Bagaimana untuk memberikan definisi ‘Brendan Gan’? Untuk aksi di dalam padang, mudah untuk kami menghuraikan siapa Brendan Gan.
Beliau adalah pemain yang dikenali dengan etika dalam padang. Tak kenal erti putus asa dan sentiasa mengerah segala kudrat. Bak kata orang, ‘takde nak simpan simpan’.
Bagaimana pula di luar padang? Kami cuba huraikan siapa pemain yang dianggap jeneral pasukan Red Giants dan tunjang Harimau Malaya apabila beliau cergas sepenuhnya.
Brendan Gan tidak pernah putus asa
Satu perkara yang pasti Brendan Gan adalah jenis individu yang tidak pernah putus asa. Ini selepas pemain ini dilanda dua kecederaan ACL sebelum ini
Kecederaan ACL adalah kecederaan yang paling digeruni oleh mana-mana pemain bola sepak. Kebarangkalian prestasi pemain untuk merosot teruk selepas kecederaan ACL – walau sekali – hingga terpaksa mengakhiri karier mereka, sangatlah besar.
Tetapi bagaimana pula jika pemain mendapat kecederaan ACL sebanyak dua kali? Bagi kes Brendan Gan, beliau berjaya menangani dan mengakhirinya dengan senyuman.
Kemudian ligamen lutut Gan terputus sekali lagi pada penghujung 2016. Kali ini dalam tugasan antarabangsa ketika menyarung jersi Harimau Malaya.
Bercakap kepada FourFourTwo, Brendan mengakui kecederaan ACL kali kedua tersebut membuatkan beliau tertekan dari segi mental.
“ACL kedua ini hampir sama dengan yang pertama. Namun proses pemulihan lebih panjang kerana ada meniskus yang harus diperbaiki,” katanya.
The story of one footballer’s battle with two back to back Anterior Cruciate Ligament (ACL) injuries.
31 year old, Brendan Gan is back with the Malaysian national football team. Ready to represent & to fight to play a role for this upcoming international fixtures. pic.twitter.com/fr4SP5BdG0
— padangbolasepak.com🇲🇾 (@padangbolasepak) August 26, 2019
“Secara mental, ianya adalah detik paling sukar dalam hidup saya. Jika saya duduk di Malaysia (sepanjang pemulihan) saya boleh jadi gila dan mungkin berhenti bermain bola sepak.”
Enggan berpeluk tubuh meratapi kecederaan tersebut, Brendan kembali ke Australia untuk menjalani rawatan. Usaha gigihnya terbukti terhasil apabila Brendan tampil sebagai pemain utama Perak selama dua musim ini, dan juga bersama pasukan kebangsaan.
Bayangkan sikap tidak pernah berputus asa Brendan Gan terhadap wanita yang disayangi dalam hidupnya. Brendan adalah seorang lelaki yang cekal dan tidak pernah berputus asa, satu kualiti yang digemari kebanyakkan wanita pada hari ini.
Brendan Gan seorang pahlawan
Kapten Selangor, Brendan Gan yang disahkan menghidap penyakit kanser testis sebelum ini akhirnya kembali menjalani latihan bersama pasukannya.
Perkembangan tersebut pastinya amat bermakna buat penyokong The Red Giants untuk melihat pemain tengah Harimau Malaya itu kembali cergas selepas menjalani pembedahan dan beberapa siri rawatan.
Ketika disahkan menghidap penyakit itu, ia tidak langsung mematahkan semangat beliau untuk pulih dan kembali beraksi kerana beliau yakin boleh melawannya.
Get over your male ego, trust your gut instinct if something feels wrong, and get checked. Cancer knows no boundaries.
Some words of wisdom from Brendan Gan on #WorldCancerDay.
Thank you @selangorfc for having me! pic.twitter.com/8SmEK0xidX
— Nailah Huda (@nylahuda) February 4, 2022
Itulah sifat dan kualiti pemain ini. Brendan Gan adalah seorang pahlawan! Beliau tidak gentar walaupun pada awalnya dimaklumkan oleh doktor hanya mempunyai tempoh 6 bulan sahaja untuk hidup.
