Aksi Malaysia Menentang Myanmar Janji Pertembungan Menarik

Perlawanan malam ini antara Malaysia bertemu Myanmar bakal disajikan dengan aksi persembahan menarik dari kedua-dua pasukan.

Hanya dibolosi sekali dan meledakkan 11 gol menjadikan Myanmar pasukan pilihan untuk mengatasi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Sementara skuad Malaysia pula setakat ini telah menjaringkan empat gol dan bolos dua gol dalam dua perlawanan.

Sebelum Sepak Mula

Ketua jurulatih Myanmar, Gerd Zeise menegaskan yang beliau tetap akan menurunkan skuad terbaik menjelang aksi menentang Malaysia walaupun sudah meraih tiket ke separuh akhir. Ketika skuadnya membelasah Brunei dengan keputusan enam gol tanpa balas, dua ayam tambatannya, Aung Thu dan Sithu Aung dilihat dikeluarkan lebih awal, pastinya untuk mendapatkan rehat yang cukup.

Walaubagaimanapun, Zeise agak khuatir dengan keadaan padang sekiranya hujan lebat turun membasahi bumi Shah Alam, malam ini. Myanmar pernah tewas 0-2 kepada Malaysia dalam aksi persahabatan yang dilimpahi hujan lebat sebelum kedua-dua pasukan berangkat ke kelayakan Kejohanan AFC B-23, bulan lalu.

Gol Malaysia telah dijaringkan oleh penyerang, N. Thanabalan dan Danial Ashraf.

Danial Ashraf meraikan jaringan kedua ketika menewaskan Myanmar 2-0. Foto: Asiana.my

Sementara itu di kem skuad negara, tiada masalah kecederaan yang perlu dirisaukan oleh Kim Swee.

Tugasnya kini adalah perlu mencari kombinasi yang tepat untuk memburu sekurang-kurangnya satu mata untuk layak ke separuh akhir. Kunci perlawanan kali ini adalah kombinasi pemain pilihan Kim Swee.

Jika tersalah kunci, pastinya pasukan negara akan gagal ‘membuka’ perlawanan dengan lebih baik.

Dalam pertembungan ‘Seberang Tambak’ tempohari, Malaysia dilihat bergelut mencari rentak sebelum Kim Swee memasukkan Nor Azam Azih dan N. Thanabalan.

Beliau telah menggunakan kunci yang tepat selepas gagal di babak pertama dan segalanya berubah memasuki minit ke-60 permainan. Tumpuannya kini, siapa yang bakal menjadi kunci untuk aksi menentang Myanmar?

Kim Swee dijangka bakal mempertaruhkan jentera serangan ‘berwajah baru’ sekali lagi. Dua aksi sebelum ini menyaksikan gandingan berbeza dan kebangkitan Thanabalan membantu Malaysia meraih kemenangan tempohari, akan memberikannya peluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

Gandingan tiga serangkai di depan yang mungkin bakal dipertaruhkan Kim Swee adalah Safawi Rasid, N. Thanabalan dan S. Kumaahran.

Pemain Tumpuan

Photo by Nizam Rahman – www.asiana.my

Safawi Rashid dijangka akan sekali lagi menjadi pemain tumpuan. Nyata, dia dalam kelas berbeza dari segi teknik dan tahap keyakinan diri berbanding rakan sepasukan walaupun rata-rata penyokong masih bersikap prejudis terhadapnya. Tiga bantuan gol adalah daripadanya dan beliau juga telah menyumbang satu gol setakat ini. Safawi memberi dimensi berbeza buat jentera serangan.

Tumpuan juga wajar diberikan kepada N. Thanabalan, sekiranya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama.

Bijak dan rajin mencari ruang dan mencipta peluang, Thanabalan telah memberikan segalanya tiap kali kudratnya ditagih. Telah menjaringkan dua gol dalam dua aksi terakhirnya.

Rekod Pertemuan Sukan SEA

Aksi Akmal Rizal ketika menentang Vietnam dalam Sukan SEA 2003. Foto: Stanley Chou/ALLSPORT

Sejak format pertandingan ditukarkan kepada pasukan B-23 iaitu bermula pada edisi 2001, sudah empat kali Malaysia bertemu Myanmar dan belum pernah tumbang kepada lawan tersebut. Malaysia telah merekodkan tiga kemenangan dan seri sekali.

Sudah agak lama kedua-dua pasukan ini tidak bertembung dalam gelanggang Sukan SEA. Kali terakhir adalah ketika Malaysia menjuarai Sukan SEA pada edisi 2011, di mana Malaysia menang 1-0 di Jakarta dalam aksi separuh akhir hasil jaringan Ahmad Fakri Saarani.

Pada edisi 2003 pula, Malaysia dua kali bertembung dengan Myanmar, sekali dalam aksi kumpulan dan sekali lagi di penentuan pingat gangsa. Dalam aksi kumpulan, Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2 hasil jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Juzaili Samion dan Indra Putra Mahayuddin.

Selepas itu, dalam penentuan pingat gangsa, Myanmar mengheret skuad Malaysia sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat dengan keputusan 1-1 hasil jaringan Akmal Rizal juga. Malaysia memenangi penentuan sepakan penalti tersebut untuk meraih gangsa.

Rekod Semasa

Empat aksi terkini skuad Malaysia:

  • 21 Julai: Malaysia 0-3 Thailand (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 23 Julai: Malaysia 2-0 Mongolia (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 14 Ogos: Malaysia 2-1 Brunei (Sukan SEA 2017)
  • 16 Ogos: Singapura 1-2 Malaysia (Sukan SEA 2017)

Empat aksi terkini skuad Myanmar:

  • 23 Julai: Australia 3-0 Myanmar (kelayakan Kejohanan AFC B-23)
  • 14 Julai: Myanmar 2-0 Singapura (Sukan SEA 2017)
  • 16 Julai: Myanmar 3-1 Laos (Sukan SEA 2017)
  • 18 Julai: Brunei 0-6 Myanmar (Sukan SEA 2017)

Ramalan Semuanya BOLA

Perlawanan yang dijangkakan sengit untuk merebut posisi juara Kumpulan A. Myanmar sudah melalui tiga perlawanan dalam tempoh lima hari dan hanya berehat dua hari menjelang aksi menentang Malaysia, malam ini. Bagi skuad Malaysia, adakah rehat panjang telah dimanfaatkan sepenuhnya?

Faktor kecergasan pemain pasti akan mula menghantui Myanmar dan Kim Swee bersama-sama anak buahnya perlu mengambil peluang tersebut untuk mencalar ego seterusnya menumbangkan skuad The White Angels.

Ramalan: Malaysia 2-1 Myanmar

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN