Perlima United meraih kemenangan pertama dalam kempen Klang Valley League (KVL) M4 selepas menumbangkan Shah Alam United (SA United) 2-0 di Stadium Mini Shah Alam.
Hanya 13 minit yang diperlukan oleh Perlima untuk menembusi gawang SA United. Hantaran lintang rendah Amir Akmal menemui sentuhan penyudah penyerang sayap kirinya, Faiz Ismail yang melepasi pertahanan SA United yang statik.
Ketiadaan Tony Moore Bosambe dan Ammar Anuwar nyata begitu dirasai oleh SA United yang kekeringan idea sebaik sahaja tiba di kawasan final third.
Perlima pula aktif mengatur serangan walaupun seringkali dikecewakan oleh pertahanan SA United yang nampak baru ‘bangun tidur’ selepas gol pertama lawan tadi.
SA United menampilkan persembahan yang jauh lebih baik pada separuh masa kedua – terutamanya selepas kemasukan Siddiq Mat Idris. Bagaimanapun mereka masih belum mampu menguji penjaga gol Perlima United pada kadar yang lebih kerap lagi.
Sebaliknya Perlima pula yang berjaya menggandakan pendahuluan apabila pertahanan SA United, Muhd Al Hakim tertampan bola ke gawang sendiri susulan daripada hantaran lintang rendah Amir Akmal di sebelah kanan.
SA United berusaha keras untuk mengecilkan jurang gol tersebut tetapi gagal memberikan masalah kepada pertahanan Perlima yang nampak selesa sehingga tamat perlawanan.
Perlima masih belum kalah, manakala SA United yang sudah menjaringkan 2 gol sendiri dalam 2 perlawanan berturut-turut perlu bangkit dengan pantas selepas ini.