Der Klassiker, itulah gelaran untuk perlawanan di antara Bayern Munich dan Borussia Dortmund yang menggambarkan perseteruan era moden di antara kedua-dua pasukan.
Namun semalam, perlawanan ini tidak menggambarkan ia adalah pertemuan klasik dalam bola sepak Jerman. Bayern Munich dengan mudah menjaringkan 5 gol pada separuh masa pertama.
Bayern Munich terus berada di kelas yang tersendiri dalam Bundesliga. 17 mata jarak mereka dengan pasukan di tangga ke-2, Schalke 04. Dan 21 mata jarak dengan Borussia Dortmund adalah gambaran sebenar beza di antara 2 pasukan ini.
Ini bukanlah perkara baru dalam Bundesliga. Ianya kerap berlaku sejak kualiti pasukan seperti Dortmund merudum. Musim lalu, RB Leipzig kelihatan memberikan amaran bahawa mereka sedia mengurangkan jurang itu.
BvB sendiri pada awal musim ini, bermula sangat baik dan Bayern Munich dalam masalah dengan isu di bilik persalinan. Namun selepas itu, apa dah jadi dengan Dortmund? Mereka merosot dan terpaksa memecat Peter Bosz yang awalnya dijulang sebagai Jurgen Klopp baru dalam pasukan mereka.
Borussia Dortmund hilang segala percikan (spark) yang pernah mereka miliki dalam menghadapi perlawanan ini. Lemah di tengah, kurang kreativiti, pertahanan yang rapuh serta pemain hilang tumpuan. Mitchy Batshuayi ‘keseorangan’ di bahagian serangan. 50 minit pertama, beliau hanya melakukan 10 sentuhan bola.
Lewandowski meletakkan garam pada luka Borussia Dortmund dengan hatrik dalam perlawanan ini. Dengan kekalahan ini, Dortmund masih lagi bersaing rapat dengan pasukan seperti Leipzig, Bayer Leverkusen dan Eintracht Frankfurt untuk slot ke UCL musim hadapan.
Bayern Munich terlalu hampir dengan kejuaran Bundesliga mereka musim ini. Keraian kejuaraan mereka ditangguhkan seketika kerana Schalke menang 2-0 ke atas Freiburg.