Kos RM787 Juta Bangunkan Semula Stadium Shah Alam Cetus Tanda Tanya

Stadium Shah Alam

Video pelan rekabentuk Stadium Shah Alam baharu yang didedahkan semalam mencetuskan lebih banyak tanda tanya berbanding kelegaan. Video yang diterbitkan oleh Menteri Besar Selangor Incorporated itu memaparkan pelan rekabentuk stadium baharu Selangor FC yang bakal didirikan di atas tapak seluas 80 hektar yang dinamakan Kompleks Sukan Shah Alam.

Pada pertengahan Julai 2022 lepas, media tempatan melaporkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam akan menelan kos sebanyak RM787 juta. Kos itu termasuk kos membina kemudahan-kemudahan lain di sekitar Stadium Shah Alam seperti pusat komersial, masjid, taman permainan dan trek jogging untuk kegunaan orang awam.

Apa yang menimbulkan tanda tanya adalah bagaimana kemudahan seluas 80 hektar itu hanya menelan kos RM787 juta?

Carian pantas di Google menunjukkan kos pembinaan Singapore Sports Hub (siap pada Julai 2015) yang berkeluasan 35 hektar sahaja telah menelan kos SGD1.33 bilion (RM4.3 bilion). Kos itu meningkat sehingga SGD1.63 bilion (RM5.27 bilion) pada 2022 jika diperbetulkan dengan kadar inflasi semasa.

Persoalannya – bagaimana kompleks Singapore Sports Hub yang 2.3 kali lebih kecil keluasannya daripada Kompleks Sukan Shah Alam boleh menelan kos pembinaan 5.5 hingga 6.7 lebih tinggi?

Singapore Sports Hub menelan belanja RM4.3 billion pada 2015 dengan keluasan 35 hektar

Tambah menimbulkan persoalan adalah apabila video Menteri Besar Selangor Incorporated menunjukkan Stadium Shah Alam baharu akan dilengkapi dengan teknologi Indoor Humidity Control (Seat Cooling System dan Bumbung ETFE) dan retractable pitch. Benarkah semua kos ini hanya menelan belanja RM787 juta?

Tak dinafikan Singapore Sports Hub berkapasiti 1.6 lebih banyak daripada Stadium Shah Alam baharu, dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain stadium tertutup berkapasiti 12,000, kompleks akuatik berkapasiti 6,000 dan kompleks sukan gelanggang berkapasiti 3,000. Ini membuatkan kos pembinaan meningkat sehingga RM4.3 bilion. Tetapi ia tetap tidak dapat menjustifikasi kos pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam yang 5-6 kali lebih rendah untuk keluasan melebihi 2 kali ganda.

Walaupun kos pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam didakwa tidak akan memakai dana pembayar cukai Selangor, satu lagi soalan yang timbul adalah – berapakah kos penyelenggaraan Kompleks Sukan Shah Alam dan siapa yang akan membayarnya? Kos penyelenggaraan Singapore Sports Hub setahun sahaja menelan belanja RM219 juta setahun.

Mampukah kerajaan Selangor, MRCB atau Selangor FC membayar kos penyelenggaraan untuk sebuah kompleks sukan yang lebih besar? Atau adakah kerajaan Selangor (melalui Menteri Besar Incorporated, MBI) akan terus membayar kos penyelenggaraan stadium – seperti stadium lama? Apa akan terjadi jika Selangor bertukar kerajaan dan Menteri Besar baharu tidak berminat untuk menanggung kos penyelenggaraan stadium? Adakah penyelenggaraan stadium baharu ini akan diabaikan – seperti stadium lama?

Stadium Shah Alam

Satu lagi persoalan adalah apakah Selangor FC ada pelan untuk mengambil alih pemilikan Stadium Shah Alam baharu itu? Berapa lamakah tempoh perkongsian awam-swasta antara MBI dengan MRCB dalam projek ini? Berapa jutakah yang akan dibayar oleh kerajaan Selangor kepada perkongsian awam-swasta ini? Untuk pengetahuan, kerajaan Singapura membayar RM626.3 juta setahun sehingga 2035 kepada perkongsian awam-swasta Singapore Sports Hub.

Dan apa pula pelan Selangor FC untuk mengumpul dana untuk mengambil alih perkongsian awam-swasta ini?

Dikala projek Kompleks Sukan Shah Alam ini membuahkan rasa optimistik kepada penyokong The Red Giants, masih banyak soalan perlu dijawab. Jika tidak, adalah menjadi kebimbangan stadium ini akan menjadi satu lagi infrastruktur yang diabaikan penyelenggaraannya. Perlu diingat, penyelenggaraan kompleks sukan berkeluasan 80 hektar bukan murah. Adakah pisang akan berbuah dua kali?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN