Mungkin para penyokong dan Luqman Hakim Shamsudin sendiri kecewa apabila beliau gagal meledak gol walaupun Malaysia berjaya merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Laos dalam aksi pertama pada Isnin.
Kemenangan pertama Malaysia meletakkan mereka sebagai pendahulu Kumpulan J, pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 dengan tiga mata, dua mata di depan Thailand dan Mongolia yang terikat 1-1 sebelum itu.
Walaupun mengawal hampir keseluruhan perlawanan dan mengasak bertubi-tubi di penghujung perlawanan, Harimau Muda tetap gagal menambah jaringan, malah kemampuan sentuhan jaringan Luqman Hakim turut mula dipersoal. Beliau memiliki satu peluang terbesar, namun rembatannya berjaya ditepis penjaga gol.
Begitupun, pengendali, Brad Maloney tidak risau tentangnya. Baginya, sebagai pemain berkualiti, penyerang berusia 19 tahun itu akan temui jalan untuk meledak jaringan pertamanya dalam pusingan kelayakan ini.
“Luqman adalah pemain yang berkualiti, dia akan jumpa jalan untuk meledak gol. Sudah tentu, mana-mana penyerang berkualiti di dunia pun akan menjadi perhatian pihak lawan. Dia tentu akan cuba fikirkan caranya untuk dua aksi selepas ini,” ungkap pengendali berusia 49 tahun itu lagi dalam sidang media secara maya.
Luqman Hakim bertindak selaku penyerang utama dengan dibantu dua pemain sayap menyerang di sebelah kanan dan kiri – Syafik Ismail dan Azfar Fikri. Gol tunggal Malaysia diledak oleh Azfar Fikri di minit ke-68.
Prestasi Luqman Hakim tidaklah terlalu teruk kerana beliau dilihat ada mencipta beberapa gerakan termasuk satu percubaan tepat ke gawang Laos. Gol Azfar Fikri juga dilihat hasil gerakan beliau yang menarik pertahanan lawan meninggalkan Azfar Fikri berseorangan menuju ke depan gawang dan meledak gol tersebut.
PEMAIN TUMPUAN 🎯
Luqman Hakim menjadi 'marked man' ketika menentang Laos tempoh hari, sampai menjadi 'target double/triple marking'.
Tetapi dalam pertemuan menentang Mongolia besok, harapan sekali lagi diletakkan pada bahu penyerang ini untuk merobek kubu lawan.
Ayuh Luqie! pic.twitter.com/93LDjUKPDv
— Shoot! (@ShootAppMy) October 27, 2021
Sebelum perlawanan tersebut, Luqman Hakim ada menyatakan keyakinan mereka untuk meraih kemenangan ke atas Laos tetapi turut menyatakan sedikit tertekan akan menjadi taruhan utama Harimau Muda kali ini.
Ini kerana, menurutnya, sebagai seorang penyerang, beliau akan lebih dinilai berdasarkan jaringannya.
Dan sebagai penyerang yang berpangkalan di luar negara, pasukan lawan tentunya mengkaji permainannya, lebih daripada pemain-pemain lain. Dan menurut bekas CEO NFDP, Safirul Abu Bakar, Laos tentunya sudah melihat video gaya permainan Luqman Hakim sehingga beliau diberi kawalan yang sangat ketat.
Coach Brad melakukan pertukaran di kedua2 belah flanks di 2nd half dan hasilnya satu build up yg melibatkan Luqman disusuli low cross cantik Quentin dan disudahi Azfar yg melakukan larian in front of defender 👍
Mmg kalau dgn opponent yg compact di low block tgh ini saja ubatnya
— safirul (@SafirulAbuBakar) October 26, 2021
Ciapnya di Twitter, “Kerana itu mereka tidak membenarkan Luqman berhadapan dgn defender dengan ruang yang luas. Sentiasa dapat bola membelakangi gol dengan 2 dan 3 defender. Oleh kerana itu ianya akan beri ruang di kanan dan kiri untuk menyerang dan memang nampak ada inisiatif larian dari Azfar dan Syafik.”
Berdepan Mongolia yang menurut Brad Maloney lebih fizikal, diharapkan skuad negara mampu memikirkan cara untuk merobek gawang tuan rumah itu. Dan tentunya harapan itu akan digalas oleh Luqman Hakim sekali lagi.
Sebagaimana dalam artikel Semuanya BOLA sebelum ini, diharapkan barisan kejurulatihan akan menemui cara untuk memaksimumkan potensi yang dimiliki Luqman Hakim dengan mungkin arahan taktikal yang mantap.