Penyerang sensasi skuad B-22 negara, Luqman Hakim Shamsudin berkata mereka semestinya mahu menang dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia B-23 2022 berdepan Laos bagi menggembirakan hati rakyat Malaysia.
Beliau menyatakan kesediaan mereka untuk meraih kemenangan dalam aksi pertama dan mereka telah pun bersedia dari segi mental bagi menghadapi Laos. Mereka telah meletakkan sasaran untuk menang semua aksi.
Ujarnya dalam temu ramah tersebut, “Mentaliti kami pun sudah bersedia untuk lawan Laos esok. Bagi saya tak ada masalah sebab kawan-kawan saya semua dah bersedia dah. Jadi, [tinggal] hanya untuk menang sahaja.”
Latihan Rasmi Skuad Harimau Malaya B-22 Menjelang Aksi Bertemu Laos
Skuad kendalian Brad Maloney menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional, Ulaanbaatar, Mongolia menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, 3.00 petang esok.#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/5OZ1Mu9Vpd
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 24, 2021
“Semestinya! Itu target untuk team. Bagi saya of course lah, kita kena menang. Tak boleh ambil mudah, team kena menang. Semua pemain kena bagi something untuk menang,” ungkap penyerang berusia 19 tahun itu lagi mengenai sasaran pasukan untuk menang perlawanan pembukaan pusingan kelayakan berdepan Laos.
“Target kami semua untuk menang sahaja. Tak nak kalah, tak nak seri, nak menang. Jadi, untuk perlawanan esok kami akan bagi rakyat Malaysia happy. Semestinya menang,” ujar Luqman Hakim dalam nada optimis.
Berdasarkan tiga rekod pertemuan terakhir, ia lebih memihak kepada Malaysia apabila memenangi semua perlawanan itu dengan kali terakhir pada pusingan kelayakan AFC B-23 di Stadium KLFA, Cheras pada 2019.
2020 AFC U-23 Championship Qualifiers | Sunday, 24 March 2019
Full Time
LAOS 0-1 MALAYSIA
Safawi Rasid 81'#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/NECIw73yxd— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 24, 2019
Ketika ditanyakan tentang kemungkinan pergerakannya akan dirantai oleh pihak lawan, Luqman Hakim berkata itu adalah perkara biasa buatnya. Katanya, “Itu biasalah. Sebagai penyerang, mesti ada orang target punya.”
“Saya kena bijaklah dan jangan ambil mudah,” ujarnya lagi sambil berkata mereka ada perancangan tersendiri.
“Bagi saya sendiri, itu tak menjadi masalah. Kami pasukan Malaysia pun tidak ambil mudah bertemu Laos. Untuk saya, itu perancangan dia [Laos], jurulatih Brad Maloney pun ada perancangan tersendiri,” jelasnya lagi.
Hanya juara kumpulan akan mendapat tiket automatik, jadi sebagaimana kata Luqman Hakim, Malaysia perlu menang dalam ketiga-tiga aksi untuk terus menempah tiket ke Uzbekistan tanpa memikirkan masalah lain.