Kejohanan paling berprestij tahun ini telah pun tiba. Selangor Champions League musim kedua bermula dengan undian peringkat kumpulan pada hari Sabtu yang lalu.
Ramai berpendapat bahawa kumpulan A merupakan kumpulan yang ‘lebih mudah’ berbanding kumpulan maut B. Namun, kumpulan A telah mengumpulkan beberapa juara-juara baru yang akan membuat penampilan sulung di dalam Selangor Champions League.
Majlis cabutan undian SCL2017 telah berlangsung di Dentsu Sports Asia dihadiri oleh barisan pengurus dan wakil dari kesemua 18 kelab yang bertanding pada musim ini. Lebih 50 wakil yang telah hadir dan ternyata setiap pasukan sememangnya menantikan acara kemuncak iaitu acara undian SCL2017.
Keputusan undian pada hari Sabtu yang lalu telah bagi kumpulan A adalah yang berikut:
- Condoh FC (Shah Alam)
- AZS FC (Kajang)
- Puchong Fuerza (Puchong)
- Ultimate FC (Kajang)
- Level Up (Petaling Jaya)
- Southern FC (Klang)
- Naga FC (Banting)
- Ingress Tigers (Penchala)
1. AZS FC
Berasal dari Kajang, AZS FC turut menggunakan tiket playoff SCL2017 untuk melayakkan diri ke Selangor Champions League musim ini. AZS FC merupakan pasukan yang digeruni di Cyberjaya apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Liga KV Cyberjaya.
Semasa edisi kelayakkan, AZS telah menjuarai kumpulan B setelah menewaskan kedua-dua saingannya, SA United (kumpulan B) dan SKJ SC. Corak permainan yang pantas dan memiliki dua pemain sayap yang pantas dan berbisa, pasukan lain harus berhati-hati apabila menentang gergasi dari Cyberjaya ini.
Walaupun ini merupakan penampilan sulung mereka AZS merupakan antara pasukan yang cukup disiplin dan mengambil serius dalam saingan SCL musim ini.
2. Level Up
Level Up adalah juara bagi Liga Social Gauchos pada tahun ini dan juga pernah menjuarai Liga Sosial Garden Divisyen 2. Mereka melayakkan diri apabila menewaskan SKJ SC pada perlawanan akhir kelayakkan Liga Gauchos.
Pada tahun ini, Level Up turut menyertai Liga KV Damansara yang baru sahaja berlangsung. Setelah bermain beberapa siri perlawanan di Liga KV Damansara dengan menumpaskan Perindu Legend, Level Up mungkin memiliki kelebihan dari segi masa perlawanan.
Namun, komitmen kepada liga lain mungkin akan menjejaskan prestasi mereka di SCL2017.
3. Condoh FC
Condoh FC, pasukan yang berasal dari Shah Alam, dibarisi pemain-pemain segak seperti model mungkin disangka tidak kelihatan menggerunkan. Walau bagaimanapun, Condoh telah layak ke SCL2017 melalui pusingan kelayakkan bersama Sembilan (9) pasukan yang lain telah menjuarai kumpulan A, membenam Rasta Tigers dan seri menentang Qharma FC.
Condoh yang layak menggunakan tiket playoff SCL2017 merupakan semi-finalis bagi Liga Premier Kota Damansara juga merupakan pemenang tempat kedua bagi Liga KV Division 1 memiliki pengalaman bermain yang lama. Condoh juga pernah menjuarai liga MSU sebanyak dua (2) kali sebelum bertanding dengan lebih aktif di pentas liga amatur.
Antara pemain yang perlu diawasi dalam pasukan Condoh adalah penyerang mereka, Amirul Fikry yang telah menjaringkan hattrik menentang Rasta Tigers.
Condoh mungkin tidak dianggap sebagai pasukan pilihan kerana hadir melalui proses kelayakkan, namun reaksi positif dari pengurus Condoh, saudara Harris harus dipuji, “Menang atau kalau itu tidah penting, yang penting mesti kacak”.
4. Southern FC
Southern FC terkenal dengan corak permainan yang lebih agresif pada bahagian pertahanan dan counter attack merupakan juara bagi Liga Munro Setia Alam. Pasukan yang memiliki fizikal yang mantap, rata-rata pemain Southern memiliki kebolehan teknikal yang baik dan semangat juang mereka yang tinggi turut menjadi faktor kekuatan mereka.
