5 Perkara Paling Menarik Dalam Pertembungan Man Utd Bertemu Liverpool

Dua gergasi Premier League, Manchester United dan Liverpool akan dipertemukan di Old Trafford pada malam ini, untuk aksi Northwest derby yang ke-208.

Red Devils sepertinya mahu mengakhiri kemarau kemenangan sejak tiga perlawanan terakhir mereka dalam saingan Premier League.

Pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer jelas sekali antara individu paling tertekan menjelang aksi pertembungan antara kedua-dua gergasi dalam saingan Premier League itu pada malam ini.

Aksi kemenangan 3-2 mereka menewaskan Atalanta dalam saingan Champions League minggu lalu, sepertinya akan memberi sedikit keyakinan kepada United untuk turun berdepan dengan Liverpool.

Liverpool pula sementara itu, mereka pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaik skuad, dengan berada di kedudukan tiga teratas dalam saingan Premier League.

Mereka juga merupakan satu-satunya pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang masih belum mencatatkan sebarang kekalahan sehingga hari ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan dipertemukan, The Reds berjaya menjinakkan Manchester United dengan keputusan 4-2 di Old Trafford.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu sedang dalam usaha mereka untuk mencipta sejarah mencatatkan kemenangan berturut-turut sejak kali terakhir mereka lakukan pada tahun 2002 yang lalu.

Dengan kehadiran pemain berkelas dunia dari kedua-dua pasukan, aksi pertembungan mereka pada malam ini tentunya bakal sangat menarik untuk disaksikan.

Menjelang aksi sepak mula mereka beberapa jam dari sekarang, berikut merupakan lima perkara yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat untuk disaksikan dari perlawanan ini.

5) Trent Alexander-Arnold (Liverpool) vs Marcus Rashford (Manchester United

Berbicara tentang pemain full-back yang kerap membantu jentera serangan, tidak ada mana-mana pemain yang boleh menandingi kemampuan Trent Alexander Arnold.

Beliau dianggap yang terhebat dalam dunia bola sepak, dek kerana kualiti yang beliau miliki ketika membantu jentera serangan.

Dengan kualiti hantaran dan kemampuan beliau berdepan situasi bola mati, statistik Arnold ketika menyerang sebenarnya jauh lebih bagus berbanding segelintir pemain midfield terhebat dunia yang lain, walau beliau merupakan pemain full-back.

Walau bagaimanapun, beliau sedikit lemah ketika bertahan, dengan Arnold sering dikritik kerana mempunyai kelemahan ketika membantu barisan pertahanan.

Lebih parah lagi, beliau akan berdepan dengan kesukaran yang teramat sangat, ketika beraksi bertemu dengan pemain sayap yang mempunyai kepantasan menakjubkan.

Marcus Rashford pula merupakan pemain sayap yang mempunyai kemampuan dari segi kepantasan, dan turut memiliki kualiti penyudah yang menakjubkan.

Beliau dijangka akan memberi masalah kepada Trent Alexander Arnold di bahagian sayap, dengan pemain kebangsaan England itu telah membuktikan kemampuan beliau dalam dua perlawanan terakhirnya sejak kembali dari kecederaan.

Alexander Arnold semestinya perlu lebih berhati-hati ketika berdepan dengan Rashford, yang ketika ini sedang dalam usahanya untuk terus menambah baik rekodnya bertemu Liverpool.

4) Bruno Fernandes (Manchester United) vs Fabinho (Liverpool)

Memulakan kempen saingan musim ini dengan mencatatkan hat-trick, prestasi Bruno Fernandes sedikit merosot selepas dari itu, namun beliau masih tetap menjadi nadi utama jentera serangan Manchester United.

Ketika aksi bertemu Atalanta dalam saingan Champions League, pemain kebangsaan Portugal itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa mengagumkan.

Beliau berjaya merekodkan sembilan kesempatan sepanjang perlawanan tersebut, dan turut berjaya mencatatkan satu assists.

Bahkan walau beliau gagal untuk menjaringkan gol, Fernandes akan tetap berjaya untuk memberi ancaman yang luar biasa ke kubu pertahanan lawan.

Beliau mempunyai kebijaksanaan dalam mencari ruang, kualiti hantaran yang dasyat, tenaga yang cukup dan gabungan kesemua hal tersebut menjadikan beliau sangat dominan ketika melancarkan serangan.

Memiliki reputasi yang hampir sama, Fabinho jelas sekali sangat diharapkan untuk mematahkan serangan yang dimulakan oleh Bruno Fernandes dalam perlawanan ini.

