$JDT Fan Token Bawa Keterlibatan Penyokong Ke Dimensi Baharu

$JDT Fan Token

Penyokong JDT amat beruntung memiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail (TMJ) sebagai pemilik kelab. Pendekatan ‘hands-on’ dalam segala aspek pengurusan kelab mungkin satu bala dari pemilik kelab lain, tetapi tidak bagi pemilik kelab bervisi seperti TMJ. Terbaharu, pengenalan $JDT Fan Token di platform socios.com merupakan satu lagi visi baginda – seperti biasa, yang pertama di Malaysia – untuk menambah lagi keterlibatan penyokong dalam aktiviti JDT.

Pada 5 Julai lepas, sebanyak 50,000 $JDT Fan Token disediakan di socios.com untuk direbut oleh penyokong JDT seluruh dunia. Penyokong yang memiliki $JDT Fan Token memiliki pelbagai keistimewaan – yang hanya tersedia khas untuk mereka sahaja. Antaranya peluang mengundi untuk menentukan rekabentuk produk, fasiliti, keraian gol pemain sehingga ke senarai set lagu di stadium.

Pemilik $JDT Fan Token telah merasai sendiri ‘kuasa pemilikan’ mereka apabila memilih gaya keraian gol ‘Mental Health’ (yang dipopularkan oleh Marcus Rashford) untuk Arif Aiman. Ini bermakna, jika Pemain Paling Berharga 2021 dan 2022 ini menjaringkan gol selepas ini, keraian gol ‘Mental Health’ akan dipersembahkannya. Selepas perlawanan, jersi bertandatangan Arif dalam perlawanan tersebut akan dihadiahkan kepada seorang pemilik $JDT Fan Token yang bertuah.

Manfaat yang dimiliki pemegang $JDT Fan Token tidak terhad di situ sahaja. Mereka juga akan mendapat tiket perlawanan VIP, akses eksklusif kepada pemain, diskaun dan promosi istimewa daripada pelbagai jenama restoran (KFC, Woodfire, Coppola), pawagam (GSC) dan taman hiburan (xPark).

Konsep membawa keterlibatan penyokong dalam medium blockchain mungkin masih asing di Malaysia. Tetapi tidak di luar negara – menandakan visi jauh TMJ yang sentiasa membawa pembaharuan positif buat kelabnya. Lebih 150 kelab dan organisasi dari 25 negara telah mengeluarkan Fan Token masing-masing di socios.com. Setiap kelab yang mengeluarkan Fan Token ini menyedari satu fakta: pendapatan yang kelab boleh jana daripada penyokong tegar ada silingnya.

Fikirkan daripada perspektif pemilik kelab. Anda tak boleh menjual tiket melebihi kapasiti stadium. Anda tak boleh menaikkan harga tiket perlawanan sewenang-wenangnya. Jika tidak, penyokong akan marah, jumlah kehadiran akan menurun. Duit hak penyiaran tidaklah selumayan mana. Pendapatan daripada penaja juga tidak tetap dan boleh berubah-ubah musim ke musim.

Apa yang anda boleh buat adalah mencari peluang pendapatan baharu; yang boleh diraih di luar sempadan Johor dan boleh diskala naik dengan mudah. TMJ sedar dengan $JDT Fan Token, penyokong JDT di seluruh Malaysia dan dunia boleh membeli ‘syer pengaruh’ di kelab kesayangan mereka.

Berbeza dengan syer pemilikan, syer pengaruh membolehkan penyokong membeli syer untuk mempengaruhi keputusan-keputusan kelab dan pemain.
$JDT Fan Token adalah satu cara bagi penyokong JDT – di Sarawak contohnya – untuk merasai tahap keterlibatan yang sama dengan penyokong JDT di Gelang Patah yang membayar tiket bermusim (season ticket) dan pergi ke Stadium Sultan Ibrahim setiap minggu. Dengan memiliki $JDT Fan Token, penyokong akan memiliki ‘sense of belonging’ sama terhadap JDT tanpa mengira negeri/negara mana mereka dilahirkan dan menetap.

Selain itu, ia juga salah satu cara bagi JDT untuk merintis peluang menjadi kelab bola sepak global. Sejak 2013, TMJ telah menyedari satu hakikat yang tidak ramai sedar di Malaysia: kelab Malaysia perlu beroperasi di luar kepompong negeri untuk maju.

Ini bermakna merekrut pemain tempatan terbaik tanpa mengira di mana dia dilahirkan. Ini bermakna meninjau bakat-bakat muda di luar Johor dan menawarkan sebab kukuh untuk masuk ke akademi JDT. Ini bermakna mencari penaja dari luar Johor, menarik minat penyokong luar Johor dan mencari pendapatan daripada sokongan penyokong luar Johor yang pasif – menjadikan mereka penyokong aktif. Dengan $JDT Fan Token, JDT berada di landasan tepat untuk merealisasikan visi TMJ ini.

24 jam selepas 50,000 $JDT Fan Token dilancarkan, JDT mengumumkan kesemuanya telah habis dijual. “Lebih banyak Fan Token akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” menurut satu kenyataan di laman Facebook kelab – menandakan permintaan hangat daripada penyokong. Ini petanda positif bagi JDT dalam misi untuk mempelbagaikan sumber pendapatan kelab sepertimana yang telah dibuat oleh Barcelona menerusi $BAR Fan Token mereka.

Pada Jun 2020, sebanyak 600,000 $BAR Fan Token habis dijual selepas dua jam, menjana pendapatan USD1.3 juta (RM5.9 juta) kepada Barcelona. Menurut Chiliz Explorer, setakat ini 50,000 $JDT Fan Token telah dimiliki oleh 2,907 pemilik seluruh dunia. Maksimum 10 juta $JDT Fan Token akan dikeluarkan di socios.com secara berperingkat – memberikan lebih banyak peluang lagi kepada penyokong JDT untuk mempengaruhi kelab dan JDT sendiri untuk menambah pendapatan secara berperingkat pada masa depan.

10 tahun selepas mengambil alih Persatuan Bolasepak Negeri Johor dan mengasaskan JDT, TMJ masih tidak menunjukkan sebarang tanda kekeringan idea untuk memajukan kelabnya. JDT mungkin milik TMJ. Tetapi TMJ milik penyokong JDT. Sekali lagi buat penyokong JDT, anda amat beruntung memiliki baginda sebagai pemilik kelab.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN