Usai wisel tamat perlawanan ditiup oleh pengadil Khirulazuan Kidam, pemain-pemain Kelantan rebah terbaring. Pemain-pemain JDT melakukan yang terbaik untuk menaikkan semula moral lawan mereka. Tetapi hakikat nama mereka sudah terpahat dalam rekod kekalahan terbesar Liga Super sepanjang zaman mungkin terlalu pahit untuk ditelan anak buah Angel Alfredo Vera.
Bagi JDT, kemenangan 10-0 ini hadir tepat pada masanya. Hampir 10 tahun lepas pada musim pertama rasmi TMJ menjadi pemilik, JDT dibelasah Kelantan 6-1. Apa yang menariknya susulan kekalahan tersebut, di Facebook Johor Southern Tigers JDT menulis (dalam Bahasa Inggeris) — Ini bukan penamat. Ini baru permulaan. Ayat ini merupakan gema susulan kenyataan TMJ pada hari sama pasukannya dimalukan Kelantan, “Kita kalah dalam perlawanan ini. Tetapi semangat untuk membina empayar bola sepak yang hebat tidak pernah luntur. Kejayaan tidak datang dengan sekelip mata. Ia memerlukan masa.”
100TH GOAL OF 2023 SEASON
Johor Darul Ta'zim FC have scored 108 goals from 26 games in all competitions in the 2023 season.
The Southern Tigers' second goal by Takahiro Kunimoto in a 10-0 win over Kelantan FC in the Malaysia Cup Round of 16 was the club's 100th goal of the… pic.twitter.com/8PfJjPTDxK
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 20, 2023
Secara idealnya semua pasukan mahu menjadi pasukan lebih baik di atas padang berbanding versi mereka pada 10 tahun lepas. Tetapi kata orang putih — talk is cheap (cakap itu senang). Dalam kes JDT, TMJ membuktikan cakap baginda bukan sekadar sembang. Cakap baginda adalah satu kenyataan misi dan visi. Mara laju ke musim 2023, JDT bukan sahaja telah berjaya memadam rekod kekalahan buruk 1-6 tersebut dengan rekod kemenangan lebih besar. Malah mereka turut telah merangkul 24 trofi domestik dan benua dalam masa 10 tahun. Purata 2.4 trofi setahun. Itu cerita di atas padang. Di luar padang, Harimau Selatan kini memiliki stadium yang pernah diiktiraf World Stadium of The Year, fasiliti kelab setaraf kelab-kelab terbaik di dunia, menduduki ranking kelab no.1 di ASEAN, 20 terbaik di Asia dan 400 terbaik di dunia.
Kejayaan proses JDT ini tak mungkin dapat dicapai jika tidak kerana proses ‘overhaul’ mentaliti yang dimulakan oleh TMJ. Apabila mentaliti anda berbeza dengan orang lain, tak hairanlah anda akan dikritik. Contoh paling terkini adalah kritikan sesetengah peminat bola sepak tempatan bahawa JDT tidak menggilirkan pemain. “10-0 ni tak ada apa nak dibanggakan sangat dengan line-up yang macam ni dengan lawannya di tempat sendiri”, tulis seorang peminat di Facebook. Di X pula, seorang peminat lain menulis, “Kenapa tak rotate team je? Atas kertas confirm dah menang”.
Untuk berlaku adil kepada si pengkritik, bukan mereka sahaja yang berfikiran sebegini. Di England juga terdapat suara-suara sebegini. Pada musim lepas, pengurus Arsenal Mikel Arteta ditanya oleh media tentang kecenderungannya menurunkan Bukayo Saka dalam setiap perlawanan — waima ketika menentang pasukan yang dianggap ‘confirm menang’. Arteta menjawab:
“Cuba tengok pemain-pemain terbaik di dunia. Mereka bermain 70 perlawanan semusim, setiap 3 hari, memberi persembahan terbaik dan menang perlawanan. Kalau anda nak jadi terbaik di dunia, anda kena ada kebolehan (bermain 70 perlawanan semusim). Kalau kita tanamkan (mentaliti berbeza) di fikiran pemain muda, kita akan buat silap. Sebab pemain akan mula fikir saya nak main perlawanan ini, perlawanan itu saya tak nak main, saya tak nak main di padang itu ini — saya tak nak benda ini berlaku.
“Saya nak pemain menuntut mahu main setiap 3 hari. Saya nak mereka ketuk pintu saya dan cakap ‘Saya nak main, saya nak menang’.
Arteta turut memberi bukti kemajuan sains sukan telah memberi kapasiti kepada pemain sekarang untuk bermain setiap 3 hari. “Tak ada seorang pun jurulatih kecergasan di dunia ini yang beritahu saya pemain tak boleh (main setiap 3 hari) sebab saya sendiri nampak ada pemain boleh buat. 72 perlawanan, 50 gol. Pemain tak boleh jaringkan 50 gol semusim kalau bermain 38 perlawanan sahaja semusim. Mustahil.”
Di mata pengkritik, pemain-pemain utama JDT seperti Bergson, Arif Aiman, Juan Muniz, Corbin Ong dan Syihan Azmi sepatutnya digilirkan dengan pemain lain. Import baharu Takahiro Kunimoto sepatutnya diturunkan menentang pasukan lain. Di Malaysia, bola sepak profesional sudah berlangsung lebih dua dekad. Tetapi malangnya mentaliti ‘Mana Aci’ masih lagi membelenggu pemikiran peminat-peminat kita. Mana aci turunkan pemain utama lawan Kelantan. Mana aci turunkan pemain utama lepas menang 5-1. Mana aci turunkan pemain utama di halaman sendiri. Semuanya mana aci.
Biggest win of the season! ✊🏻
More photos at https://t.co/wu8zveFzqC#JDTvKEL#PialaMalaysia2023#WhatCanYouDo#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/fYSK1idIFX
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 19, 2023
Di mana mentaliti pemain hanya berhak main kesebelasan utama jika cemerlang di sesi latihan — tak kiralah siapa pasukan lawannya? Di mana mentaliti tiada pemain ada status ‘anak emas’ dalam pasukan? Di mana mentaliti setiap pemain perlu ada kemahuan bermain semua perlawanan, setiap 3 hari? Di mana mentaliti semua lawan adalah sama tanpa mengambil kira keputusan lepas?
Malah kita sebenarnya boleh berhujah jika JDT memberi ‘belas kasihan’, JDT tidak menghormati Kelantan. Dengan menurunkan kesebelasan utama terkuat, JDT menghormati Kelantan sebagaimana pasukan-pasukan lain. Dengan menurunkan kesebelasan utama terkuat, JDT memberi mesej kepada pemain-pemainnya — mereka perlu tunjukkan sebab kuat untuk bermain sebagai kesebelasan utama. Menentang pasukan kerdil bukan sebab cukup kuat untuk mendapat peluang bermain. Mentaliti inilah yang membolehkan JDT mendominasi bola sepak tempatan dan berdiri sama tinggi sama rendah dengan gergasi bola sepak Asia di peringkat benua.
Untuk maju, kena ubah mentaliti. Nasihat ini kedengaran sangat klise, tetapi ada sebab ia kerap diulang-ulang oleh orang dan organisasi berjaya. Mentaliti yang kuat tidak dikompromi dengan perasaan sentimental. Juara kekal menjadi juara kerana mental juaranya. Bukan kerana perasaan ‘kasihan’.
$JDT Fan Token Bawa Keterlibatan Penyokong Ke Dimensi Baharu