Koeman Akui Skuad Kebangsaan Belanda Hilang Ramai Pemain Berkualiti

Belanda membuat kejutan apabila menyenaraikan lebih ramai muka baharu yang terdiri daripada pemain muda untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang England minggu ini.

Jurulatih baru Belanda, Ronald Koeman mengakui mereka kehilangan ramai pemain berkualiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Arjen Robben dan Wesley Sneijder mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa baru-baru ini, manakala seorang lagi pemain veteran Robin van Persie tidak cukup cergas.

Koeman berkata, beliau terpaksa mempertaruhkan pemain remaja bagi perlawanan menentang England di Amsterdam awal pagi Sabtu ini dan kemudian perlawanan kedua mereka tiga hari kemudian di Geneva menentang Portugal.

“Kami sudah mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain kreatif dan anda tidak boleh menggantikan mereka dengan mudah.

“Kini kami ada pemain muda yang masih perlu berkembang dan hanya masa depan boleh menentukan sama ada mereka boleh mampu mencapai tahap sama atau sebaliknya,” katanya, semalam.

Koeman berpendapat Robben masih mempunyai peranan dalam pasukan Oranje jika dia tidak bersara dan menegaskan beliau tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat Van Persie sebaik dia membuktikan kecergasannya di Feyenoord.

“Dia membuktikan kelasnya sekali lagi semalam,” kata Koeman mengenai persembahan penyerang itu bersama kelabnya Ahad lalu apabila dia meledak dua gol ketika menang 4-3 di PEC Zwolle dalam liga Belanda.

Ketika Koeman dilantik sebagai jurulatih kebangsaan bulan lalu, perlawanan persahabatan itu memberi peluang pertama kepadanya menilai tugas yang diterimanya itu.

“Sudah tentu, kami bermain untuk menang. Bagi saya, apa yang turut penting apabila kami bermain dua perlawanan ini, saya lebih nampak mengenai hala tuju kami menjelang Liga Negara-Negara,” katanya.

Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk mungkin menjadi kapten pasukan itu di Arena Amsterdam, awal pagi Sabtu ini.

“Saya masih belum memutuskannya, saya tidak percaya dengan undian dalam kalangan pemain, jadi saya yang akan memilihnya,” ujar Koeman.

Senarai pemain skuad kebangsaan Belanda:

Penjaga gol: Marco Bizot (AZ Alkmaar), Jasper Cillessen (Barcelona), Jeroen Zoet (PSV Eindhoven).

Pertahanan: Patrick van Aanholt (Crystal Palace), Nathan Ake (Bournemouth), Virgil van Dijk (Liverpool), Timothy Fosu-Mensah (Crystal Palace), Hans Hateboer (Atalanta), Matthijs de Ligt (Ajax), Kenny Tete (Olympique Lyon), Stefan de Vrij (Lazio).

Tengah: Donny van de Beek (Ajax), Davy Proepper (Brighton), Marten de Roon (Atalanta), Kevin Strootman (Roma), Guus Til (AZ Alkmaar), Tonny Vilhena (Feyenoord), Georginio Wijnaldum (Liverpool).

Penyerang: Ryan Babel (Besiktas), Steven Berghuis (Feyenoord), Memphis Depay (Olympique Lyon), Bas Dost (Sporting Lisbon), Justin Kluivert (Ajax), Quincy Promes (Spartak Moscow), Wout Weghorst (AZ Alkmaar).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN