Kumpulan E dan F menempatkan 2 pasukan besar dalam Piala Dunia iaitu Juara 5 kali Brazil dan Juara 4 kali serta juara bertahan Jerman.
Kumpulan E
Pasukan (ranking): Brazil (2), Switzerland (6), Costa Rica (23), Serbia (34)
Brazil dijangka akan me’nutmeg’ kesemua pasukan di dalam kumpulan ini. Itulah gambaran awalnya.
Pasukan ini berada dalam prestasi terbaik sejak diambil alih oleh Tite, menang 17 daripada 21 perlawanan, seri 3 kali dan hanya tewas sekali sebelum sepak mula di Rusia 2018.
Brazil pastinya menunggu detik ini untuk memperbaiki reputasi mereka yang calar tewas 7-1 di tangan Jerman, di tempat sendiri.
Ketika itu Neymar tidak ada dalam pasukan kerana kecederaan. Kali ini Neymar hampir terlepas Piala Dunia kerana kecederaan serius. Namun usaha pasukan perubatan telah berjaya membantu Neymar.
Brazil adalah Juara Dunia 5 kali dan mereka bukan sahaja memiliki Neymar, namun ramai lagi nama-nama besar seperti Marcelo, Willian, dan Alisson.
Jika Brazil menamatkan kumpulan ini di tangga ke-2, ia boleh dikira agak terkeluar daripada landasan.
Berdasarkan ranking, lawan utama Brazil adalah Switzerland yang berada di ranking ke-6 dunia. Mereka melepasi peringkat kumpulan yang meletakkan banyak pasukan lemah. Switzerland menang 9 kali secara berturut-turut.
Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri antara pemain yang akan menjadi nadi pasukan ini.
Costa Rica hadir ke Piala Dunia ini selepas mimpi indah dalam Piala Dunia 2014, mara sehingga ke suku akhir. Mereka melepasi kumpulan yang menempatkan Uruguay, Itali, dan England. Siapa sangka bukan?
Serbia memiliki nama-nama besar seperti Bransilav Ivanovic, Aleksandor Kolarov, Mitrovic dan Matic. Pasukan ini dikenali dengan gaya bola sepak yang fizikal, jadi mereka akan menjadi pasukan yang tidak disukai pemain-pemain yang suka menggelecek.
Pemain tumpuan
Neymar (Brazil)
Beliau berjaya kembali semula ke dalam pasukan dan sudah beraksi dalam beberapa perlawanan pemanas badan untuk membuktikan dirinya sudah cergas untuk bermain.
Pemain yang memiliki gaya samba klasik ini akan menjadi hiburan yang tidak akan dilepaskan dalam Piala Dunia kali ini.
Xherdan Shaqiri (Switzerland)
Ingat lagi libasan gunting beliau ketika Euro 2016? Pemain ini memiliki gaya permainan menyerang yang bertenaga dan mampu menggalas pasukan beliau di bahunya.
https://www.youtube.com/watch?v=YJX0an_d3wo
Keylor Navas (Costa Rica)
Beliau antara penjaga gol terbaik di dunia terutama sekali di peringkat antarabangsa. Pada Piala Dunia 2014, salah satu wira dalam kisah dongeng mereka adalah Navas. Semangat beliau pasti membara dengan 3 kejuaraan UCL sebelum tiba di sini.
Nemanja Matic (Serbia)
Pemain yang akan menjadi jeneral di tengah untuk Serbia. Beliau mampu melakukan percubaan jarak jauh yang tepat. Kualiti bertahan serta merancang perlawanan yang sangat baik.
Sebelum sepak mula
Costa Rica layak digelar kuda hitam dalam kumpulan ini kerana mereka ada kekuatan untuk menewaskan pasukan lain yang melakukan kesilapan.
Perlawanan tumpuan pastinya Switzerland vs Serbia yang akan menentukan kemampuan 2 pasukan ini untuk mengiringi Brazil.
Kami jangkakan Brazil dan Switzerland pada 23 Jun, akan melepasi kumpulan ini. Namun 2 pasukan lagi, lebih daripada mampu untuk mengejutkan Switzerland.