Southern mungkin tidak bermain dengan corak yang lawa ala-ala Barcelona, tetapi bila tiba masanya di dalam perlawanan yang penting, mereka pasti akan berjaya menumpaskan lawan mereka.
Southern memiliki pengalaman bermain di Selangor Champions League pada musim yang lalu dan berjaya sampai ke peringkat separuh akhir apabila ditewaskan oleh juara bertahan, Terrapins FC.
Pada tahun ini, Southern kembali dengan pasukan yang lebih serasi berbanding musim lepas dan sudah pasti antara pasukan pilihan bagi kumpulan A. Ramalan kami, Southern berupaya untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir.
5. Naga FC
Naga FC layak ke SCL2017 melalui tiket kelayakkan dengan menjuarai Prestige Cup musim 2016/2017. Pasukan yang berasal dari Banting ini turut memiliki pengalaman bertanding di SCL pada musim lalu namun tidak berjaya mara ke pusingan kalah mati. Walau bagaimanapun, tahun ini Naga FC kembali dengan penambahan pemain yang lebih baik kepada skuad mereka.
Jika dilihat di atas kertas Naga FC mungkin dilihat sebagai pasukan yang boleh memberi saingan dan membuat kejutan dalam kumpulan A dengan barisan pemain yang berpengalaman bermain di liga FAS.
6. Ingress Tigers
Ingress dan Shah Alam Antlers merupakan dua pasukan terakhir yang belum diundi pada hari undian Sabtu lalu. Ingress ternyata lebih bertuah apabila terlepas dari diundi ke dalam kumpulan “maut” iaitu kumpulan B.
Ingress Tigers adalah juara bagi Liga Premier Sosial Selangor 3.0 (SSPL)dan melayakkan diri ke SCL2017 melalui perlawanan kelayakkan Liga Premier Sosial Selangor (SSPL). Mereka telah menewaskan juara SSPL 2.0, TPD FC dengan jaringan agregat 3-2.
Ingress yang dipimpin oleh Pengurus yang berpengalaman dan lantang, mampu memberi saingan kuat di dalam peringkat kumpulan dengan berbekalkan pengalaman SCL tahun lalu. Mereka berjaya mara ke peringkat suku akhir namun tewas kepada finalis SCL2016, Rebel FC.
7. ATY Serayan
Serayan merupakan kejutan bagi musim ini apabila menerima kelayakkan setelah Qharma FC menarik diri. Serayan dipilih berdasarkan prestasi mereka di peringkat kelayakkan. Walau bagaimanapun, Serayan memiliki pengurusan yang kemas hasil pimpinan pengurus mereka, saudara Izzudin.
Pada peringkat kelayakkan, ATY Serayan ditempatkan bersama PIB FC (kumpulan A) dan Real Mawar. Namun mereka tewas kepada PIB dalam perlawanan pertama dan tidak berjaya merebut kejuaraan kumpulan setelah saingan kelayakkan tamat.
Serayan yang menjuarai JES League pada musim lalu tidak patut dipandang rendah. Mereka memiliki pemain di bahagian tengah yang berupaya mengawal permainan dan penyerang yang berbisa seperti Amirul Fareez yang menjaringkan 2 gol ketika peringkat kelayakkan menentang Real Mawar.
8. Puchong Fuerza
Pasukan yang berasal dari Puchong ini sememangnya tidak asing lagi dari pentas futsal di Selangor. Memiliki penyerang yang berbisa dan pertahanan yang mantap muncul juara bagi Liga Komuniti Puchong tahun tanpa sebarang kekalahan.
Puchong Fuerza pada asalnya pasukan futsal yang mantap dan telah dibentuk untuk bermain bola sepak dan beraksi di Liga Komuniti Puchong. Perlawanan yang amat menarik untuk dilihat bagaimana pemain-pemain ini boleh bersaing dengan pasukan-pasukan bola sepak amatur di SCL2017.
9. Ultimate FC
Anda boleh melihat Ultimate FC berentap di SCL2017 dengan jersi Putih dan biru mereka pada musim ini. Ultimate FC merupakan juara bagi liga KV Cyberjaya. Menjuarai liga KV Cyberjaya bukan satu pencapaian yang mudah kerana taraf kompetitif liga yang tinggi.
Pasukan yang berasal dari Kajang ini memiliki reputasi yang sangat bagus di atas padang. Mereka akan bertemu dengan Level Up pada minggu pertama pada 21 September nanti. Ultimate FC juga akan bertemu dengan AZS FC yang dikira sebagai saingan ketat ketika beraksi bersama-sama di liga KV Cyberjaya.