Kuala Lumpur tewas buat kali ke-4 dalam saingan unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 apabila tunduk kepada Melaka United dalam aksi minggu ke-5 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Beraksi di laman lawan, Kuala Lumpur tewas 0-2 kepada skuad Hang Tuah hasil jaringan Darco Markovic dan juga Nazrin Nawi.
Ia bukanlah satu permulaan liga yang baik buat skuad Warga Kota jika dibandingkan dengan keputusan 4 perlawanan awal pada musim pertama mereka sekembali ke MSL tahun lalu.
Musim 2018, mereka meraih 3 mata dalam 4 perlawanan awal sementara pada musim ini, mereka masih kekal tanpa sebarang mata dan lebih buruk, mereka melepaskan 10 gol.
Dalam sesi post match reaction di iflix, pemain tengah import Kuala Lumpur, Paulo Josue menjelaskan yang sebenarnya Kuala Lumpur amat merindui sentuhan penyerang, Guilherme de Paula.
“Saya tiada jawapan pasti untuk itu (kalah 4 perlawanan berturut-turut). Kita telah cuba beri yang terbaik dan sudah tentu terdapat sedikit perubahan dalam pasukan kita.
“Kita hilang pemain utama kita, de Paula (Guilherme). Dan sudah tentu, kita sangat terasa akan kehilangannya. Dia boleh memegang bola dan mampu menjaringkan gol untuk kita,” ujarnya.
Yang pasti, komen Paulo Josue ini ada benarnya, Guilherme de Paula pada musim lalu telah menyumbang hampir 50% gol skuad Warga Kota iaitu 25 daripada 56 gol yang telah terhasil.
Setiap pasukan pasti ada pemain yang menjadi sandaran utama untuk menjadi peledak gol dan dengan ketiadaan Guilherme, Kuala Lumpur seakan-akan hilang sentuhan di jentera serangan.
Mereka hanya berjaya menjaringkan dua gol setakat ini, terburuk dalam saingan liga musim ini dan sudah dua perlawanan berturut-turut, Kuala Lumpur gagal meledak sebarang gol.
“Sehingga kini kita tidak menemui cara terbaik untuk menyerang pasukan-pasukan lain dan kita juga telah melepaskan banyak gol,” tambahnya lagi yang meledak 10 gol pada musim lalu.
“Kita perlu bersatu padu dan bekerja bersama untuk membuat perubahan,” jelasnya lagi dalam nada yang sedikit kecewa.
Kuala Lumpur akan bertemu dua pasukan yang menghuni kelompok bawahan liga bersama mereka dan turut kemarau kemenangan untuk dua perlawanan selepas ini iaitu Selangor dan PKNP FC.