Kecoh pada hari ini isu kontrak Rizal Ghazali. Pihak Felda United menuntut hak mereka. Ini kerana bintang final Piala Malaysia dan Sumbangsih itu dikatakan sudah mempersetujui kontrak dengan Felda United sebelum final.
Musim ini Rizal Ghazali sudah pun didaftarkan di dalam pasukan Kedah dan sudah bermain 1 perlawanan rasmi liga Malaysia.
Kronologi
Pada November lalu Rizal Ghazali memuat naik status di instagram beliau menggambarkan beliau akan menyertai pasukan lain selepas tidak mendapat tawaran kontrak baru dari Kedah FA selepas menjuarai Piala Malaysia.
Beliau turut menyatakan buat masa tersebut, Kedah adalah pasukan beliau sehingga kontrak beliau berakhir pada November 2016.
Namun pihak Felda United hari ini menyatakan pemain itu sudah mempersetujui kontrak dengan Felda United sebelum final Piala Malaysia lagi.
Kedah hanya menawarkan kontrak baru kepada Rizal Ghazali selepas final Piala Malaysia. Ini yang membuatkan pemain ini melakukan u-turn.
Kesalahan ini membolehkan pemain ini digantung dalam satu tempoh yang panjang. Ianya mirip dengan kes Gary Steven Robat. Pemain itu digantung 3 bulan dan denda RM50 ribu di atas kesalahan tersebut.
Satu lagi kes yang hampir serupa sebelum ini melibatkan D. Saarvindran yang berlaku konflik antara Selangor dan Pahang.
Felda United dikatakan mengheret kes ke tesebut ke mahkamah. Ini kerana mereka merasakan mereka lebih berhak ke atas Rizal Ghazali.
Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat minta penjelasan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) pada 27 Januari ini.
Ini selepas Felda United menghantar afidavit untuk kontrak Rizal Ghazali.
Pandangan kami
Ia adalah satu kes yang memerlukan semua pihak ada transparensi sejak dari awal. Sampai bila liga di negara kita nak merahsiakan semua perkara?
Felda United atau mana-mana pasukan yang menandatangani pemain selepas ini sepatutnya mengumumkan secara rasmi pemain tersebut sebagai hak mereka untuk musim baru.
Kenapa perlu berahsia jika pemain yang mereka tandatangani berdasarkan regulasi yang sah bukanya cara kotor?
Begitu juga dengan pemain yang baru menandatangani kontrak baru. Sistem yang transparensi ini sebahagian daripada pengurusan bola sepak moden.
Ia pengajaran juga kepada KFA dan mana-mana pengurusan bola sepak lain untuk lebih cepat bertindak dalam menawarkan kontrak kepada pemain yang ada dalam perancangan mereka untuk musim baru.
Ada juga yang menyalahkan Rizal Ghazali yang menandatangani kontrak dengan pasukan lain sedangkan dia masih ada kontrak dengan pasukan Kedah.
Ia mungkin menjadi alasan terkuat untuk KFA memiliki Rizal Ghazali.
Namun beitu, dalam regulasi FIFA, pemain berhak menandatangani dan bercakap dengan pasukan lain dalam tempoh 6 bulan kontrak mereka bakal berakhir.
Pemain biasanya menandatangani kontrak baru dengan pasukan lain untuk memastikan pekerjaan mereka tidak putus dan terjamin. Dalam kes Rizal Ghazali perasaan sayang dia kepada Kedah masih menebal.
Tapi isu menghormati kertas yang bernama kontrak adalah keutamaan. Kami merasakan kita perlu lebih tegas mengimplementasikan sistem bosman.
Rumusan
Ia adalah isu profesional dan transparensi oleh semua pihak. Kami berharap masalah seperti ini tidak lagi berlaku di masa akan datang.
Pihak Jawatankuasa Jawatankuasa Status Pemain masih membuka ruang untuk kedua-dua pasukan menyelesaikan isu ini atas persetujuan bersama (mutual consent).
Rasanya ini yang terbaik untuk selesaikan isu kontrak Rizal Ghazali kerana beliau memerlukan perlawanan kompetitif setiap minggu untuk memastikan dirinya kekal dalam pasukan kebangsaan.
Baca juga : Analisis Taktikal MSL 2017: JDT Gagal Kekalkan Taktikal High Pressing