Kumpulan F
Pasukan (ranking): Jerman (1), Mexico (15), Sweden (24), Korea Selatan (57)
Juara bertahan, Jerman jelas pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Joachim Low berada dalam kumpulan di mana beliau boleh melakukan penggiliran skuad secara minor ataupun major.
Sebelum ini beliau pernah membawa pasukan kedua ke kejohanan Piala Konfederasi. Ia memberikan banyak manfaat kepada Jerman apabila beberapa pemain muda berjaya mendapat pengalaman beharga termasuk Timo Werner dan Leon Goretzka.
Namun persoalan utama adalah, siapa akan menjadi penjaga gol no.1? Neuer ataupun Ter Stegen?
Mexico sentiasa menjadi pasukan pilihan peminat bola sepak walaupun anda bukan peminat mereka. Ini kerana Mexico dikenali dengan status giant killer mereka dalam setiap edisi.
Pencapaian terbaik El-Tri dalam Piala Dunia adalah mara ke suku akhir pada 1986 dan 1970. Pada 2014, mereka mara ke pusingan 16 pasukan akhir.
Pemain-pemain mereka sentiasa menjadi orang yang berbeza di kejohanan Piala Dunia walaupun tidak begitu menjadi perhatian di peringkat kelab. Contohnya, Giovani Dos Santos, Carlos Vela, Javier Hernandez dan Hector Herrera.
Pada 2014, anda pasti masih ingat aksi Guillermo Ochoa.
Sweden kali ini keluar daripada bayang-bayang Zlatan Ibrahimovic dan melepasi pusingan play-off menewaskan Itali.
Pasukan yang lebih bermain sebagai satu pasukan tanpa kelibat Ibrahimovic, sebelum ini mereka agak terlalu bergantung kepada legenda hidup itu.
Sweden dikenali dengan kemampuan untuk bermain dalam struktur yang berdisiplin dan ujian utama mereka adalah Jerman.
Satu lagi pasukan yang menarik adalah Korea Selatan. Penyokong Korea Selatan agak resah dengan prestasi pasukan mereka terutama sekali dalam pusingan kelayakan.
Pasukan kali ini pastinya mengharapkan magis pada Son Heung-min. Berbeza dengan pasukan mereka sebelum ini yang dikenali dengan bola sepak lebih kolektif.
Pemain tumpuan
Thomas Muller (Jerman)
Pemain ini memiliki rekod luar biasa di Piala Dunia. Beliau dikenali dengan raumdeuter ataupun pentafsir ruang. Adakah Muller akan meneruskan aksi cemerlang di hadapan gol untuk Jerman?
Hirving Lozano (Mexico)
https://youtu.be/5Fkb1Ucj4BM
Beliau adalah penggempur yang cemerlang di Eredivisie musim ini. Kami menjangkakan Piala Dunia 2018 akan menjadi medan beliau menaikkan nilai beliau di bursa perpindahan pemain.
Son Heung Min (Korea Selatan)
Pemain yang boleh bermain di kesemua posisi menyerang termasuk no.10. Beliau menikmati musim terbaik di liga utama Eropah pada musim lalu.
Emil Forsberg (Sweden)
Beliau adalah tipikal perancang dari Sepanyol yang lahir di Sweden. Mampu mengolah perlawanan dengan tempo pantas ataupun sebaliknya. Beliau adalah pemain yang paling teknikal dalam skuad Sweden kali ini.
Sebelum sepak mula
Kami menantikan aksi Herma menentang Mexico pada 18 Jun ini. Ianya akan menjadi pertarungan gergasi berhadapan dengan pembunuh gergasi.
Kami juga menjangkakan Jerman akan mara mudah daripada kumpulan ini. Namun persaingan untuk satu lagi slot adalah di antara Mexico dan Sweden. Agak sukar untuk Korea Selatan kali ini.
Jadi, kami merasakan Sweden akan mengiringi pasukan Jerman ke pusingan kalah mati.
Apa kata anda? Pasukan mana yang akan melepasi 2 kumpulan ini.