Sudah hampir enam minggu saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan, penyerang import Kedah, Kpah Sherman mengakui beliau sangat rindu untuk kembali beraksi di atas padang.
Dalam satu temubual penyerang dari Liberia itu bersama The Star, beliau mengatakan dirinya tidak sabar untuk mempamerkan ketajaman penyudahnya terutama di hadapan penyokong setia skuad Lang Merah di Stadium Darul Aman.
Ketika ini spekulasi mengenai pembatalan liga semakin hangat dibincangkan. Sherman kini hanya mampu berdoa dan berharap adanya sinar di hujung terowong selepas kerajaan memaklumkan Liga-M hanya boleh dimulakan pada bulan November.
Menteri Kanan: Liga-M Mungkin Sambung Bulan November https://t.co/U4ePjBuQaf pic.twitter.com/NYvvDtj3Qi
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 29, 2020
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Ismaul Sabri Yaakub sebelum ini telah memaklumkan pihak Majlis Keselamatan Negara tidak akan membenarkan perlawanan bola sepak berlangsung sekalipun Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) telah ditamatkan.
“Sejujurnya saya mahu saingan liga ini disambung dan meraih kejayaan untuk pasukan pada musim ini.” kata Sherman kepada akhbar berbahasa Inggeris itu.
“Tetapi dalam situasi seperti ini, sekiranya liga dibatalkan, ia adalah satu kehilangan yang amat besar. Pemain, pasukan dan pegawai. Ia akan jadi satu tragedi,” kata pemain berusia 28 tahun itu.
“Ada negara-negara lain yang berusaha untuk kembali menyambung liga mereka. Jika ia boleh dilakukan, selagi penyokong dan pemain mengambil memahami, kita perlu mencari jalan untuk menyambung kembali liga ini. Ia amat penting.
“Sekiranya ia dibatalkan, terpulang kepada pihak kelab apa yang akan dilakukan. Kamu perlu berbincang dengan pemain dan fikirkan apa yang terbaik untuk kebaikan kedua-dua pihak.
“Jika liga tidak diteruskan, tidak mungkin pemain boleh minta 100 peratus gaji mereka. Pemain yang membuat tuntutan seperti itu tidak berhati perut.
“Mesti ada rundingan mengenai pembayaran yang sewajarnya untuk pemain jika liga tidak diteruskan. Jika perlawanan tidak dapat dilangsungkan, tidak mungkin pasukan dapat menghasilkan pendapatan untuk bayar gaji pemain sepanjang tahun.
“Ini adalah situasi yang tidak pernah dihadapi semua orang. Kita tidak bola menyalahkan kelab dan tak boleh juga salahkan pemain. Kita hanya perlu bertolak ansur.”
Sulaiman Husin: FAM, MFL Perlu Bantu Kewangan Pasukan Jika Liga-M Dibatalkan https://t.co/eV8mZ98KUO pic.twitter.com/KwQ9dAI2B0
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 27, 2020
Sherman yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super bersama PKNS pada musim lepas berkata beliau kini memahami kepentingan PKP yang dilaksanakan pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
“PKP telah berlanjutan sehingga enam minggu. Kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi ini dan kami perlu terus duduk di rumah dan pastikan kesihatan dan kecergasan berada dalam keadaan terbaik.
“Kami menjalankan latihan bersama pasukan setiap hari. Kami bertemu secara maya dan bercakap di antara pemain dan pegawai kejurulatihan. Itu lebih penting daripada khabar angin dan spekulasi mengenai liga akan dibatalkan.
“Bila sudah ada keputusan rasmi, baru kita boleh tahu bagaimana cara untuk menanganinya.”
Menerusi tempoh PKP ini, Sherman mengatakan semua perlu bermuhasabah kembali kehidupan ini dan perlu diakui situasai ini telah mengajar semua orang yang kita tidak boleh menjangkakan ‘cuaca buruk’ yang akan melanda.
Kredit Foto: FA Kedah