Pemain kebangsaan Brazil itu menjadi nadi di bahagian tengah dalam sistem kendalian Jurgen Klopp, dan beliau turut sering melaksanakan tugasnya dengan sangat cemerlang.

Beliau memberikan perlindungan yang sangat baik untuk terus melindungi back four dibelakangnya, dan Fabinho juga selalu mematahkan serangan lawan dari tengah.

Seandainya beliau mampu mematahkan segala gerakan dari Bruno Fernandes, jentera serangan United jelas sekali akan sedikit goyah.

Bruno Fernandes sebelum ini dikatakan tidak akan diturunkan kerana dibelenggu masalah kecederaan, namun laporan terbaru mendapati yang beliau mungkin akan diturunkan dalam perlawanan ini.

3) Sadio Mane (Liverpool) vs Aaron Wan-Bissaka (Manchester United)

Bercakap mengenai situasi satu lawan satu, sebenarnya sangat sukar untuk mencari pemain lain, yang mempunyai kualiti sehebat Aaron Wan Bissaka.

Pemain yang ditandatangani dari Crystal Palace itu akan memastikan bahagian sayap United tidak dilepasi oleh jentera serangan tiga serangkai Liverpool, terutama Sadio Mane.

Walau bagaimanapun, ia merupakan sedikit masalah untuk Bissaka berdepan dengan Mane andai pemain Senegal itu mendapat rentak persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini.

Walau beliau sudah berjaya menjaringkan lima gol dari lapan penampilan sepanjang musim ini, Mane sebenarnya masih belum berada di tahap persembahan terbaiknya.

Beliau akan senantiasa membuat larian dan gerakan merbahaya dari bahagian sayap, dan sangat menarik untuk melihat bagaimana Wan Bissaka bakal mematahkan semua serangan tersebut.

2) Virgil van Dijk (Liverpool) vs Cristiano Ronaldo (Manchester United)

Virgil Van Dijk baru sahaja kembali dari dibelenggu masalah kecederaan panjang pada musim lalu, dan beliau telah memulakan aksi musim ini dengan sangat menakjubkan.

Beliau tidak menunggu masa yang lama untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya, walau sepanjang musim lalu beliau sekadar berehat di bilik rawatan.

Walau bagaimanapun, dalam perlawanan hari ini, beliau akan berdepan dengan penyerang berpengalaman dan terbaik dalam dunia bola sepak, Cristiano Ronaldo.

Walau sudah berusia 36 tahun, Ronaldo memulakan kempen musim ini dengan sangat baik, dan aksi yang beliau persembahkan ternyata tidak mengecewakan peminat.

Pemain kebangsaan Portugal itu sudah berjaya menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan bersama Manchester United sepanjang musim ini.

Gol terbaru yang beliau jaringkan adalah ketika turun beraksi bertemu Atalanta dalam saingan Champions League, dengan gol jaringan beliau membantu United untuk mencatatkan kemenangan 3-2.

Ronaldo sememangnya sangat tajam di dalam kotak penalti, dan jelas sekali akan sangat menarik untuk melihat bagaimana Van Dijk menguruskan beliau ketika berdepan situasi berbahaya.

1) Mohamed Salah (Liverpool) vs Harry Maguire (Manchester United)

Dengan 12 gol dari semua pertandingan setakat ini, Mohamed Salah jelas sekali merupakan antara pemain yang sedang berada di tahap prestasi terbaiknya.

Beliau berjaya menjaringkan gol dari setiap sembilan perlawanan bersama Liverpool sepanjang musim ini, dan ia juga merupakan rekod terbaru kelab.

Barisan pertahanan Manchester United tentunya akan memberi lebih perhatian kepada Mo Salah dengan Luke Shaw dan Maguire akan diberikan tugas untuk melakukan itu.

Harry Maguire akan terus berdepan dengan The Egyptian King itu, namun aksi tidak menentu pemain kebangsaan England itu menimbulkan sedikit kebimbangan di kalangan peminat.

Dari dua perlawanan terakhir United, ketua pasukan mereka itu merupakan pemain yang paling teruk dikritik dan dikecam oleh para peminat, bahkan ramai yang menganggap beliau punca barisan pertahanan skuad menjadi rapuh.

Seandainya beliau mengulangi kesilapan sama, ia jelas akan memberi masalah kepada barisan pertahanan United, kerana Salah pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.

Oleh yang demikian, pemain yang dibeli dengan harga Β£80 juta itu, tentunya akan melakukan segala yang beliau mampu, untuk memastikan Salah tidak akan memberi ancaman kepada gawang gol De Gea.

Leave a Reply