?

Mewajibkan pasukan menurunkan pemain muda di posisi tertentu mungkin adalah antara cadangan yang boleh dilaksanakan.

Cadangan tampak aneh, tetapi biarlah bola sepak kita sesuai dengan acuan kita.

Agar tidak terus merana kempunan di kemudian hari atau berterusan menjadi si kerbau yang terkejut dengan gong.