Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto menganggap kemenangan pertama skuad bimbingannya ke atas Felda United tempoh hari cukup penting menjelang aksi ketiga CIMB Liga Super Malaysia 2020 bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Sabah mencatatkan kemenangan 3-1 di Stadium Likas hasil jaringan daripada Rodoljub Paunovic, Park Tae-Su dan Maxsius Musa. Gol tunggal Felda United pula disumbangkan oleh pemain import Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal.
Pemain skuad kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi mencuri tumpuan pada perlawanan ini apabila beliau mempamerkan corak permainan menarik serta turut mencipta bantuan jaringan bagi ketiga-tiga jaringan Sabah.
Sebelum itu, skuad Badak yang kembali beraksi dalam saingan Liga Super selepas kali terakhir merasai pengalaman tersebut pada musim 2012, meraih satu mata pada perlawanan sulung apabila terikat tanpa jaringan ketika berhadapan PDRM FA di Stadium KLFA, Cheras.
Mengulas mengenai aksi menentang Pahang, Kurniawan sedar tugas sukar yang bakal menanti barisan pemainnya berdepan pasukan berpengalaman itu, tetapi beliau tetap optimis dengan peluang pasukan Sabah.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan untuk tiga mata ini dan ia bukan satu perlawanan mudah kerana Felda United juga bermain dengan bagus dan banyak kali menyusahkan pemain sepanjang perlawanan.”
“Kerja keras anak buah saya terbayar dengan tiga mata penting ini kerana selepas ini kami akan beraksi di tempat lawan menentang Pahang dan kita tahu mereka adalah pasukan yang kuat tetapi dalam bolasepak tidak ada yang mustahil,” ujar pengendali kelahiran Indonesia itu.
Selepas mengharungi dua perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020, Sabah menduduki tangga keempat dengan empat mata, berkongsi mata bersama-sama Perak, PJ City dan Selangor.
Kredit foto: Sabah Football Association