Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid tidak mengambil mudah malah cuba mempersiapkan pasukannya berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) II.
Jelas ini bukan tugas mudah. Pulau Pinang sukar untuk membuat persediaan rapi secara taktikal kerana sudah tentu akan ada ‘kejutan’ dalam senarai pemain JDT II seperti pada minggu lalu, Liridon Krasniqi diturunkan bersama skuad tersebut.
Pemain belum capai tahap sebenar
Dengan senarai pemain lawan yang sukar dijangka, pengendali berusia 43 tahun itu nampaknya lebih mahu memberi fokus kepada pasukan sendiri, disamping cuba melihat apa kemampuan JDT II yang boleh dieksploitasi mereka nanti.
Ditanya Semuanya BOLA mengenai JDT II, Manzoor Azwira berkata, “Di atas kertas kelebihan kepada JDT II sebab mereka ada kualiti di setiap posisi dan disokong oleh pemain di JDT I. Kalau kita tengok pemain JDT I pun akan turun ke JDT II.”
“Buat masa sekarang, saya lebih tumpukan kepada pasukan untuk mendapat permainan sebenar kita. Dalam aksi sebelum ini, kita belum mencapai tahap yang kita patut capai,” jelasnya mengenai tumpuannya sebelum perlawanan di Larkin.
Walaupun rekod Pulau Pinang di bawah kendaliannya dilihat amat positif – belum tewas dalam 16 perlawanan berturut-turut di saingan Liga Premier, sebagai pasukan pelawat, beliau berharap agar para pemainnya berhati-hati nanti.
JDT I dan JDT II sama
Tambahnya, “Bagi saya, perlawanan dengan JDT II, sengit dan sangat mencabar. Kita tahu kualiti yang ada pada JDT II, hampir sama dengan yang ada di JDT I. Jadi kita sebagai pasukan pelawat, kita kena berhati-hatilah dengan mereka.”
Musim lalu, keputusan di Larkin, Harimau Kumbang berjaya menewaskan JDT II dengan keputusan 2-0. Mungkin atas faktor itu, Manzoor Azwira menjangkakan satu pertembungan sengit kerana lawan tentunya menanti untuk membalas dendam.
Walaupun JDT beraksi tanpa penyokong, beliau berkata, “Dengan kualiti yang ada pada pasukan itu, pemain-pemainnya sudah cukup bermotivasi. Kalau kita tidak dapat tiga mata sekalipun, sekurang-kurangnya satu mata pun sudah bernilai.”
Beliau juga berkata yang ia adalah pencapaian yang luar biasa sekiranya berjaya meraih tiga mata dan masih positif jika hanya bawa pulang satu mata.
Penutup
Pulau Pinang ketika ini berada di puncak Liga Premier dengan 14 mata dan berbaki lima perlawanan, Manzoor Azwira tentunya mahu mereka mengekalkan rentak sedia ada bagi merealisasikan impian kembali ke saingan Liga Super musim hadapan.
Dengan prestasi baik barisan benteng dan juga penjaga gawang, Samuel Somerville ketika ini – tiga aksi tanpa bolos, tentunya memberi motivasi tambahan buat mereka.
KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG