Kelayakan AFC B-23: Harimau Malaya Unggul Baham Pahlawan Mongol Untuk Kemenangan Kedua

Malaysia Mongolia 2

Malaysia terus mencatat keputusan positif di pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 selepas menundukkan Mongolia 1-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbatar.

Gol tunggal ang dijaringkan oleh Azfar Fikri Azhar sudah cukup untuk memastikan kemenangan kedua skuad kendalian Brad Maloney itu untuk meletakkan pasukan negara mendahului kumpulan J.

Terdapat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama berbanding aksi pembukaan menentang Laos tempoh hari terutamanya posisi pertahanan sayap dengan Quentin Cheng dan Hairey Hakim Mamat menggantikan Azam Azmi dan Umar Hakeem.

Di bahagian serangan pula Hakimi Abdullah diberikan kepercayaan untuk memulakan perlawanan menggantikan Syafik Ismail.

Kad kuning seawal minit ketiga yang diterima oleh tonggak utama pasukan, Luqman Hakim Shamsudin mungkin sedikit mengganggu rentak permainan.

Beberapa kesilapan kecil dan ruang yang diberikan oleh barisan pertahanan negara membolehkan Mongolia melakukan ancaman dengan beberapa percubaan terutamanya menerusi Ganbayar Ganbold, pemain yang beraksi di liga divisyen kedua Slovakia.

Malaysia beroleh peluang untuk memecah kebuntuan pada minit ke-37 apabila rembatan kencang Azfar Fikri Azhar menggegar palang gol pasukan tuan rumah.

Tetapi tiga minit kemudian, Azfar menebus kekecewaan itu untuk menghasilkan jaringan menerusi tandukan untuk memberikan gol pendahuluan buat Malaysia.

Bermula dari sepakan penjuru oleh Mukhairi Ajmal yang menghantar jauh ke bahagian belakang, ia disambut dengan tandukan Hairey Hakim Mamat sebelum disudahkan oleh Azfar yang langsung tidak dikawal.

Ia merupakan gol kedua penyerang muda Terengganu itu dalam kejohanan ini selepas turut meledak gol kemenangan ketika menewaskan Laos tempoh hari.

Pasukan negara sedikit cemas pada penghujung separuh masa pertama apabila penjaga gol negara Azri Ghani melakukan kesilapan kerana menangkap bola di luar kotak penalti dan kemudian dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Namun mujurlah sepakan percuma Mongolia berjaya ditumbuk keluar oleh penjaga gol muda Perak itu untuk memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.

Azfar terus mencuri tumpuan dengan satu lagi percubaan pada awal separuh masa kedua selepas beliau menyambut hantaran dari sepakan percuma Mukhairi Ajmal, tetapi tandukan ke belakangnya hanya sedikit tersasar di atas palang gol.

Mukhairi juga beroleh peluang terbaik untuk melebarkan kelebihan buat Malaysia apabila berjaya memintas dan mencuri bola dari pemain pertahanan Mongolia, tetapi percubaannya tepat ke arah dakapan penjaga gol.

Kapten skuad negara itu beroleh satu lagi peluang untuk menjaringkan gol, tetapi kali ini rembatannya dari luar kotak penalti hanya singgah di palang gol walaupun penjaga gol Mongolia sudah tertewas.

Begitu juga dengan Hakimi Abdullah yang menerima umpanan cantik Mukhairi pada masa kecederaan dan berada pada situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, tetapi percubaannya tersasar ke sebelah kanan gawang gol.

Meskipun beberapa kali diasak pada penghujung perlawanan, namun barisan pertahanan berjaya mengekalkan disiplin untuk memastikan gawang Malaysia terus kebal untuk dua perlawanan berturut-turut.

Skuad negara kini memimpin kumpulan J dengan mengumpul enam mata maksimum selepas dua perlawanan dan kini menantikan keputusan melibatkan Thailand dan Laos yang akan berlangsung selepas ini.

Leave a Reply