Sekembalinya bersama rakan sepasukan, imejnya yang ‘botak’ tanpa rambut itu pastinya kesan dari rawatan kimoterapi.
Kanser dianggap salah satu penyakit paling kronik dan amat ditakuti oleh sesiapa sahaja. Ia memberikan impak bukan sahaja kepada fizikal, tetapi juga terhadap mental atau emosi pesakit serta keluarga. Tetapi apa yang dilalui oleh Brendan Gan dalam melawan kanser adalah sesuatu yang boleh dijadikan inspirasi oleh setiap golongan masyarakat.
Seorang lelaki yang penyayang dan romantis
Tidak syak lagi, Brendan juga adalah seorang lelaki yang penyayang. Berdasarkan perkongsian beliau di Instagram, anda boleh melihat bagaimana Brendan begitu menghargai isterinya yang melahirkan zuriat buat mereka.
Perhatikan tutur kata Brendan terhadap isterinya melalui perkongsian di atas ketika menyambut hari kelahiran isterinya.
Ianya simple, tetapi cukup romantis untuk menyentuh hati dan perasaan mana-mana wanita untuk rasa dihargai. Terus terang cakap, bukanlah emas permata yang wanita kejar.
Cukuplah dengan seorang suami yang amat memahami pengorbanan seorang isteri seperti yang ditampilkan oleh Brendan Gan.
Brendan bapa penyayang
Brendan Gan juga adalah seorang bapa yang penyayang. Setiap wanita mahukan suami yang boleh menjadi seorang ayah yang penyayang kepada anak yang dilahirkan. Setiap anak juga mahukan seorang ayah yang sentiasa mengambil berat akan keperluan mereka.
Itulah ciri-ciri yang ditampilkan oleh Brendan. Bagi Brendan, kelahiran Koa Brooklyn adalah hari terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya.
Beberapa hari selepas itu, Brendan Gan membantu Malaysia menewaskan Indonesia untuk menutup tahun 2019 dengan cemerlang bagi skuad kebangsaan.
“Saya tidak pasti sejauh mana saya mampu membantu tetapi tugasan saya kini adalah bersama isteri.” kata beliau dalam satu temubual bersama Astro Arena sebelum ini.
Komited, setia dan realistik
Satu perkara yang pasti juga ialah Brendan Gan adalah jenis lelaki yang setia. Beliau telah memberikan komitmen beliau kepada Malaysia untuk bola sepak antarabangsa, walaupun secara teknikal beliau boleh menunggu untuk dipanggil oleh Australia.
Baiklah, kita juga boleh melabel beliau sebagai realistik. Beliau tidak menunggu panggilan dari Australia kerana menyedari ianya sukar untuk beliau dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Australia.
Ini bermakna Brendan sedar, Malaysia memberikan peluang yang lebih baik buat dirinya untuk aksi di pentas antarabangsa. Komitmen Brendan bersama pasukan kebangsaan tidak payah kita ragui.
Beliau seorang pemain yang cukup profesional, Brendan sentiasa memberikan persembahan 110% setiap kali menyarung jersi pasukan negara.
Malah beliau sanggup meninggalkan keluarga, terutama anak lelaki yang baru berusia beberapa hari demi menyahut panggilan tugasan bersama pasukan negara di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini. Tiada rungutan kerana beliau sedar itulah pengorbanan yang harus beliau lalui sebagai pemain profesional.
Penutup
Selepas apa yang dilalui oleh pemain ini sepanjang kariernya, dan sebagai penyokong bola sepak tempatan, kita hanya mahu melihat yang terbaik untuk diri Brendan Gan. Kelibat beliau bersama Harimau Malaya juga amat dirindui.
Selamat maju jaya buat Brendan Gan untuk musim 2022!