Sri Pahang FC dalam usaha mengukuhkan keupayaan jentera serangan selepas saingan Liga Super berehat panjang untuk aksi antarabangsa dengan membawa masuk gandingan Amerika Latin buat Manuel Hidalgo.
Jika sebelum ini, Mahmoud Za’tara dari Jordan adalah penyerang bersama Hidalgo dan seorang lagi pemain import yang digugurkan, Billy Ketkeophompone, kali ini, mereka mempertaruhkan Steven Rodriguez dari Columbia dan Kevin Ingreso dari Filipina. Kevin Ingreso merupakan pemain kacukan Filipina dan Jerman.
Rodriguez yang baru berusia 23 tahun beraksi bersama kelab Divisyen 1, Colombia, Independiente Medellin dan akan dipinjamkan untuk tempoh enam bulan. Begitu juga dengan Ingreso yang dipinjam dari BG Pathum United.
Selamat datang jugaaaaaa!
Titi Rodriguez 🇨🇴 ( ganti Zatara ) pic.twitter.com/wjUbNZtbgE
— Twt Bola Pahang (@TwtBolaPahang) June 17, 2022
Rodriguez dijangka akan menjadi penyerang utama dan akan dibantu kelicikan Hidalgo dan juga Ingreso dalam usaha Sri Pahang untuk kembali ke saingan teratas Liga Super selepas permulaan musim yang agak suram.
Mereka dilihat kembali mendapat rentak sebelum liga berehat apabila berhasil mengikat pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 2-2 pada 18 Mei lalu – hasil gol oleh Saiful Jamaluddin dan Hidalgo.
Mungkin formula Amerika Latin mahu digunakan pengendali, Christophe Gamel dalam usaha memperbaiki lagi kedudukan Sri Pahang yang kini sedang menghuni tangga ke-8 dengan lapan mata – berkongsi mata bersama Selangor FC dan PJ City, satu mata di depan daripada Melaka United dan Sarawak United (tangga ke-9 dan 10).
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS9#LigaSuper2022 pic.twitter.com/v7mRh6J4bR
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 18, 2022
Sebagaimana Hidalgo yang masih muda – berusia 23 tahun dan licik, tentunya impak yang sama mahu ditagih daripada Rodriguez. Selalunya pemain dari Amerika Latin ini memiliki kelicikan dalam gaya permainan mereka.
Gamel sebelum ini mengakui yang tugas berat menantinya ketika ini disebabkan perlu memperbaiki benteng pertahanan dan juga mempertajamkan jentera serangan. Namun, tempoh rehat sebulan membantunya.
“Terdapat beberapa perkara yang kami perlu perbaiki jika mahukan yang terbaik [dalam saingan liga]. Perkara utama adalah benteng kami dan kemudian memperbaiki sentuhan penyudah jentera serangan.”
“Namun, ia pengalaman yang mengujakan terutama sekali apabila kami mengikat JDT 2-2!”
Christophe Gamel, The Star
Selain Rodriguez dan Ingreso, mereka juga dilihat membawa masuk Sherzod Fayziev (Uzbekistan) di benteng menggantikan Johan Martial dan pemain yang dipinjam dari Kelantan FC, Mior Dani Armin Mior Ariffin.