20 pemain tempatan termasuk empat dari skuad Piala Presiden serta lima pemain import bakal memperkuatkan pasukan Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Super 2018 yang bakal menyingkap tirainya Februari ini.
Mereka mengekalkan 3 penjaga gol mereka iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Ramadhan Abd Hamid dan Mohd Shahrizan Ismail.
Manakala posisi pertahanan menyaksikan gandingan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohamad Azwan Arifin, Mohamad Faris Shah Rosli, Tengku Qayyum Ubaidillah, Mohd Farisham Ismail, Khairul Asyraf Ramli dan muka baharu, Amirizdwan Taj Tajudin.
Barisan tengah pula diterajui Mohd Badhri Mohd Radzi, Muhd Fadhilah Mohd Pauzi, S Veenod, Ahmad Sukri Ab Hamid, Shafiq Saharuddin dan Mohamad Khairul Rizam Che Soh.
Bagi poisisi penyerang, skuad bimbingan Satish Bensoh itu mempertaruhkan Fakrul Zaman Wan Abdullah, Mohd Norfarhan Mohamad dan Muhammad Zul Fahmi Awang.
Mereka juga sudah pun melengkapkan 5 kuota pemain import iaitu Morgaro Lima Gomis (tengah), Do Dong Hyun (tengah), Cassio Francisco Jesus (pertahanan), Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes (penyerang) dari kelab Liga Indonesia.
Tiga pemain muda berpenglaman yang turut menjadi sandaran pasukan itu iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat, Daniel Ashraf Abdullah dan Nik Azli Nik Alias yang bermain di posisi serangan serta tengah.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata kepada Berita Harian, pemain yang diumumkan itu secara rasmi menjadi tonggak harapan pasukan Kelantan musim ini.
“Apa yang diharapkan kesemua pemain ini dapat memberi yang terbaik di samping masing-masing menggalas tanggungjawab selaku pemain pasukan.
“Bagi pemain import, kita mengharapkan keserasian mereka bersama pemain tempatan ditafsirkan dengan sebaik mungkin agar mampu membantu perkuatkan pasukan,” katanya.
Bagi mengurangkan kos pembelanjaan pasukan musim ini, KAFA juga bersedia untuk meminjamkan enam pemainnya kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang berminat.
6 pemain terbabit ialah Mohd Faizul Nazlin Sayuti, Hattaphon Bun Aun, Mohd Nasharizam Abd Rashid, Rozaimi Azwar Mat Zin, Shafiq Abd Rahman dan Mohd Haikal Mohd Nazri.
“Setakat ini, Kafa telah berunding dengan berapa pasukan untuk membolehkan enam pemain terbabit beraksi dalam Liga Malaysia musim ini,” kata Bibi.
Bibi Ramjani berkata, anggaran perbelanjaan Kafa setiap bulan ialah RM1 juta bagi pengurusan pasukan Kelantan dan juga pasukan Piala Presiden serta Piala Belia tahun ini.
“Musim ini kita meletakkan sasaran pasukan Kelantan berada di kelompok lima teratas pada saingan Liga Super dan melangkah ke peringkat lebih tinggi pada saingan Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.
Minggu depan, mereka akan bertanding dalam Boost Sportfix Super Cup di Stadium Nasional Bukit Jalil yang melibatkan kelab dari Thailand dan Indonesia iaitu Persija Jakarta dan Ratchaburi FC pada 13 Januari hingga 20 Januari 2018.
Mereka juga turut mengaturkan perlawanan persahabatan dengan Juara Liga Thailand, Buriram United pada 27 Januari depan.