Komitmen Latihan Jadi Keutamaan Buat Ashby Rovers

Ashby Rovers

Pasukan dari Ipoh, Ashby Rovers tidak mahu status sebagai pasukan amatur menghalang usaha kelab tersebut bagi menerapkan disiplin tinggi dalam kalangan pemain kelab tersebut.

Ashby Rovers ditubuhkan pada 2016 selepas penjenamaan semula daripada Pasak FC di mana sekumpulan anak muda yang tinggal di Pangsapuri Jalan Hospital [lebih dikenali sebagai Ashby] mengambil langkah proaktif dalam membangunkan kelab itu supaya dapat memberikan ruang kepada penduduk di situ untuk menyerlahkan bakat mereka.

Bakal bersaing dalam kempen Liga Super Persatuan Bolasepak Ipoh (PBI) 2021, pihak pengurusan Ashby Rovers amat menitikberatkan kehadiran para pemain pada sesi latihan. Aspek tersebut menjadi keutamaan yang diterapkan oleh Ketua Jurulatih, Maamal Hajri Abdul Wahab sambil dibantu legenda bola sepak Perak, Roafandi Yussof.

Gandingan Maamal Hajri [AK] dan Roafandi Yussof di Ashby Rovers.
Dibarisi pemain-pemain berbakat besar, Ashby Rovers menjadikan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putera, Ipoh sebagai padang latihan.

Sekadar untuk menggamit nostalgia, Norshahrul Idlan Talaha dan Syed Adney yang pernah beraksi sebagai pemain skuad Piala Presiden Perak pada awal tahun 2000 seringkali beraksi bersama-sama pemain-pemain Ashby Rovers di padang tersebut.

”Kami sememangnya memberikan tumpuan khusus terhadap sesi latihan kerana disiplin amat diperlukan bagi mereka yang berminat untuk menyertai kelab ini. Walaupun sekadar beraksi di saingan Liga PBI tetapi kami menyimpan azam yang menggunung untuk menjelmakan keputusan yang baik.”

”Oleh itu, bagi pemain-pemain yang tidak turun ke sesi latihan, mereka tidak akan dibenarkan untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan pada minggu tersebut. Tiada pemain yang diberikan keistimewaan untuk beraksi sekiranya dia tidak turun ke sesi latihan pada minggu tersebut.”

”Semua ini dilakukan adalah untuk mendisiplinkan para pemain kerana kami memiliki serampang dua mata iaitu untuk melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk pasukan bola sepak Perak dan negara khususnya.”

”Mungkin ia dilihat sebagai satu angan-angan tetapi dalam bola sepak atau sukan yang lain, jika anda berusaha keras dan mempamerkan kehebatan diri, tiada apa yang mustahil untuk dicapai.”

”Begitulah juga dengan harapan tinggi daripada Ashby Rovers. Terima kasih juga kepada pemain yang memberikan komitmen tinggi serta sokongan kuat daripada pengurus pasukan, Mohd Syamsul Farizat,” ujar Fareez Salehudin yang merupakan jurucakap Ashby Rovers.

Pangsapuri Ashby bukanlah asing dengan bola sepak di negeri Perak apabila berjaya melahirkan pemain-pemain pentas Liga Super Perak dan PKNP FC seperti Muhammad Firdaus Saiyadi, Ahmad Khairil Anuar Zamri [Beto], Izzat Ramlee, Hafiszuan Salehudin, Hafis Amran, Safwan Mahayuddin, Syamim Baharudin, Muhammad Mazni Khairul Hasnan, Harris Roslee dan ramai lagi.

Dua lagi pemain sedang meningkat naik, Shahir Bashah yang beraksi bersama Perak II pada musim ini dan Aizad Ramli dari Piala Belia Perak juga mempunyai potensi yang cukup cerah untuk turut sama merasai pengalaman seperti ‘abang’ senior mereka dalam tempoh beberapa tahun sahaja lagi.

Selain itu,  Muhamad Zakry Asraf Roslan juga merupakan pemain yang turut mengharumkan nama Ashby Rovers apabila beliau terpilih mewakili skuad futsal bawah 20 tahun negara bagi menghadapi Kelayakan Kejuaraan Futsal B-20 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2019 di Bangkok.

Kejayaan menduduki tempat ketiga Liga Perdana PBI 2020 berjaya membawa Ashby Rovers ke Liga Super.

Angan-angan Ashby Rovers bukanlah sebuah kisah dongeng untuk ditertawakan. Hal ini kerana kelab tersebut menunjukkan peningkatan prestasi dari tahun ke tahun selepas mereka berjaya melayakkan diri ke suku akhir Liga PBI 2017, mendapat tempat kedua Liga Divisyen 3 PBI 2018 dan musim lalu menduduki tangga ketiga Liga Perdana sekali gus melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN