Lelaki Ini Mengkritik Sikap Tidak ‘Fairplay’ Dalam Bola Sepak Kita Termasuk Pasukan Beliau Sendiri

Seorang penulis bebas, Sharell Eizwan telah meluahkan kekecewaan beliau ke atas isu ‘fairplay’ dalam bola sepak Malaysia.

Perlawanan Liga Super Malaysia bersambung lagi malam tadi, dua perlawanan tumpuan yang digelar el-clasico Malaysia disiarkan secara langsung di kaca TV.

Perlawanan ini melibatkan dua seteru tradisi iaitu Perak dan Selangor, serta satu lagi antara Pahang menentang Johor Darul Takzim.

Kedua-dua perlawanan tumpuan ini mendapat liputan meluas serta menarik pelbagai golongan untuk sama-sama menonton bagi menyaksikan pertemuan panas yang acapkali mengundang kontroversi pada setiap musim.

Tidak terkecuali saya yang menonton pasukan Selangor sebagai pasukan kegemaran turut bersemangat di hadapan kaca TV.

Gambar: Zulfadzli Adzim/Asiana

Dalam kehangatan perlawanan yang dipersembahkan, saya tertarik untuk mengulas tentang perlakuan negatif sesetengah pemain, atau boleh dikatakan satu pasukan.

Sikap negatif melambat-lambatkan perlawanan

Perlakuan ini ialah melambat-lambatkan perlawanan. Kerapkali dapat dilihat apabila sesebuah pasukan itu sedang mendahului, kerancakan perlawanan sering terhenti dengan tindakan pemain yang merebahkan badan meminta perhatian pengadil perlawanan.

Ketika pasukan lawan sedang merencanakan serangan pengadil selalu ‘dipaksa’ untuk menghentikan permainan bagi memberikan perhatian kepada pemain yang ‘tercedera.’

Kalau seorang dua boleh diterima, tetapi kalau lima orang? Enam orang?

Senario ini sudah lama saya perhatikan, dan kebetulan malam tadi pasukan Selangor, pasukan yang saya sokong sendiri melakukan perkara yang serupa.

Mereka sesuka hati merebahkan badan di padang ketika pemain Perak sedang aktif menyusun serangan. Saya sangat tidak senang dengan perlakuan ini. Ia boleh membunuh kerancakan dan semangat saya yang sedang menonton.

Perkara ini seolah-olah barah yang telah lama menghuni bola sepak Malaysia dan perlu diberikan perhatian yang serius.

Imbas kembali ketika perlawanan akhir Piala FA yang lalu antara pasukan Kedah menentang pasukan Pahang.

Kedah selesa mendahului perlawanan pada separuh masa pertama tetapi mempamerkan taktik negatif pada separuh masa kedua.

Ketika pemain-pemain Pahang bermatian menyerang mencari gol penyamaan, mereka dihentikan dengan lakonan dan kepura-puraan pemain Kedah. Ini adalah sesuatu yang sangat tidak menarik untuk ditonton.

Keterujaan penonton tersekat dengan tindakan yang sangat tidak bagus ini.

Pasukan seperti Johor Darul Takzim juga tidak terlepas dari perlakuan ini. Kalau kita undur sedikit kebelakang pada musim lepas jurulatih pasukan Felda United ketika itu.

Irfan Bakti menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pemain Johor Darul Takzim kerana bertindak melambat-lambatkan perlawanan ketika baki masa permainan masih panjang.

Ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan menyakitkan untuk ditonton. Perkara ini memalukan dan merendahkan taraf liga kita yang sememangnya sepi di mata dunia. Ia tidak seharusnya ditambah lagi dengan perlakuan negatif ini.

Kalau anjak sedikit ke perlawanan antarabangsa, pasukan negara kita pernah dikecewakan oleh Singapura dengan taktik negatif ini. Ketika itu kita semua merasa tidak adil dan sangat marah dengan tindakan dari pemain Singapura.

Pemain negara bertali arus menyerang tetapi selalu dipaksa untuk menghentikan perlawanan kerana ada pemain Singapura yang rebah. Bukan sekali, banyak kali, dan benda ini membangkitkan kemarahan kita sebagai penyokong.

Tidak tahulah anda, tetapi saya sendiri stress dan menutup TV lalu keluar untuk mencari ketenangan. Bola sepak ialah emosi, emosi kalau dipermainkan akan mengundang kemarahan dan boleh jadi sangat dahsyat kesannya.

Sebab itu selalu kita dengar atau lihat kes-kes pergaduhan di stadium yang melibatkan penyokong kedua-dua pasukan. Emosi mereka dipermainkan, provokasi dari dalam dan luar padang mencetuskan suasana yang tegang.

Dalam kes ini ia melibatkan perlakuan dari dalam padang sendiri. Ternyata benda ini tidak harus dilakukan oleh pemain yang bergelar profesional serta isu fairplay.

Fairplay adalah komitmen semua pemain profesional untuk mewujudkan persaingan yang adil dan sihat di dalam padang termasuk tidak mencuri atau memusnahkan setiap saat yang diperlukan lawan.

Bagaimana ‘pemain EPL’ menghampakan pasukan lawan

Di liga-liga utama Eropah, mereka juga ada taktik untuk menghampakan pasukan lawan terutama sekali dalam keadaan mereka tahu lawan mereka di dalam prestasi terbaik.

Kalau dilihat pada liga bola sepak antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris, ketika satu pasukan sedang mendahului dalam perlawanan genting, mereka tidak akan merebahkan badan.

Sebaliknya akan bertahan melalui taktikal seperti ‘parking bas’ dan membuang bola keluar. Penyerang yang bijak pula akan membawa bola ke sudut lawan lalu cuba bertahan dari situ. Lebih baik parking bas daripada ‘mencuri’ masa orang.

Mereka ‘jarang’ merebahkan badan untuk meminta simpati pengadil berbanding dengan bola sepak di negara kita.

Bukan tidak ada, tetapi jarang sekali benda ini berlaku. Berbanding dengan liga kita boleh dikatakan semua pasukan melakukan perkara yang serupa.

Ubah budaya bola sepak kita

Menurut pendapat peribadi saya ia adalah perlakuan yang tidak bermaruah dan menjengkelkan. Sampai bila kita mahu seperti itu?

Tindakan ini tidak selaras dengan perubahan FAM yang kini dapat dilihat secara perlahan menuju ke era profesionalisme.

Jurulatih pasukan perlu diberikan taklimat tentang perkara ini. Ada banyak cara untuk bertahan dan mempertahankan kelebihan yang dimiliki tetapi dengan melambatkan perlawanan secara negatif bukanlah satu benda yang gentlemen.

Para pemain kita perlu diajar untuk bermain secara bermaruah dan kekal positif dari segi mental dalam menghadapi perlawanan yang penuh dengan tekanan.

Tunjukkan kepada dunia jika kita tidak mampu bersaing secara global pun, tetapi kita masih ada sesuatu untuk dibanggakan. Kita masih ada pemain yang berdisiplin dan bijak dalam membuat keputusan.

Perkara ini jika dimulakan dari sekarang lambat laun nanti akan sebati juga, dan kemudiannya akan menghapus terus benda-benda yang boleh membunuh keseronokan sesuatu perlawanan.

Nota Editor: Artikel kritikal ini hasil pandangan peribadi penulis bebas Sharell Eizwan yang merupakan penyokong tegar pasukan Selangor dan Manchester United. Kami telah meminta izin beliau untuk menaikkan artikel ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN